Sabtu, 30 Julai 2011

Surah al-Falaq elak bencana

SURAH ini termasuk dalam Surah Makiyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Ata', Ikrimah dan Jabir. Sedangkan mengikut riwayat yang lain daripada Ibn Abbas dan Qatadah bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyah.

Ibn al-Jauzi berkata: Pendapat ini lebih kuat daripada yang pertama. Ia mengandungi lima ayat dan diturunkan selepas surah al-Fil.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.

Al-Mawardi berkata: Surah ini dimulakan dengan qul yang membawa maksud katakanlah kerana Allah telah perintahkan nabi-Nya berkata demikian.

Ibn al-Jauzi menyebut enam pendapat berkenaan tafsir al-Falaq:

i. Ia adalah waktu Subuh seperti pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Sa'id bin Jubair, Qatadah, al-Qurazi dan Ibn Zaid.

ii. Ia adalah makhluk semuanya.

iii. Ia adalah penjara dalam neraka jahanam seperti pendapat Ibn Abbas juga dan Wahab serta Suddi yang menafsirkan telaga dalam neraka jahanam atau lembah dalam neraka jahanam.

iv. Pohon kayu dalam neraka seperti pendapat Abdullah Ibn Umar.

v. Setiap yang terbelah daripada sesuatu seperti cahaya Subuh, benih yang tumbuh daripada bijian. Inilah pendapat al-Hasan.

vi. Satu nama daripada neraka jahanam. Inilah pendapat Abu Abdul Rahman Abdullah bin Yazid al-Habali.

Sayid Qutub berkata: Sama ada dipakai dengan pengertian: Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi atau dipakai dengan pengertian Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.

Oleh itu kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat yang kemudian.

Firman Allah SWT: Dari kejahatan makhluk-Nya.

Berkenaan dengan ayat ini ada tiga pendapat:

i. Ia adalah umum. Inilah pendapat yang azhar.

ii. Ia adalah semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan zuriatnya. Inilah pendapat al-Hasan.

iii. Neraka jahanam. Inilah pendapat al-Mawardi.

Al-Maraghi berkata: Aku berlindung, memohon pelindung kepada zat yang menjadi Tuhan semua makhluk, pencipta segala yang ada dari segala penyakit dan keburukan yang menimpaku antara salah satu makhluk daripada makhluk-makhluk seluruhnya.

Kemudian disebutkan secara khusus sebahagian makhluk yang banyak mendatangkan bencana, lalu memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada kejahatan mereka dan menolak bencana yang ditimbulkan olehnya.

Firman Allah SWT: Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita.

Maksud ayat ini pada perkataan ghasiq ada empat pendapat:

i. Matahari apabila tenggelam. Inilah pendapat Ibn Shihab.

ii. Bulan apabila ditutupi awan.

iii. Bintang thuraya apabila jatuh.

iv. Malam yang berlabuh kerana pada waktu itu keluarnya binatang buas dan serangga. Begitu juga penjahat berkeliaran pada waktu itu. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Dahhak, al-Suddi dan lain-lain.

Al-Maraghi berkata: Iaitu daripada kegelapan malam ketika malam itu datang dan menutup segala sesuatu dengan kegelapannya.

Malam hari gelap-gelita itu mengerikan dan menimbulkan ketakutan kerana kegelapan malam menjadi tempat berlindung bagi orang jahat ketika bermaksud jahat dan kegelapan malam menolong bagi musuh.

Firman Allah SWT: Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul.

Al-Imam Muhammad Abduh berkata: Dalam masalah ini, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa baginda pernah disihir oleh Labid Ibn al-A'sam. Sihir itu telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri baginda, sehingga mengkhayalkan baginda dan menyebabkan baginda seolah-olah melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya, atau baginda seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda tidak mendatanginya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan sihir itu dikeluarkan daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah Rasulullah SAW sembuh daripada penderitaannya dan diturunkan surah ini.

