Jumaat, 14 Disember 2012

Penghantaran al-Quran ke Kemboja


KIRA-KIRA 500,000 umat Islam di Kemboja pasti berasa gembira apabila Yayasan Restu Malaysia (YRM) menghantar sejumlah 36,160 naskhah al-Quran ke sana. Uniknya lagi, penghantaran tersebut menggunakan jalan laut menuju Bandar Ho Chin Min, baru-baru ini.
Majlis penghantaran Al-Quran Terjemahan Khmer itu dihantar melalui kapal yang berlabuh di Klang, Selangor dengan disaksikan Pengerusi YRM, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan para pegawainya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kagat, Kol Nawawi Daud dan Kapten Normazlan Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Vo Husin Bakar dan Ketua Pegawai Operasi YRM, Muhamad Taufiq Izham Ismail.

Abdul Latiff berkata, kesemua naskhah al-Quran adalah sumbangan wakaf anak Malaysia dan akan berlayar menuju ke Bandaraya Ho Chi Minh City, Vietnam menuju ke Phnom Penh, Kemboja dalam tempoh perjalanan selama kira-kira 14 hari.

Menurutnya, beberapa delegasi Malaysia yang mewakili Kementerian Pertahanan, YRM dan Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja akan berada di sana bagi menyerahkan al-Quran secara rasmi kepada penduduk Islam terbabit nanti.

Beliau berkata, sebelum ini al-Quran dihantar pada bulan Ramadan pada 2010, sebanyak 10,200 naskhah, manakala pada tahun ini sebanyak 40,000 naskhah.

"Pada 2010 sebanyak RM1,038,888 telah berjaya dikutip untuk mencetak 50,000 naskah al-Quran, manakala pada tahun lalu sebanyak RM1,003,837 bagi mencetak 40,000 naskhah kitab yang sama.

"Rakyat Malaysia melalui Program Wakaf al-Quran Sinar Sejagat berjaya membantu minoriti umat Islam seluruh dunia," katanya ketika ditemui.

Abdul latiff berkata matlamat penghantaran al-Quran ke Kemboja sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat Islam di sana mendalami isi kandungannya.

Selain Kemboja, YRM juga pernah menghantar al-Quran negara lain seperti Nigeria, Kazakstan, Indonesia dan Thailand.

YRM yang dibantu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mensasarkan 100,000 naskhah kitab berkenaan dihantar ke Kemboja dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi keperluan 100,000 keluarga Islam yang mempunyai anggota seramai 500,000 orang.

Beliau berkata, tujuan utama al-Quran dihantar ke sana ialah bagi merealisasikan misi kemanusiaan dan mempereratkan tali persaudaraan seagama daripada aspek meningkatkan kefahaman umat Islam Kemboja mengenai ilmu al-Quran dan nilai-nilai murni sejagat yang terdapat di dalamnya.

Katanya, al-Quran yang dihantar ke sana telah melalui proses penterjemahan ke dalam bahasa Khmer iaitu bahasa rasmi Kemboja.

"Al-Quran perlu dihantar kerana umat Islam di sana sukar mendapat mushaf al-Quran berikutan kekurangan dana dan kesukaran mencetaknya.

"Jumlah mushaf al-Quran yang pernah dihantar ke sana tidak mencukupi dan mereka berkongsi sebuah mushaf bagi kegunaan lima buah keluarga," jelasnya.

Kata Abdul Latiff lagi, pelbagai pihak telah melaksanakan misi bantuan pelbagai bentuk seperti dana untuk membangunkan fasiliti pendidikan, masjid, pakaian, kitab, ibadah korban dan akikah.

Alhamdulillah YRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih menumpukan kepada usaha wakaf al-Quran.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Teriakan petanda kiamat

PADA ayat yang sebelumnya, Allah SWT menyuruh mereka bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan supaya jangan menerima azab seperti yang pernah dialami oleh umat-umat terdahulu kerana mereka telah mendustakan para rasul. 

Manakala dalam ayat yang berikutnya dia menerangkan pula keingkaran tentang hari kebangkitan semula manusia dan juga permintaan mereka agar hari kebangkitan tersebut didatangkan dengan segera dalam nada mengejek. 

Kemudian diterangkan kepastian berlaku hari kebangkitan dan bangkit dari kubur masing-masing lantas mereka bertanya: Siapakah yang telah mengejutkan kami dari kubur? Kemudian dijawab: Allah SWT yang menentukan semua ini dan Dia telah menjanjikannya kepada rasul-rasul-Nya yang lepas.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang anggapan orang kafir yang mengatakan mustahil terjadinya hari Kiamat dalam kehidupan mereka."

Firman Allah SWT: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka Kami sedia menunggu). (Yasin: 48)

Al-Maghari berkata: "Mereka berkata dengan nada mengejek-ejek serta memperolok-olok: Bilakah berlakunya hari kebangkitan manusia yang sering kali kamu ancamkan kepada kami, sama ada secara jelas atau samar jika kamu orang yang boleh dipercayai kata-katanya?"

Kata-kata di atas ditujukan kepada Rasulullah SAW dan orang Mukmin yang sentiasa membacakan ayat yang menyebut hari kebangkitan manusia dan menyuruh mereka beriman dengan peristiwa tersebut. Pertanyaan mereka dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing). (Yasin: 49)

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Umar yang berkata: "Sebenarnya sangkakala akan ditiup ketika manusia berada di jalan, majlis-majlis dan pasar-pasar. Ketika itu sehelai kain masih berada di tangan dua orang yang sedang tawar-menawar, tiba-tiba mereka terkejut."
Itulah yang dimaksudkan Allah SWT dalam firman-Nya: Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja akan membinasakan mereka ketika sedang bertengkar.

Ibnu Kathir berkata: "Mereka tidak menunggu kecuali satu teriakan sahaja. Ketika ditiupkan sangkakala, manusia masih lagi bertengkar, tawar-menawar di pasar-pasar. Malaikat Israfil diperintahkan Allah SWT meniup dengan kuat dan berterusan, tidak satu makhluk yang terkecuali mendengarnya lantas semuanya dibangkitkan dan berkumpul di hari kiamat."

