Selasa, 2 Julai 2013

Al-Quran Lahirkan Khalifah Alam Berkualiti

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Al-Sultan Kelantan telah mencemar duli menyempurnakan perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada kali ini.
 
Dalam titah perasmian, baginda menyakini al-Quran berfungsi sebagai cahaya taqwa untuk melahirkan khalifah alam berkualiti berdasarkan ayat 2 dan 3 yang dipetik daripada surah al-Baqarah. Baginda bertitah lagi, Nabi Muhammad SAW sendiri memulakan pembangunan insan generasi awal Islam sebagai contoh ummatan wasatan yang adil, terbaik dan seimbang berpandukan al-Quran dan al-sunnah.
 
Baginda turut menyatakan rasa dukacita kerana umat manusia dunia hari ini menyaksikan banyak gejala dan simpton fenomena kehilangan pedoman dan petunjuk. Baginda menitahkan umat Islam memikul tanggungjawab besar bagi berusaha untuk mengembalikan manusia memperoleh keredaan ilahi.   
 
Akhir titah, baginda yakin dengan tema majlis tilawah kali ini, iaitu “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” menjadi titik tolakkeseimbangan dalam membina perpaduan yang lebih harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama, resam dan budaya.
 
Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada kali ini menawarkan hadiah jongkong emas seberat 350 gram sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada johan qari dan qariah. Pemenang juga akan menerima wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan.
 
Sumber: JAKIM 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...