Sudah tentu pengaruh sihir terhadap Nabi Muhammad SAW itu menyentuh akan dan mempengaruhi rohani Baginda. Jika demikian, benarlah kata-kata kaum Musyrikin tentang Baginda itu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir. (al-Israk: 47)

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 28 Julai 2011

Puasa 5 pancaindera

Semanis Kurma: 28 Julai 2011
Tajuk: Puasa 5 pancaindera

Ayat doa 1:
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Surah Ali-Imran, Ayat 173

Ayat doa 2:
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Al-Mumtahanah, Ayat 5

Sambutlah Ramadhan dengan ketakwaan. Bertaubat, jaga hubungan sesama ahli keluarga untuk kesejahteraan hati dan tenang menjalankan ibadah. Banyakkan berdoa kerana pada bulan ramadhan, terdapat banyak waktu mustajab.

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak :)

Bicara al-Quran mengenai kurma

BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.

Sumber: Utusan Malaysia

Imam Khalaf al-'Asyir

KAEDAH pengajian Qiraat dimulai dengan mendalami Qiraat Tujuh sama ada usul atau farsy. Selepas menguasai Qiraat Tujuh, disusuli pula Tiga Qiraat iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-Asyir.

Gabungan antara Tujuh Qiraat (Nafei', Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn 'Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaei) dan Tiga Qiraat (Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-Asyir) dipanggil Qiraat Sepuluh.

Imam yang terakhir dalam rangkaian susunan imam Qiraat ialah Khalaf al-Asyir. Beliau adalah satu-satunya Imam yang mempunyai dua posisi iaitu perawi dan Imam. Khalaf ialah perawi pertama kepada Imam Hamzah dalam Tujuh Qiraat dan Imam yang kesepuluh dalam Qiraat Sepuluh.

Walaupun begitu, bagi penuntut ilmu Qiraat, bacaan Khalaf tidak mengelirukan sama ada ketika beliau menjadi perawi kepada Imam Hamzah atau ketika beliau menjadi Imam yang kesepuluh.

Ini kerana penggunaan namanya amat jelas dan terang. Bacaannya ketika beliau perawi kepada Imam Hamzah disebut sebagai Khalaf daripada Imam Hamzah. Tetapi jika bacaan beliau sebagai Imam yang kesepuluh disebut Khalaf al-'Asyir.

Nama penuhnya ialah Khalaf Ibn Hisyam Ibn Tha'lab Ibn Khalaf. Dilahirkan pada tahun 150 hijrah. Beliau mampu menghafaz al-Quran dan khatamnya dalam usia 10 tahun.

Seterusnya beliau menuntut ilmu syariah ketika berusia 13 tahun. Menguasai ilmu agama dengan mendalam, budi pekertinya amat mulia, kuat beribadat dan amat zuhud.

Khalaf talaqqi Qiraat Imam Hamzah melalui muridnya Sulaim Ibn Isa. Beliau juga bertalaqqi al-Quran dari beberapa guru antaranya ialah AbdulRahman Ibn Abi Hammad, Ya'qub Ibn Khalifah, Abi Zaid Said Ibn Aus, Ishaq al-Musaibi, Ismail Ibn Ja'far, Abdul Wahhab Ibn 'Ata.

Selain guru tersebut, Khalaf juga mendengar bacaan Imam al-Kisaei. Ada juga pendapat yang menyatakan Khalaf membaca di hadapan al-Kisaei namun yang masyhurnya Khalaf hanya mendengar Imam al-Kisaei membaca al-Quran hingga khatam dan mencatat bacaannya.

Ibn Asytah menyatakan bahawa Khalaf mengikuti dan mengambil qiraat Imam Hamzah namun berbeza dalam 120 tempat mengikut pilihannya. Imam Ibn Jazari mengkaji satu persatu pilihan Khalaf tersebut dan mendapati masih dalam lingkungan Qiraat ahli Kufah. Imam Khalaf meninggal dunia pada tahun 229 hijrah di Baghdad.