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kiamat akan berlaku ketika dua orang masih merentang sehelai kain dalam proses tawar-menawar hingga kedua-duanya tidak sempat lagi meneruskan urusan jualbelinya, apatah lagi melipat semula kainnya itu. 

Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyimen kolahnya sebelum sempat mengisi air di dalamnya. Hari kiamat juga berlaku ketika seseorang membawa susu kambingnya tanpa sempat meminumnya. Kiamat juga akan berlaku ketika seseorang baru menyuap makanan ke dalam mulutnya sebelum sempat dia mengunyahnya.

Kemudian Allah SWT menerangkan kedatangan hari Kiamat yang begitu cepat dengan hanya satu teriakan sahaja malah lebih cepat daripada itu.

Firman Allah SWT: Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. (Yasin: 50)

Ibnu Kathir berkata: "Atas yang mereka miliki kerana saat itu lebih penting daripada masalah tersebut."

Al-Maghari berkata: "Ketika itu mereka tidak lagi berpeluang membuat pesanan wasiat kepada seseorang di kalangan ahli keluarganya. Begitu juga dengan seseorang yang berpisah dengan keluarga tidak sempat lagi untuk berkumpul semula." 

Pekikan itu datang dengan mendadak sehingga mereka akan mati berkaparan di mana sahaja ketika itu. Kemudian Allah SWT menerangkan pula tiupan sangkakala yang kedua akan ditiupkan nanti.

Marilah sama-sama kita menginsafi betapa kerdilnya kita yang akan melalui peringkat perjalanan yang jauh, bermula daripada kehidupan dunia menuju ke alam kubur seterusnya dibangkitkan menjadi hamba Allah yang perlu taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ini kerana kebahagiaan yang hakiki ialah apabila seseorang selamat dari neraka Allah dan dapat menghuni syurga-Nya.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Keindahan yang mempesonakan

ALLAH SWT menerangkan bahawa Hari Kiamat pasti berlaku dan kedatangannya pula adalah secara mendadak. Pada hari itu manusia akan dihimpunkan untuk menghadap-Nya. Dia juga menerangkan tentang kelengkapan yang disediakan kepada orang yang berbuat baik dan orang yang berbuat buruk, dalam bentuk pahala dan hukuman. Perkara itu dimaksudkan agar orang yang berbuat baik akan menerima berita baik manakala orang yang berbuat buruk pula akan menerima berita sebagai ancaman dan peringatan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan. (Yasin: 55)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang penghuni syurga, di mana pada Hari Kiamat, ketika bangkit daripada kematian, mereka turun dari taman-taman syurga dalam keadaan mereka sedang menikmati keindahan yang begitu indah sehingga tidak mempedulikan orang lain."

Al-Hasan al-Basri dan Ismail bin Abi Khalid berkata: "Mereka tidak merasai azab yang dialami oleh penghuni neraka."

Mujahid berkata: "Bersenang-senang dalam kenikmatan iaitu keindahan yang mempesonakan mereka." 

Al-Maraghi berkata: "Para penghuni syurga akan menikmati kesenangan dan kelazatan sehinggakan mereka tidak memikirkan perkara lain. Di sana mereka menikmati kenikmatan dan kelazatan yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata mereka, apatah lagi mendengar, bahkan tidak pernah terdetik dalam hati mereka."

Mereka sedikit pun tidak berasa sedih kerana kehidupan mereka tenteram, bersuka ria dan ketawa menghiasi kehidupan mereka di syurga. Kemudian Allah SWT menyebut perkara lain yang menambah kegembiraan dan kesenangan mereka di syurga.

Firman Allah SWT: Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin. (Yasin: 56)

Mujahid berkata: "Maksud pasangan ialah bidadari yang diteduhi pohon-pohon yang menaungi mereka."

Al-Maraghi berkata: "Mereka bersama dengan pasangan masing-masing berada di tempat yang teduh dan rendang, tidak terkena sinaran matahari kerana memang tidak ada matahari di sana." Bagi orang Arab mereka berasa nyaman apabila melihat suatu tempat yang rendang, dan di sekelilingnya pula terdapat sungai-sungai dan pohon-pohon yang rimbun. Di sana mereka bersandar di bangku panjang yang penuh dengan perhiasan dan benarlah syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang."

Firman Allah SWT: Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. syurga itu merupakan puncak kenikmatan bagi seseorang. (Yasin: 57)

Di dalam syurga mereka boleh meminta apa sahaja buah-buahan yang akan diberi secara langsung. Mengikut riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Sulaiman bin Musa, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah. Apakah ada orang yang bersegera menuju ke syurga. Sesungguhnya syurga itu tidak pernah terlintas keindahan syurga di hati kami. Demi Tuhan penguasa ke atas Kaabah, dia semuanya cahaya yang bersinar, baunya harum semerbak, istana yang megah, sungai yang mengalir, buah-buahan yang ranum, pasangan yang baik serta cantik, para bidadari yang ramai, tempat yang kekal di rumah yang selamat, buah-buahan yang menghijau, enak dan nikmat serta tempat-tempat yang tinggi dan menyenangkan."

Maka mereka menjawab: "Ya Rasulullah SAW, kami adalah orang-orang yang bersegera. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Insya-Allah." Lalu mereka semua mengucapkan: "Insya-Allah."

Al-Maraghi berkata: "Di syurga mereka menikmati pelbagai buah-buahan yang segar dan makanan yang lazat seperti di dunia dahulu yang dinikmati oleh orang yang hidup mewah. Di samping itu, mereka juga akan mendapat apa sahaja yang mereka ingini dan idam-idamkan."
Menurut pendapat Abu Ubaidah, orang Arab sering berkata, apa yang diangan-angankan akan tercapai seperti apa yang mereka ucapkan oleh setiap individu untuk memperoleh sesuatu kebaikan.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Membudayakan membaca al-Quran

ALLAH SWT telah berfirman dalam ayat 185 surah al-Baqarah bahawa tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia adalah untuk memberi petunjuk dan penjelasan kepada seluruh umat serta menerangkan tentang perbezaan antara hak dan batil.

Malah dalam surah yang sama menerusi ayat kedua dan ketiga, Allah SWT menyatakan tujuan lain al-Quran diturunkan adalah sebagai tanda mukjizat kebesaran Ilahi bahawa tiada keraguan selain menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertakwa.

