Selasa, 2 Julai 2013

Undian peserta secara elektronik

KOTA BHARU 11 Jun - Peserta Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 yang sedang berlangsung di sini, buat pertama kali membuat undian giliran secara berkomputer dalam sesi percubaan pada majlis taklimat yang diadakan semalam.

Menurut Penolong Setiausaha Jemaah Hakim, Mohd As’ari Abdan, cabutan giliran secara elektronik untuk menentukan hari dan surah yang perlu dibaca itu adalah satu penambahbaikan yang dibuat memandangkan ia sudah dipraktikkan di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun pada kali ini, kita tetap melakukan cabutan secara manual iaitu peserta memilih sampul yang disediakan urus setia, tetapi pada masa sama kita perkenalkan kaedah baru sebagai percubaan di mana peserta membuat pilihan dengan menyentuh skrin komputer," katanya semasa menyampaikan taklimat di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, semua peserta diberi masa 10 minit untuk memperdengarkan bacaan masing-masing dan peserta hanya boleh memulakan bacaan apabila lampu hijau di astaka menyala.

Katanya, ia adalah untuk memastikan bahagian teknikal sudah bersedia serta mengelak masalah suara tidak dapat didengar para hakim jika peserta membaca terlebih awal.
Jelasnya lagi, pada malam pembukaan hanya dua peserta yang memperdengarkan bacaan diikuti sembilan peserta pada setiap tiga malam berikutnya.

“Setiap peserta ini pula hanya mengetahui surah yang akan dibaca melalui cabutan giliran berasingan yang dilakukan pada pukul 9 pagi setiap hari.

“Mereka akan dimaklumkan dua lagu atau taranum yang wajib dipersembahkan dalam bacaan, terserah kepada mereka untuk mengalunkannya pada awal, tengah atau akhir ayat dan ia tidak perlu dibuat berturut-turut," katanya.

Tambahnya, peserta akan dihakimi dalam empat bahagian iaitu tajwid yang mewakili 40 markah, tarannum (25 markah), fasohah (20 markah) dan suara (15 markah).

Seramai 29 peserta iaitu 15 qariah dan 14 qari menyertai majlis tilawah tahun ini bermula semalam sehingga 14 Jun dengan qariah Kelantan, Radziah Ibrahim dan qari, Zulkipli Harun memperdengarkan bacaan mereka pada malam kedua.

Hanya johan menunggu qariah, Che Minah Che Awang dari Wilayah Persekutuan akan mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu, manakala johan qari, Muhamad Anuar Ghazali dari Kelantan yang juga pemenang Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa tidak mengambil bahagian tetapi telah diberi penghormatan memperdengarkan bacaan sebagai qari jemputan pada majlis pembukaan. 

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...