Perawi pertama Imam Khalaf ialah Ishaq. Beliau ialah Ishaq Ibn Ibrahim Ibn Uthman Ibn Abdullah. Seorang yang thiqah, kuat ingatan dan mutqin. Membaca dan menekuni Qiraat Khalaf al-'Asyir dan pilihannya kepada gurunya sendiri. Beliau juga mendalami ilmu Qiraat dari al-Walid Ibn Muslim. Ishaq meninggal dunia pada tahun 286 hijrah.

Perawi kedua Imam Khalaf ialah Idris Ibn Abdul Karim al-Haddad. Meriwayat secara langsung Qiraat Khalaf sama ada riwayatnya daripada Imam Hamzah atau pilihannya sendiri.

Menekuni ilmu Qiraat daripada beberapa guru antaranya Muhammad Ibn Habib al-Syamuni. Ramai di kalangan ulama yang sempat bertalaqqi dari Idris.

Di antara mereka ialah Muhammad Ibn Ahmad Ibn Syanabuz, Ibn Muqsim, Musa Ibn Ubaidillah al-Khaqani, Muhammad Ibn Ishaq al-Bukhari. Idris meninggal dunia pada hari raya Aidiladha tahun 292 hijrah dalam usia 93 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 26 Julai 2011

Majalah & Buku baru

Assalamualaikum,

Minggu shopping buku dan majalah. Solusi #34 bumper issue Ramadhan & Syawal

Anis #168. Fokus issue kali ini berkisar tentang al-Quran; Petunjuk, terapi dan syafaat. Kat dlm ade artikel interview with Tarmizi Ali, Kutron Nada (hafizah Darul Quran)

Buku ni dah lama tgk, tapi baru ada can beli tadi..

Yang ni pulak.. sebenarnya salah beli, tajuk buku yang dicari ala-ala sama.. heheeheee.. terperasan silap bila baca... Rumahtangga bahagia? erkk... walaupun salah beli, tapi tajuknya cukup enlightening. Alaaa.. buku kosong (555) pun ade manfaat, apetah lagi buku yg bermuka surat 417 padat bertulisan dan kat page belakang ade asma'ul husna :)

Buku Akademi Ramadan ni saya beli masa balik kg 2 minggu lepas.. Zikir mathurat tu kawan saya bagi.. Tima kasih Lin ^_^



Bertadabbur dengan al-Quran

NABI Muhamad SAW merupakan utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (al-Anbiyaa': 107).

Dalam menyeru manusia mentauhidkan Allah, baginda Rasulullah telah dibekalkan sebuah kitab yang menjadi sebesar-besar mukjizat kepadanya iaitu al-Quran.

Kitab terakhir ini mengandungi pertunjuk dan pengajaran yang sedikit pun tidak terdapat keraguan, apatah lagi kesalahan.

Firman Allah: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa (al-Baqarah: 2).

Mukjizat al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah kerana mukjizat-mukjizat tersebut hanya boleh disaksikan oleh mereka yang hidup di zaman baginda sahaja.

Sedangkan al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.

Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tersembunyi dan hikmah yang boleh dikaji, diselidiki dan diterokai oleh umat manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat.

Membaca al-Quran dan bertadabbur dengannya menjadikan hati yang keras bertukar lembut.

Ramai tokoh-tokoh manusia yang pada awalnya menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah setelah mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Sebagai contoh di zaman Rasulullah antara mereka ialah Saidina Umar al-Khattab manakala di zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril melalui dua peringkat.

Peringkat pertama al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh keberkatan di bulan Ramadan.

Peringkat kedua al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Oleh kerana Allah yang menurunkan al-Quran, maka Dia jugalah yang berhak menjaga dan memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari oleh pengubahsuaian manusia.