Menyedari ilmu al-Quran terbentang luas dan konsep kitab suci tersebut sebenarnya bukan hanya dibaca ketika waktu kematian atau mana-mana pertandingan tilawah, maka timbul kesedaran oleh sepasang suami isteri yang mempunyai pengetahuan qiraat untuk menubuhkan dua sekolah tahfiz sejak tiga tahun lalu.

Hasrat seorang tokoh penceramah agama, Asni Mansor dan suaminya, Mohd. Nasir Rustam untuk mewujudkan dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahsin al-Quran khusus bagi lelaki yang terletak di Puchong manakala untuk wanita, Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor adalah usaha mereka untuk membudayakan bacaan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

Jelas Asni yang pernah menjadi hakim dalam sebuah rancangan berbentuk realiti keagamaan, idea menubuhkan dua buah sekolah menghafaz al-Quran juga timbul setelah beliau dan suaminya menjalankan program cuti sekolah 'ala madrasah' sejak 12 tahun lalu, malah wujud permintaan oleh bekas peserta meminati menghafaz al-Quran selepas menyertai aktiviti seumpama itu.

"Hasrat untuk menubuhkan sekolah tahfiz sudah lama terpendam, tetapi usaha untuk ke arah itu memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan menubuhkan sekolah atau pusat pengajian bukan senang kerana memerlukan pengetahuan pengurusan dan komitmen tinggi.

"Akhirnya dimulakan sebuah sekolah tahfiz untuk lelaki dan kemudiannya wanita pada tahun lalu, usaha kami untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan hampir berjaya dengan kewujudan sekolah berkenaan," tambahnya.

Sabtu, 24 November 2012

Kena berguru tafsir al-Quran

Ilmu agama tak boleh hanya berpandukan buku atau maklumat di internet

Akhir-akhir ini ada yang berani mentafsir ayat Allah sekadar berpandukan buku serta sebaran maklumat melalui internet, tanpa merujuk dan bertalaqqi dengan ulama, sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung. 


Mereka ini secara memandai-mandai telah melayakkan diri mentafsir kalam Allah atas alasan kebebasan memberi pandangan dan berhujah. Mereka ini sebenarnya tidak memahami apakah maksud tafsir Quran itu sendiri.
Sabda Rasulullah: "Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala"
Dalam konteks agama, bukan semua orang mempunyai kelayakan untuk mentafsir Quran, apatah lagi cuba mempermudahkannya untuk tujuan tertentu.

Dalam soal ini, Prof Dr Yusof Qaradhawi menyatakan: “Sesungguhnya ramai kalangan muda zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutama dalam ilmu hadis, lantas berasakan mereka sudah pakar dalam ilmu pada hal mereka belum pun mengecapi permulaannya.”

Ulama tabiin, Muhammad bin Sirin, mengingatkan sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa engkau mengambil agamamu.

Justeru, adalah malang apabila mereka berasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan lain.
Tanpa bimbingan daripada pakar agama, jika berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya bahkan boleh menyesatkan orang lain pula. Inilah bahaya besar yang menunggu umat Islam jika kesedaran tidak didedahkan di peringkat awal lagi.

Seseorang yang berilmu pengetahuan mengenai al-Quran dan boleh menterjemahkannya tetapi apabila menyampaikan tafsiran al-Quran kepada orang lain dengan tafsiran sebaliknya, maka perbuatan itu dianggap penyelewengan.

Apatah lagi jika seseorang yang tidak berilmu dalam mentafsir cuba mentafsir al-Quran mengikut kecenderungannya, sedangkan tidak ada kelayakan untuk berbuat demikian, dia boleh merosakkan kesucian al-Quran.

Berguru dan mendalami ilmu tafsir adalah prasyarat penting dalam meletakkan kelayakan seseorang kepada bidangnya. Tidak salah merujuk dan bertanya kepada yang tahu tetapi yang salahnya bercakap seperti orang berilmu tetapi sebenarnya tidak.

Rasulullah SAW bersabda: “Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya daripada satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertamanya, orang yang bertanya. Keduanya, guru yang menjawab. Ketiganya, orang yang mendengar jawapan itu. Keempat, orang yang cinta kepada mereka.” (Riwayat Abu Nuaim)

Penyelewengan berhubung tafsiran al-Quran adalah suatu perkara yang salah dan tidak boleh dibiarkan. Jika ia dilakukan oleh orang Islam, maka orang itu berdosa dan jika ia dilakukan oleh bukan Islam, perbuatan itu perlu dicegah dan orang itu perlu dilarang berbuat demikian.

Antara syarat menjadi pentafsir al-Quran ialah bersih daripada hawa nafsu demi kepentingan agama, mempunyai keahlian dalam bidang hadis, riwayat dan dirayah kerana hadis nabi adalah penjelasan dalam menafsirkan ayat.

Selain itu pentafsir al-Quran juga hendaklah berpengetahuan mendalam dalam ilmu nahu kerana pemahaman sesuatu ayat kebanyakannya memerlukan kepada kebolehan mengi’rab sesuatu perkataan.

Seorang pentafsir juga mestilah berpengetahuan luas dalam bidang ulum al-Quran kerana dapat membantu memahami ayat al-Quran dengan betul dan mendalam. Contohnya, Asbab al-Nuzul akan menolong mufassir memahami maksud ayat berdasarkan latar belakang penurunan ayat. Begitu juga mengetahui ayat diturunkan di Makkah atau Madinah dapat menyelesaikan kekaburan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara saja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Syura', ayat 51). 


Sumber: Berita Harian

Jumaat, 2 November 2012

Pengakuan keimanan

ALHAMDULILLAH, dirafakkan kesyukuran kepada Allah dan kita masih lagi membicarakan surah Yasin. Dalam ayat-ayat yang berikut, Allah SWT menceritakan perihal seorang pemberi nasihat yang mati syahid (Habib) dan akhirnya masuk syurga. Kemudian diterangkan pula keadaan orang yang ditinggalkan-Nya kerana tidak mengikut nasihat-Nya. Menurut sunnatullah, orang seperti mereka ini pasti diazab di dunia atau di akhirat.

