Selasa, 2 Julai 2013

Sembilan peserta perdengar bacaan

KOTA BHARU 11 Jun - Seramai sembilan peserta memperdengar bacaan pada malam kedua Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 di sini termasuk dua wakil tuan rumah iaitu qari, Zulkipli Haron, 54 dan qariah, Radziah Ibrahim, 50.

Zulkipli yang menjadi peserta kedua membaca surah Yunus bermula ayat sembilan dengan lagu wajib Soba dan Nahwan manakala Radziah pula menjadi peserta kelima dan turut membaca surah sama dimulai ayat 90.

Radziah yang merupakan guru al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menjadi qariah Kelantan pertama dalam tempoh 23 tahun selepas Kerajaan Pas Kelantan menarik balik larangan terhadap qariah negeri ini daripada menyertai tilawah tersebut. 

Ketika ditemui, Zulkipli yang juga bapa kepada 10 anak berharap dapat mengulangi kejayaan johan qari Kelantan tahun lalu, Muhamad Anuar Ghazali sekali gus menempah tiket bertanding mengiringi beliau di majlis tilawah peringkat antarabangsa.

"Harapan memang tinggi tetapi tidak boleh teruja sangat takut bila tidak dapat nanti sedih pula.
"Apa pun saya berharap dengan sokongan isteri, Noor Fariza Makhtar dan anak-anak, saya dapat melakukan yang terbaik, yang penting saya harus mulakan bacaan dengan tenang," katanya kepada Utusan Malaysia di Balai Islam Lundang, di sini malam ini.

Zulkipli yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas dekat sini, pernah bertanding mewakili Kelantan dalam majlis sama sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2008 namun gagal merebut sebarang gelaran.

Sementara itu, juara menunggu qariah, Che Minah Che Awang, 58, dari Wilayah Persekutuan menjadi peserta ketiga dan memperdengar bacaan daripada surah Al-Imran ayat 144.

Che Minah ketika ditemui memberitahu, beliau berguru secara intensif dengan legenda qariah negara, Faridah Mat Saman untuk memperkemas bacaan sebelum majlis tilawah tersebut.
"Saya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke rumah guru berkenaan di Kota Bharu khusus untuk memperbetul tajwid kerana takut tersilap pada mana-mana bahagian. Bukan saya seorang sahaja qariah yang datang berguru dengannya bahkan beberapa orang lagi turut serta.
"Kami datang kerana semua orang mahu mendapat manfaat belajar daripada qariah hebat seperti Faridah," katanya.

Dalam pada itu, qariah yang menjadi peserta pertama malam ini, Sarina Che Yahaya, 43, dari Perlis memberitahu, ini adalah penyertaan kali kelapan beliau di peringkat kebangsaan sejak mula mewakili negerinya pada 1990.

Sarina berkata, pada tahun itu, beliau juga adalah peserta pertama memperdengar bacaan dalam majlis yang berlangsung di Pulau Pinang.

"Bayangkan saya baru berusia 20 tahun dan merupakan peserta termuda, betapa berdebarnya rasa hati tidak dapat saya gambarkan, tetapi mujur saya dapat menghabiskan bacaan dengan baik. 

"Sekarang saya rasa lebih tenang, saya amat meminati bidang tilawah dan rasa seronok membaca al-Quran. Saya akan terus bertanding sampai bila-bila selagi layak dan mampu," katanya.

Lima peserta lain yang memperdengar bacaan malam ini adalah qari Pahang, Zul-Hasyimi Mohamed Yunus, Mohamad Hafas Ali (Terengganu), Amirahman Abas (Negeri Sembilan) manakala qariah pula dari Sarawak, Salina Ali dan Munirah Razali (Perak).

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...