Rabu, 3 Julai 2013

Qari, qariah luar puji Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kesibukan mengharungi Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 tidak menghalang qari dan qariahnya meluangkan masa untuk melihat keindahan bumi Malaysia.

Kesemua qari dan qariah terbabit diberi kesempatan untuk mengunjungi beberapa lokasi menarik sepanjang empat hari di negara ini seperti Pusat Pemerintahan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan Homestay Banghuris di Sepang. 

Beberapa peserta yang ditemui Utusan Malaysia berpendapat, Malaysia bukan sahaja sebuah negara cantik tetapi rakyatnya sangat ramah dan berbudi pekerti tinggi.

Malah qari yang merupakan guru al-Quran di Mashhad, Iran, Mohammad Mashmoul, 31, menyifatkan lokasi Putrajaya adalah sebuah tempat pemerintahan yang indah di dunia.
"Saya baharu pertama kali berkesempatan datang ke Malaysia dan hari ini saya berpeluang melihat Putrajaya yang selama ini hanya mampu didengari sahaja di Iran," katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Bagi pasangan suami isteri dari Bosnia yang turut bertanding dalam tilawah al-Quran antarabangsa tahun ini, Armin Vlajcic, 31, dan Mahira Vlajcic, 26, masyarakat Malaysia wajar dipuji kerana sering menunjukkan sikap yang baik.

"Setiap lawatan yang kami ikuti, di mana sahaja pasti rakyat negara ini menunjukkan sikap yang sangat baik-baik belaka," katanya yang berharap sikap terpuji itu dicontohi penduduk di Bosnia.

Sementara itu, seorang penuntut Jurusan Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang, Universiti Arab Amerika, Palestin, Ibrahim Khaled Abd. Yahya, 20, pula mengakui, dia terpegun melihat keadaan aman dan damai di setiap tempat yang dikunjungi di negara ini.

"Tidak seperti di negara saya, Malaysia jauh berbeza kerana sentiasa berada dalam keadaan aman damai di setiap kawasan," ujarnya.

Qariah wanita dari Yemen, Fatima Abdullah Ali Abdul Khaliq, 22, menyifatkan cuaca di Malaysia tidak jauh beza seperti di negaranya.

"Saya berasa selesa berada di negara ini kerana tidak perlu bersusah payah untuk menyesuaikan diri dengan cuacanya yang lebih kurang sama seperti di Yeman," katanya.
Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 selama lapan hari yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan berakhir pada 6 Julai ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...