Firman Allah SWT: Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima agama mereka? maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Yasin: 22)

Mengapa aku harus menyeleweng dari jalan ini. Fitrah manusia tertarik kepada Pencipta yang menjadikannya. Dia tidak akan menyeleweng darinya melainkan dengan dorongan lain yang bertentangan fitrahnya. Dari awal lagi dia bertawajuh kepada Allah SWT. Ia tidak memerlukan unsur luar dari tabiat semula jadi jiwanya. Lelaki yang beriman ini merasakan semua hakikat ini dari lubuk hatinya. 

Oleh yang demikian dia mengeluarkan kata-katanya yang amat jelas tanpa berpura-pura. Dia juga sedar dengan fitrahnya yang benar dan bersih pada akhirnya akan kembali kepada Maha Pencipta sebagaimana segala sesuatu itu pulang kepada asalnya.

Firman Allah SWT: Patutkah aku menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. (Yasin: 23)

Al-Maghari berkata: "Apakah wajar aku menyembah tuhan selain Allah yang tidak mampu melakukan sesuatu pun. Kalau Allah hendak menimpakan musibah. Sudah tentu tiada siapa yang dapat menolongku selain Dia."

Syed Qutub berkata: "Siapakah lagi yang lebih sesat dari orang yang meninggalkan logik fitrah yang menyeru makhluk supaya menyembah Penciptanya lalu dia menyeleweng kepada menyembah selain Allah SWT."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. (Yasin: 24)

Al-Qurtubi berkata: "Iaitu kerugian yang amat nyata."

Syed Qutub berkata: "Lelaki itu menyatakan keputusannya di hadapan kaum yang telah mendustakan para rasul dan mengancam keselamatan mereka kerana suara fitrah dalam hatinya lebih kuat daripada segala pendustaan dan ancaman."

Sabtu, 27 Oktober 2012

Utusan Allah

DALAM ayat-ayat yang terdahulu, Allah SWT menerangkan perihal orang musyrik yang ditutupi hatinya oleh Allah SWT sehingga mereka tidak beriman. Dalam ayat-ayat yang berikutnya pula, Allah SWT menyebut suatu kaum yang mempunyai tingkah laku yang sama dengan mereka daripada segi kekafiran dan kemusyrikannya. Mereka yang dimaksudkan ialah penduduk Antakiyyah di negeri Syam (Syria). Kisah mereka dengan rasul adalah sama dengan kisah kamu dengan kaummu.

Firman Allah SWT: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi rasul-rasul (Kami) Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua rasul itu) dengan rasul yang ketiga, lalu rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu. (Yasin: 13-14)

Syed Qutub berkata: Al-Quran tidak menyebut siapakah penduduk sebuah negeri itu dan tidak menyatakan negeri itu. Begitu banyak pendapat dan pandangan mengenainya. Apabila al-Quran tidak menyebut tentang negeri itu, maka ia merupakan satu dalil bahawa penentuan nama dan tempat negeri itu tidak menambahkan sesuatu kepada makna dan saranan cerita tersebut. 

Negeri itu yang diutuskan Allah SWT kepada dua orang rasul sebagaimana Allah mengutuskan Musa dan saudaranya Harun as kepada Firaun dan konco-konconya. Kemudian penduduk negeri itu telah mendustakan kedua-duanya lalu Allah SWT menegaskan mereka adalah utusan-Nya. Kemudian ketiga-tiga rasul tampil mengemukakan dakwah mereka.

Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir, antaranya Qatadah dan pentafsir yang lain, dimaksudkan utusan-utusan dalam ayat di atas adalah utusan Nabi Isa as yang terdiri daripada para Hawariyyin yang diutuskan untuk menemui penduduk Antakiyyah. Ini juga pendapat yang dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Rabu, 24 Oktober 2012

Selamat berpuasa sunat hari Arafah

Sabda Rasulullah SAW - ia menebus dosa setahun yg telah lalu dan setahun yang akan datang - hadis riwayat Imam Muslim

Ahad, 21 Oktober 2012

Abu al-Quran dilupus ke laut

SEBAGAIMANA jasad manusia, kitab al-Quran yang merupakan mukjizat teragung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW perlu diurus dan dikendalikan dengan sempurna.

Jika jasad manusia yang telah meninggal dunia perlu dimandikan sebelum dikebumi di kawasan perkuburan dengan baik, begitu juga dengan naskhah al-Quran yang mengandungi kalam Allah SWT itu.

Kitab al-Quran yang dijamin oleh Allah SWT akan berkekalan dan terpelihara sehingga hari kiamat perlu dilupuskan dengan kaedah khas bagi memuliakan kesuciannya daripada dicemari.

Proses pelupusan helaian al-Quran tidaklah semudah untuk melupuskan buku atau majalah ilmiah yang lain, tetapi harus melalui beberapa proses. Antaranya dibakar sehingga menjadi debu.

Pembakaran helaian dan ayat suci al-Quran pula perlu dilakukan dengan sempurna sehingga ayat dan kalimah tersebut tidak lagi kelihatan sebelum dihancurkan dan diproses menjadi debu dan dilupuskan ke dalam laut.

Oleh itu, salah faham sesetengah pihak yang mendakwa proses pembakaran al-Quran bagi tujuan pelupusan adalah seperti menghina dan menjatuhkan martabat kitab suci umat Islam itu adalah tidak benar.

Tanggapan tidak berasas itu perlu diperbetulkan bagi mengelak penyelewengan akidah dan berlakunya penyebaran fitnah terhadap umat Islam yang menjadikan kitab al-Quran sebagai panduan hidup.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tidak wujud istilah berniat buruk seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak dalam proses pelupusan al-Quran.

Menurutnya, pelupusan al-Quran menggunakan kaedah pembakaran bukanlah perkara baru yang diamalkan di negara ini tetapi dilakukan sejak zaman pemerintahan khalifah Saidina Uthman Ibnu Affan.

"Sejarah pembakaran al-Quran bermula sejak daripada zaman Saidina Uthman, apabila Rasulullah meminta beliau mengumpulkan cebisan ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para sahabat pada sesuatu objek seperti batu, kulit binatang dan kayu.

"Pengumpulan itu dibuat kerana didapati terdapat banyak kesalahan ayat al-Quran dalam tulisan yang pelbagai versi itu. Oleh itu, kesemua objek yang ada ada ayat al-Quran itu dikumpulkan dan dihapuskan dengan kaedah pembakaran.