Hal ini dijelaskan oleh Allah: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya (al-Hijr: 9).

Buktinya dari dulu sehingga sekarang dan sampai hari kiamat, tidak ada seorang manusia yang sanggup mencipta satu ayat yang setanding dengan al-Quran.

Sedangkan jika dilihat dari sudut sejarah ketika al-Quran diturunkan kepada Rasulullah, masyarakat Arab jahiliah cukup mahir dalam mengarang sajak dan juga bersyair.

Biar pun begitu mereka tidak sanggup membuat satu ayat yang setanding dan setara dengan al-Quran.

Maka benarlah firman Allah: Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (al-Baqarah: 23-24).

Berdasarkan ayat ini jika manusia masih berdegil dan tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran maka bersiap sedialah dengan azab neraka di akhirat.

Sumber: Utusan Malaysia

Ahad, 24 Julai 2011

Qari, qariah Malaysia muncul johan

KUALA LUMPUR 23 Julai - Qari dan qariah Malaysia, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Amirahman yang membacakan surah Nahl bermula ayat 65 meraih markah 89.26 peratus manakala Suraya yang memperdengarkan surah Al-Zahraa bermula ayat ke-57 pula mendapat 88.67 peratus.

Kedua-duanya menyampaikan bacaan mereka pada malam ini, iaitu malam terakhir majlis tilawah tersebut yang dihadiri kira-kira 5,000 hadirin dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM32,200 bersama trofi dan sijil.

Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Dalam pada itu, qari Filipina, Saudi M. Gandisa muncul naib johan apabila mengumpul markah 88.67 peratus dan tempat ketiga, Abdel Bast Mohamed dari Mesir dengan 87.88 peratus.

Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi peserta Indonesia, Noor Khalidah Kapsul Anwar yang memperoleh markah 88.30 peratus dan ketiga, Nur Azizah Sholichin dari Singapura dengan 86.17 peratus.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,400 dan RM13,600 beserta sijil.

Peserta-peserta lain menerima sagu hati berupa hadiah wang tunai RM4,800 beserta sijil.

Bagi kategori qari, tempat keempat dimenangi qari Iran, Hamidreza Abbasi dan kelima, qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman.

Qariah dari Brunei, Dayang Nuurfaezah Emran pula menduduki tempat keempat manakala kelima, Rahima M. Panondiongan dari Filipina.

Majlis tilawah yang berlangsung sejak 16 Julai lalu bertema 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' menyaksikan 81 peserta (50 qari dan 31 qariah) dari 50 negara mengambil bahagian.

Penghakiman tilawah tahun ini dilakukan 16 hakim dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.

Sumber: Utusan Malaysia

Keesaan Allah dalam surah al-Ikhlas

Dinukilkan di sini sebahagian pendapat dan penegasan Ibn Qayyim al-Jauziyah menerusi kitabnya Hidayatul Hayari fi Ajwibatil Yahud wa al-Nasara terhadap ciri-ciri Allah bagi agama Islam berbanding Kristian sebagai menjelaskan lagi perbezaan maksud lafaz Allah bagi kedua-dua agama ini.

* Sesungguhnya Allah SWT adalah satu, tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya, tidak ada bandingan yang setara dengan-Nya, tidak ada pengawal, tidak ada penasihat, tidak ada penolong dan tidak ada pemberi syafaat kecuali dengan izin-Nya.

* Dia tidak mempunyai bapa, anak, keturunan, isteri dan tidak mempunyai kesamaan dengan selain-Nya.

* Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan, tidak minum dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

* Zat-Nya tidak bersatu dengan makhluk-Nya dan tiada makhluk yang menyatu ke dalam zat-Nya.

* Dia Maha Ada, tidak pernah hilang dan tidak pernah mewakilkan urusan kerajaan-Nya kepada selain dari-Nya.

* Dia Maha Sempurna dan hanya Dia yang memiliki kesempurnaan.

