Khamis, 24 Januari 2013

Mufti Menk Live in KL 2013


Pre-register here

*Subject to organizer's terms and conditions

Kealiman al-Sakhawi

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
l PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


SUMBANGAN besar Imam al-Syatiby (meninggal pada 590 Hijrah) ialah menulis karya yang menjadi rujukan dalam pelbagai ilmu berkaitan al-Quran seperti qiraat, rasm dan ilmu bilangan ayat al-Quran yang dipanggil al-Fawasil. Antara karyanya ialah Hirz al-Amani, Nazimat al-Zuhri dan Aqilah Atrab al-Qasaid.

Hirz al-Amani atau terkenal dengan Matn al-Syatibiyyah mempunyai tarikannya yang tersendiri dengan susunan bahasa yang mantap dan indah. Ramai ulama yang memberi pujian antaranya; Imam Ibnu al-Jazari (meninggal 833 Hijrah) Imam al-Qastalani (meninggal 923 Hijrah) dan lain-lain.

Namun terdapat juga mereka yang memberi teguran dengan mendakwa bahasa yang digunakan tidak sesuai dan susah untuk memahaminya. 

Lantas Imam al-Syatibiy menjawab teguran tersebut dengan menyatakan Wahai Tuan, Allah SWT akan menguatkan matn ini dengan seorang pemuda yang akan menghuraikannya.

Imam Abu Syamah (meninggal pada 665 Hijrah) menyatakan selepas aku melihat al-Sakhawi mensyarah matn Hirz al-Amani aku amat yakin bahawa pemuda yang dimaksudkan oleh Imam al-Syatibiy untuk mensyarah matnnya ialah al-Sakhawi. 

Al-Sakhawi menyatakan pernah mendengar gurunya al-Syatibiy berkata kalaulah di kalangan pelajarku ada kebaikan dan keberkatan, akan ada di kalangan mereka yang membuat rumusan matn ku yang tidak pernah terlintas dalam fikiranku.

Nama penuh al-Sakhawi ialah Ali Ibnu Muhammad Ibnu Abdul Samad Abu al-Hasan al-Hamdani al-Sakhawi. Lahir pada 558 hijrah dan meninggal dunia pada 643 Hijrah. Beliau terkenal dengan pakar tafsir, alim dalam bidang bahasa Arab dan guru al-Quran tersohor pada zamannya di Damsyik.

Kealiman al-Sakhawi dalam pelbagai disiplin ilmu mendapat penghargaan ulama antaranya; Imam Ibnu al-Jazari yang menyatakan al-Sakhawi ialah seorang imam, sangat alim, muqri', pengetahuan luas dalam ilmu qiraat, imam dalam ilmu nahu, bahasa Arab dan tafsir, alim dalam fiqh dan usulnya, arif dalam bab adab, disulami dengan tawaduk, mahabah dan akhlak yang terpuji.

Dalam ilmu qiraat, al-Sakhawi mendapat didikan daripada guru yang amat dihormatinya iaitu Imam al-Syatibiy. Beliau bertalaqi qiraat dan membaca Matn al-Syatibiyyah di hadapan gurunya dengan mendapat ijazah ketika usia al-Sakhawi 27 tahun. 

Selepas berpuas hati dengan penguasaan al-Sakhawi dalam ilmu qiraat, Imam al-Syatibiy menganugerahkan ijazah memperakui kesahihan bacaan dan ilmu al-Sakhawi. Di akhir ijazah tersebut terdapat kata-kata ditulis Abu al-Qasim (gelaran kepada Imam al-Syatibiy) pada akhir Syaaban 584 Hijrah.

Selepas beberapa ketika di Mesir, al-Sakhawi bermusafir ke Damsyik. Sebelum pelayarannya, gurunya, Imam al-Syatibiy berpesan jika kamu sampai ke Syam belajarlah al-Quran dengan al-Kindi dan jangan meriwayat daripadanya. Justeru, al-Sakhawi bertalaqi al-Qiraat dan mendalami ilmu nahu, lughah dan adab dengan al-Kindi.
Menurut al-Qadhi Ibnu Khallikan, aku pernah melihat al-Sakhawi di kota Damsyik dan manusia mengelilinginya menuntut ilmu di masjid. Imam al-Zahabi pula menyatakan aku tidak mengetahui seorang pun di kalangan Qurra yang mempunyai murid seramainya.

Kesimpulannya, al-Sakhawi adalah seorang ulama yang terkenal dalam bidang ilmu qiraat dan beliau adalah murid kepada Imam al-Syatibiy. Karyanya yang mensyarah Matn al-Syatibiyyah adalah pencetus kepada huraian matn Syatibiyyah oleh ulama selepasnya hingga ke hari ini.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...