"Saidina Uthman kemudian menyatukan ayat al-Quran dan membukukan dalam satu mashaf yang dikenali resm Uthmani. 

"Ini membuktikan bahawa pembakaran al-Quran untuk dilupuskan bukanlah perkara baru dilaksanakan di negara ini atau mempunyai niat buruk untuk memperkecilkan al-Quran," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program pelupusan abu al-Quran peringkat Negeri Pahang di Tambatan Pangkalan Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
 
Sumber: Utusan Malaysia

Amaran kepada yang lalai

SEPERTI yang diketahui, al-Quran sebagai perlembagaan hidup bagi manusia yang dengannya kita akan mendapat petunjuk daripada Ilahi. Pengalaman dan tajribah kehidupan bagi manusia jelas menunjukkan bahawa ketenangan dan kedamaian hati dalam merentasi kehidupan paling agung dan mulia berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang benar-benar mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Firman Allah SWT: Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. (Yasin: 5)

Ibnu Kathir berkata: "Jalan yang benar ini dengan manhaj dan agama adalah dibawa oleh Rasulullah SAW melalui turunnya daripada Allah yang bersifat rahmat kepada sekalian hamba-Nya yang beriman."

Sayid Qutub berkata: "Dia melakukan terhadap mereka apa yang dikehendaki-Nya bertujuan mengurniakan rahmat kepada mereka. Hikmah diturunkan al-Quran untuk memberi amaran dan menyampaikan dakwah."

Firman Allah SWT: Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai. (Yasin: 6)

Ibnu Kathir berkata: "Dikehendaki dengan qaum di sini ialah orang Arab."

Syed Qutub berkata: "Lalai merupakan penyakit yang amat merosakkan hati, kelak ia menjadi cuai menjalankan tugas. Oleh itu, amaran itu amat sesuai untuk menghadapi kelalaian kaum Musyrikin Mekah. Mereka telah berlalu generasi demi generasi tanpa diberi peringatan dan amaran. Mereka adalah zuriat Ismail. Mereka tidak dipimpin oleh mana-mana rasul selepas Nabi Ismail as."

Tugas pendakwah adalah menyeru, bukan menghukum

Firman Allah SWT yang bermaksud:

(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) - Surah Hud, Ayat 2

Huraian
Para pendakwah ditugaskan menyeru manusia supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan berusaha menegah umat manusia dari melakukan segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Pendekatan yang bijaksana terhadap sasaran dakwah adalah penting untuk menerapkan kefahaman dan pengamalan terhadap perkara yang didakwah. Tanpa kefahaman yang bijaksana dan penuh hikmah sudah tentu setiap perkara yang disampaikan tidak akan dimanfaati dan didengari, malah mereka yang didakwahkan akan cuba melarikan diri. 

Oleh yang demikian, pendekatan yang telah digunakan oleh Rasulullah SAW semasa menyebarkan dakwah Islamiah hendaklah ditiru dan diikuti seperti; berakhlak mulia, bersopan santun sentiasa menolong orang yang dalam kesusahan dan sabar dalam ujian adalah yang sangat sesuai agar sasaran dakwah dapat didekati seterusnya menerapkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran Islam. Para pendakwah sewajarnya menjauhi perkara-perkara yang tidak digemari dan disukai sasaran dakwah seperti tidak melaksanakan apa yang diucapkan dan melakukan perlanggaran syariat.

Kesimpulan
Pendekatan yang sesuai dan penuh kebijaksanaan dalam menyebarkan ajaran Islam adalah penting untuk menentukan masa depan agama Islam yang suci ini terus gemilang dengan umat yang cemerlang. Tanpa pendekatan yang bijak dan sesuai dengan keadaan semasa, boleh menyebabkan kegagalan misi dakwah.

Sumber: Siri Tafsir (Jakim)

Ustaz Kazim Elias - (Best) Teknik Dakwah 


Jumaat, 19 Oktober 2012

Masjid Negeri Selangor - Talaqqi Bersanad

Masjid Negeri Selangor - Talaqqi Bersanad 04 Oktober 2012 (Bertalaqqi) bersama Tuan Haji Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin Al-Muqri

 

Ada banyak lagi kat channel Youtube Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Forum Perdana Ehwal Islam

Tajuk: Wasiat Terakhir al-Quran
Ustaz Kazim & Yang Berhormat Datuk Dr Mashitah Ibrahim


Ramadan, Al-Quran dan Kita

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.

Mari baca artikel penuh di laman web Minda Tajdid

Rabu, 17 Oktober 2012

Buku-buku baru

Baru beli.. hehehe


Belum sempat nak baca.

Beli masa Klinik Solat kat office siang tadi.

Ahad, 14 Oktober 2012

Dunia Lelaki temui al-Quran tertua

Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Sumber: Berita Harian
 Manama: Seorang lelaki Yaman mendakwa menemui sebuah manuskrip lama yang dipercayai paling tua iaitu naskhah Al-Quran.

Kitab suci umat Islam itu ditemui di dalam penutup kulit dalam sebuah gua di pergunungan selatan bandar Dhale, di bahagian selatan negara itu, lapor halaman web berita Yaman berbahasa Arab, Aden Gulf News.


Manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masihi) tertulis pada halaman pertama dan ujian awal menunjukkan bahawa naskhah berkenaan adalah tulen, menjadikan ia kitab Al-Quran tertua masih wujud.

Berdasarkan halaman web itu, huruf Arab tidak mempunyai titik yang hanya diperkenalkan pada peringkat akhir dalam abjad Arab untuk membezakan ia dengan huruf lain yang kelihatan sama.

“Pemuda yang enggan dikenali itu dilaporkan turut menerima tawaran sejumlah
besar wang bagi menukar manuskrip berkenaan termasuk sejumlah YR12 juta (RM170,664) yang ditawarkan kepadanya, tetapi enggan berbuat demikian,” kata saudara terdekatnya.

Katanya beliau tiba di gua gunung berkenaan dengan mendaki menggunakan tali dan menegaskan itu hanya satu-satu cara untuk ke sana.


Halaman berita itu mendakwa lelaki berkenaan juga menemui sebilah pedang bersebelahan naskhah al-Quran tyang dipercayai milik Ali Bin Abu Talib, Khalifah keempat Islam yang juga menantu Nabi Muhammad.

