Selasa, 2 Julai 2013

Penyatuan ummah perlu semangat tinggi

KOTA BHARU 10 Jun - Semua pihak diseru supaya memiliki semangat dan iltizam tinggi untuk menyatupadukan ummah di atas satu landasan kukuh bagi mengelakkan perpecahan yang lebih teruk berlaku dalam kalangan masyarakat. 

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha untuk memupuk perpaduan harus bermula daripada pemerintah sehingga ke peringkat akar umbi dengan kesemuanya memainkan peranan masing-masing. 

Menurut beliau, perpecahan dalam kalangan umat Islam tidak boleh diambil ringan dan perkara itu harus diatasi sebaik mungkin dengan merangka program yang sewajarnya.
"Pemerintah perlu memainkan peranan penting kerana mereka yang menentukan hala tuju masyarakat dan amanah yang dipikul, perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

"Malah, para pendidik dan pengamal media perlu memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dalam memupuk perpaduan melalui pendidikan kepada pelajar dan penyebaran maklumat yang bermotifkan kasih sayang kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Balai Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang di sini malam ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Sementara itu, Ahmad berharap kerjasama di antara Kerajaan Pas Kelantan dan Pusat dapat diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat. 

"Saya mewakili kerajaan negeri merasa sangat berbesar hati kerana Kelantan buat julung-julung kalinya terpilih sebagai tuan rumah majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ini.
"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih di atas kesediaan Kerajaan Pusat menganjurkan majlis tilawah al-Quran di negeri ini dan saya berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dapat diteruskan," katanya. 

Sementara itu, Othman dalam kenyataan berkata, majlis tilawah yang bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu diharap mampu mengingatkan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini untuk bersatu bagi mengelak ancaman perpecahan yang semakin menular.
"Dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, semangat melampau berteraskan perkauman dan ideologi akan menjadi perangkap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya menggugat kestabilan sosio-politik negara.

"Jika elemen ketaksuban masih berakar umbi dalam pemikiran dan tindakan, masyarakat tidak akan dapat mengimbangi serta menghayati seluruh intipati kehendak pemimpin untuk membangunkan negara," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...