Beberapa perakuan sejarah mengatakan bahawa ia adalah pedang Dhu Al Faqqar yang dihadiahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ali. 


Sumber: Berita Harian

Sabtu, 13 Oktober 2012

Keistimewaan Yasin

ALHAMDULILLAH, selepas kita selesai membincangkan Juzuk 29, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.

Surah ini termasuk dalam golongan surah Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang termasuk dalam ayat Madaniyyah.

Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah SWT berfirman: .......Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42) 

Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.

Dalam surah yang lepas, Allah SWT berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah S.W.T. berfirman: Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38), dan firman-Nya juga: Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat… (Yasin: 39)

Sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya roh.

Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121012/ba_04/Keistimewaan-Yasin#ixzz29BjGA4u2
Sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 8 Oktober 2012

Hendak seribu daya

IBRAHIM Mohd. Hasan, 28, jurusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bertegas penglibatan lepasan golongan itu dalam bidang profesional sebenarnya terletak pada kemahuan diri mereka sendiri.

Sehubungan itu, tanggapan yang mengatakan lulusan huffaz kelas kedua itu wujud adalah kerana lepasan huffaz berkenaan sendiri yang memilih untuk menjadi imam atau ustaz berbanding menceburi profesion berkolar putih.

“Bila saya memasuki bidang perbankan, saya mendapati banyak permintaan terhadap hafiz al-Quran kerana mereka mempunyai kelebihan daripada segi penguasaan dan kefahaman ayat-ayat kitab itu.

“Saya pada mulanya agak sukar untuk memasuki industri ini tetapi setelah menjalani latihan dan mendapat galakan keluarga, akhirnya ia berjaya ditempuhi dengan mudah,’’ jelas lulusan Diploma Tahfiz dari Darul Quran pada 2005.

Bapa dua orang anak itu kemudian memberitahu bahawa beliau turut memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Madinah dalam jurusan agama selain memohon memasuki ke universiti tempatan, akhirnya anak kelahiran Selangor tersebut memilih UIAM setelah mendapat surat tawaran untuk memasuki Kuliah Ekonomi di universiti tersebut.

“Memang pada mulanya, kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris menjadi masalah utama tetapi bertitik-tolak daripada pepatah Melayu, ‘Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’, saya telah mengambil kelas intensif. Alhamdulillah, ia berjaya diatasi.

Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121005/ba_04/Hendak-seribu-daya#ixzz28d64nHKK
 
Sumber: Utusan Malaysia
<

Gunakan kelebihan dalam dunia kerjaya

PEGAWAI perubatan yang merupakan hafiz al-Quran, Dr. Mohd. Hamdan Sapwan, 28, menyatakan bahawa kitab suci itu merupakan mukjizat umat Islam yang sewajarnya penganut agama tersebut menghafal, mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.

Ujar lulusan Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kaherah, Mesir ini, tidak menjadi masalah bagi setiap umat Islam menghafal al-Quran kerana ia sememangnya sudah menjadi kewajipan untuk mempelajarinya dan ia bukan terletak di bahu tokoh agama semata-mata.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Klang menghafal 30 juzuk al-Quran ketika mengambil Sijil Tahfiz dari Darul Quran, Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor. Pengalaman menghafal kitab suci itu memberikan banyak kelebihan kepadanya untuk mengingati segala-gala teori ilmu perubatan.

Mohd. Hamdan menjelaskan minat dan perasaan cinta mendalam terhadap al-Quran telah menambah keimanannya terhadap Allah apabila ayat-ayat suci itu berinteraksi dengan mindanya ketika mengendalikan kes wad kecemasan di Hospital Klang, Klang, Selangor.
"Saya seolah-olah berinteraksi dengan al-Quran apabila mengendalikan pesakit-pesakit yang menghadapi masalah kritikal dan menemui ajal yang tidak mengira usia, sama ada bayi, kanak-kanak sehingga peringkat dewasa.

"Daripada itu, saya melihat keindahan al-Quran, bukan hanya soal hidup dan mati seperti yang terkandung menerusi ayat 34 surah al-Araf tetapi proses kejadian manusia turut diperincikan oleh Allah SWT menerusi kitab suci tersebut,'' katanya.

Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121005/ba_03/Gunakan-kelebihan-dalam-dunia-kerjaya#ixzz28d5l3MQt
 
Sumber: Utusan Malaysia

Galak penglibatan lebih ramai hafizah

PEGAWAI perubatan wanita yang juga merupakan huffaz al-Quran, Dr. Nurul Ain Samsuddin, 26, memberitahu, amalan menghafal mukjizat umat Islam itu telah menyebabkan hidupnya teratur untuk membahagikan masa antara kerjaya dan mengingati semula ayat-ayat kitab suci itu.

Lulusan Sarjana Muda Perubatan Universiti Sains dan Teknologi (Just) Jordan itu menyatakan, kesibukannya berkhidmat di Hospital Ampang, Selangor tidak menjadi batu penghalang kepadanya untuk mengingati al-Quran malah memberikan kelebihan kepadanya apabila ayat-ayat diingati itu berlaku secara kebetulan ketika bertugas.

Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121005/ba_02/Galak-penglibatan-lebih-ramai-hafizah#ixzz28d5Ukvhd

Sumber: Utusan Malaysia

Huffaz menyerlah, mampu bersaing

DALAM sejarah Islam, para huffaz al-Quran telah memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah dan pengembangan ilmu agama. Mereka bukan hanya menguasai ilmu berkaitan pengajian Islam tetapi meliputi semua aspek ilmu pengurusan kehidupan manusia.

Kitab Suci al-Quran itu mengandungi pelbagai perbahasan ilmu termasuk sains dan teknologi, menyebabkan para tokoh Islam berusaha untuk mengkaji dan menyelidik setiap ayat-ayat al-Quran yang dihafal itu.

Contoh tokoh-tokoh Islam tersebut adalah Ibnu Sina (perubatan); al-Khawarizmi (matematik); Ibnu Rusyd (astronomi) dan lain-lain lagi yang antara mereka merupakan penghafal al-Quran sejak zaman kanak-kanak.
Bahkan, jasa para huffaz dalam memelihara al-Quran dipandang tinggi oleh Islam memandangkan mereka merupakan antara golongan yang menjaga kesucian Kitab Suci tersebut pada peringkat penulisannya.
Mereka menghafal seluruh ayat al-Quran dan tidak pula mencatatnya kerana bimbang akan bercampur dengan hadis Rasullullah SAW.
Artikel Penuh di http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121005/ba_01/Huffaz-menyerlah-mampu-bersaing Sumber: Utusan Malaysia

Rabu, 26 September 2012

Pelajari ilmu tajwid

HUKUM membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib atau fardu kifayah kepada pembacanya. Maksudnya mempelajari ilmu tajwid itu sebagai fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat atau lokasi itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai rujukan bagi masyarakat setempatnya.

Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu tajwid maka kesemua penduduk kawasan itu menanggung dosa. Walaupun membaca al-Quran itu dikira sebagai sunat, al-Quran itu wajib dibaca dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan.


Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan ini dilaknati Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ramai orang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatinya." Juga rujuk al-Baqarah ayat 121.


Zaid bin Thabit menyebutkan sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hamba-Nya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan.

Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Sesungguhnya akan datang beberapa golongan sesudahku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan mahraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang sahaja."

Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal daripada lagu Arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat melalaikan sebutan huruf.


Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang dalam menyatakan bahawa membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib.


Menurut mazhab Syafi'i, bahawa memelihara pembacaan Kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut.


Perlu disampaikan bahawa ada beberapa hal yang sangat penting dalam membaca seni al-Quran terutama dalam sesuatu majlis bacaan atau tilawah menurut pendapat ulama yang antara lainnya sebagai berikut.


Pertama; setiap orang mesti membaca al-Quran dengan fasih dan bertajwid. Sebab hal ini merupakan masalah pokok. Kalau kita hanya mengejar lagu tanpa memerhatikan tajwid, ini merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Kedua-duanya harus berjalan secara harmonis. Membaca dengan bertajwid, membaca dengan fasih, kemudian dilagukan secara harmonis.


Kedua; kita harus mempunyai bakat dan juga minat. Kalau kita mempunyai minat untuk membaca al-Quran, itu dapat memberikan satu jaminan bahawa kita dapat berlatih secara istiqamah. Sedangkan dengan bakat yang dimiliki bererti kita memiliki suara yang diperlukan dalam membaca al-Quran dan juga kita memiliki pernafasan yang cukup baik.


Ketiga; sabar dan ikhlas. Setiap orang harus bersabar dan ikhlas dalam membacakan al-Quran. Kerana dalam seni membaca al-Quran banyak hal-hal yang berkaitan di dalamnya, dari segi tajwid, ataupun qiraatnya. Kita perlu mempelajari bagaimana pernafsan yang baik, seluk beluk lagu, dari lagu a, b, c, dan sebagainya. Semua ini betul-betul memerlukan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.


IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu


Sumber: Utusan Malaysia

Ingkar nikmat

ALLAH SWT telah menyebut tentang keadaan orang yang mendustakan-Nya, para nabi dan hari kemudian itu akan dikenakan azab pada hari keputusan dan pembalasan.
Di sini Allah SWT menjelaskan pelbagai seksaan itu dengan segala kengeriaannya yang membingungkan orang yang berfikiran dan menundukkan setiap orang yang takut dan kembali kepada-Nya. 

Kemudian Allah SWT memberitahu bahawa mereka diperintahkan untuk pergi ke bawah naungan asap Jahanam yang bercabang-cabang kerana banyaknya dan bermacam-macam bentuk hingga menjadi tiga cabang besar yang pernah mereka dustakan dahulu di dunia.
Padahal naungan yang sedemikian tidak sedikitpun melindungi dan menghalang mereka daripada panas nyalaan yang berdiri di atas api yang memercikkan bunga-bunga api yang tinggi dan besar bagaikan istana. 

Begitu juga bagaikan sekumpulan unta kuning yang bertebaran dan bercerai-berai tanpa batasan hitungan dan bergerak tidak menentu. 

Tidak diragukan lagi perkara yang demikian ini adalah persamaan yang diketahui oleh orang Arab ketika menyifatkan sesuatu dengan kebesaran. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka menyamakan unta yang besar dengan istana sebagaimana yang dikatakan: "Maka untaku pun berdiri di situ, seakan ia itu istana, untuk memenuhi keperluan orang yang menunggu."
Firman Allah SWT: Dan kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi dan kami beri minum kamu dengan air tawar? (al-Mursalat: 27)

Al-Maraghi berkata: "Gunung-ganang ini berhubungan dengan lapisan batu api yang merupakan lapisan bumi yang paling jauh daripada permukaannya. Lapisan di dalamnya meliputi bola api yang bernyala-nyala yang ada di dalamnya, sedangkan di bahagian luarnya merupakan kulit bumi yang kita berada padanya." 

Air tawar itu pula berasal dari awan yang dijaga oleh gunung-ganang yang tinggi atau datang daripada mata air-mata air yang turun dari gunung-ganang dan diselaputi oleh salji yang mengalir perlahan-perlahan di atas permukaan bumi lalu menyerap masuk ke dalam perut bumi menuju ke puncak mata air yang mengalir.

Ibnu Kathir berkata: "Yakni gunung-ganang yang ditanamkan di bumi agar bumi tidak goyah dan bergoncang. Dan air tawar yang diturunkan dari langit, mahupun yang bersumberkan daripada mata air bumi."

Sayid Qutub berkata: "Dan di bumi Kami ciptakan bukit-bakau dan gunung-ganang yang tinggi dan di kemuncak yang tinggi itulah berkumpulnya awan mega dan dari sanalah mengalir saluran-saluran air tawar yang nyaman."

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 28)

Al-Maraghi berkata: "Azab yang besar di akhirat diberikan untuk mereka yang mengingkari semua nikmat ini.'

Ibnu Kathir berkata: "Celaka bagi orang yang merenungi berbagai macam makhluk yang menunjukkan keagungan Penciptanya tetapi setelah itu dia terus-menerus dalam kedustaan dan kekufuran." 

Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka pada hari kiamat): Pergilah kamu mendapatkan azab yang dahulunya kamu mendustakannya. (al-Mursalat: 29)
Al-Maraghi berkata: Penjaga neraka Jahanam berkata kepada mereka: "Terimalah seksaan yang ketika di dunia dahulu kamu telah dustakan."

Firman Allah SWT: Pergilah kamu mendapatkan naungan yang mempunyai tiga cabang. (al-Mursalat: 30)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menjelaskan dan menyifatkan azab ini dengan beberapa sifat:
l Berjalanlah kamu di bawah naungan asap Jahanam yang terbahagi kepada tiga cabang besar, satu cabang dari sebelah kanan mereka, satu cabang dari sebelah kiri dan satu cabang lagi dari atas mereka. Ia bermaksud asap itu meliputi mereka daripada segenap arah.
l Asap Jahanam itu bukan sejenis naungan kerana ia tidak akan menaung kepanasan hari itu.
Ibnu Kathir berkata: Yakni nyalaan api semakin tinggi dan naik bersama dengan asap maka kerana kedahsyatan dan kekuatannya ia mempunyai tiga cabang.

Sayid Qutub berkata: "Iaitu bayangan asap api neraka yang pucuknya menjulang-julang bercabang tiga. Ini adalah bayangan teduh yang mencekik pernafasan dan yang panas menyelar. Ia dinamakan bayangan teduh sebagai lanjutan daripada penghinaan dan sendaan. Ia memberi angan-angan mendapat bayangan teduh tetapi sebaliknya mereka mendapat api neraka Jahanam.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 4 September 2012

Janji Allah

SURAH ini dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.

Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.
Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai. Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."

Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.

Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaat itu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."

Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya." 

Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.

Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).

Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."

Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."


Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu. (al-Mursalat: 10)

Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."

Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."

Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."

Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.

Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."

Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."

Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.

Sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 6 Ogos 2012

Keistimewaan al-Quran, malam lailatulqadar

Ulama bersetuju al-Quran mula diturunkan pada Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima pendapat, al-Quran diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Oleh itu, 17 Ramadan dirai sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul al-Quran) buat pertama kalinya.

Pada malam itu, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5 diturunkan. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.
Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Kalimah al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.

Inilah sebenarnya kelebihan al-Quran yang tidak ada satu perkara pun tertinggal atau dengan lain perkataan, segala-galanya ada dalam al-Quran.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya menerangi, al-Furqan (dapat membezakan antara hak dan batil) dan az-Zikr (memberi peringatan).

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain seperti diterangkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar, dan apa caranya engkau dapat mengetahui apa kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu laporan daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW menyebut empat orang bani Israel yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun.

Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah SWT, lalu sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka.

Jibril pun membaca surah al-Qadr. Jibril berkata kepada Rasulullah SAW, ayat ini lebih baik daripada apa yang kamu kagumkan ini dan menjadikan Rasulullah SAW dan sahabat amat gembira. 

Sumber: Berita Harian

Lima kelebihan dalami kitab suci

Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat.

Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan, sesiapa yang tidak membaca al-Quran bermakna dia telah meninggalkannya (menjauhkannya); begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga telah meninggalkan al-Quran; dan sesiapa yang membaca al-Quran dan telah memahami maknanya, tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga telah meninggalkan al-Quran. 

Sehubungan itu, kehadiran Ramadan sewajarnya dijadikan momentum terbaik dan peluang keemasan Muslim untuk bermuhasabah mengenai kepentingan kitab suci al-Quran dalam kehidupan Muslim serta pelbagai hikmah diperoleh.

Pertama, mendapat ganjaran pahala yang banyak, yang mana satu huruf diberi balasan sepuluh kebajikan seperti diriwayatkan Iman al-Tirmizi dalam hadis Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu ditegaskan, membaca al-Quran bukan saja sangat digalakkan pada Ramadan, bahkan juga dianjurkan dalam bulan lain sepanjang tahun.

Walaupun begitu, Muslim digalakkan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan al-Quran pada Ramadan kerana Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda kepada orang yang melakukan amalan soleh dalam bulan mulia ini.
Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlu dipelihara di samping setiap Muslim dituntut memperelokkan bacaannya supaya termasuk dalam koleksi amalan soleh. Rasulullah sering bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.

Kedua, Allah SWT akan mengangkat darjat orang selalu membaca al-Quran, mempelajari isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Kitab al-Quran dan Allah merendahkan kaum yang lainnya (yang tidak mahu membaca, mempelajari dan mengamalkan al-Quran). (Riwayat Bukhari)

Orang yang membaca al-Quran selalu dekat dengan Allah SWT, bahkan membaca al-Quran adalah bermunajat secara langsung kepada Allah SWT.

Ketiga, mendapat ketenangan jiwa atau hati yang sangat luar biasa, di mana setiap ayat al-Quran yang dibaca akan menghasilkan ketenteraman.

Firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga. (Surah Al-Isra, ayat 82)

Keempat, mendapat syafaat dan perlindungan Ilahi pada hari Kiamat. Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Muslim: Bacalah al-Quran oleh kamu sekalian, kerana bacaan al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia ini, akan menjadi syafaat dan penolong bagi para pembacanya di hari Kiamat nanti.

Justeru, perbanyakkan membaca al-Quran kerana bacaan al-Quran akan menjadi syafaat dan penolong pada hari Kiamat nanti, sedangkan manusia pada masa itu ramai yang sengsara dan menderita dengan kepayahan di hari perhimpunan agung di hadapan Allah SWT.

Kelima, orang yang rajin membaca al-Quran akan bebas daripada aduan Rasulullah SAW pada hari Kiamat nanti, di mana ada beberapa manusia diadukan Rasulullah SAW pada hari Kiamat di hadapan Allah SWT.

Manfaatkan sisa-sisa kehidupan berbaki yang Allah berikan untuk menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran. Janganlah disia-siakan kesempatan tiada ternilai, kerana al-Quran akan menjadi teman setia Muslim ketika sakaratul maut dan di dalam kubur.

Demikian lima keutamaan membaca al-Quran yang sewajarnya direbut setiap Muslim bertakwa, lebih-lebih lagi ketika berada di bawah naungan Ramadan yang penuh keberkatan. Bersegeralah melakukan amalan kebaikan sepanjang Ramadan untuk meraih kedudukan terbaik di sisi Allah SWT.

Sesiapa berpegang teguh dengan segala ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, maka dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat. 

Sumber: Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...