Firman Allah SWT: Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

Abu Su'ud dalam tafsirnya berkata: Nama Allah diulangi sehingga dua kali, iaitu pada ayat pertama dan ayat kedua dengan menjelaskan bahawa Dia adalah Esa, Tunggal, Dia adalah tempat pergantungan semua makhluk, supaya jelaslah bahawa yang tidak mempunyai kedua sifat pokok itu bukanlah Tuhan.

Pada ayat yang pertama ditegaskan tentang keEsaan-Nya, untuk menjelaskan betapa bersih-Nya Allah dari berbilang dan bersusun, dan dengan menjelaskan bahawa Dialah tempat bergantung segala makhluk, dan jelaslah bahawa pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan.

Dia tempat bergantung, tempat berlindung, bukan Dia yang mencari perlindungan kepada yang lain, Dia tetap ada dan kekal dalam kesempurnaan-Nya, tidak pernah berkurang.

Berkenaan perkataan al-Samad, ada banyak tafsiran, antaranya:

* Al-Samad yang tiada rongga padanya seperti pendapat al-Hasan, Ikrimah, al-Dahhak dan Ibn Jubair.

* Yang tidak makan dan minum seperti pendapat al-Sya'bi.

* Yang kekal tanpa binasa seperti pendapat Qatadah.

* Tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti pendapat Muhammad bin Ka'ab.

* Segala manusia memohon hajat kepada-Nya seperti pendapat Ibn Abbas.

* Ia adalah penghulu yang bersifat Maha Tinggi seperti kata Abu Wa'il dan Sufyan.

* Ia bersifat sempurna yang tiada cacat celanya seperti pendapat Muqatil.

* Ia adalah tempat segala hajat dan pertolongan, seperti kata al-Suddi.

8 Ia terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu seperti kata Abu Hurairah.

8 Ia boleh melakukan apa sahaja dan menghukum mengikut kehendaknya.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT yang menjadikan tumpuan semua hamba dan mereka menghadapkan diri kepada-Nya untuk menyelesaikan kepentingan mereka tanpa perantaraan dan penolong.

Dengan demikian, ketentuan ini membatalkan kepercayaan kaum Musyrikin Arab yang mempercayai adanya perantara dan penolong juga membanteras kepercayaan penganut agama lain yang bawa pemimpin agama mereka itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan kerana menerima perantaraan bagi orang lain untuk mencapai apa yang mereka cari.

Ini disebabkan mereka selalu kembali kepada perantaraan-perantaraan itu baik selama hidup mahupun setelah meninggal dunia. Mereka berdiri di sisi kubur-kubur itu dengan penuh khusyuk dan tunduk sebagaimana tunduknya mereka kepada Allah SWT bahkan lebih daripada itu.

Firman Allah SWT: Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.

Mengikut Dr. Said Abdul Azim dalam bukunya Qul Ya Ahlal Kitab Lastum 'Ala Syai' menyebut berkenaan usul yang disepakati ini:

* Bahawa Allah bersifat qadim, wahdaniyyah tanpa sekutu pada kerajaan-Nya.

* Bahawa Dia tiada bapa, tiada seumpama-Nya, tiada isteri dan tiada menyamai dengan sekelian makhluk-Nya.

* Bahawa Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan dan minum serta tidak berhajat kepada makhluk.

* Bahawa Dia tidak berubah dan tidak menerima kebinasaan seperti tua, sakit, mengantuk, tidur, lupa, takut, dukacita dan lain-lain.

* Bahawa Dia tidak serupa sesuatupun daripada makhluk, sama ada pada zat, sifat dan perbuatan-Nya.

* Bahawa Dia tidak mengambil tempat pada sesuatupun daripada makhluk-Nya.

* Bahawa Dia lebih agung daripada sesuatu, lebih besar daripada sesuatu dan Maha Tinggi daripada sesuatu.

* Bahawa Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

* Bahawa Dia Maha Mengetahui dengan setiap sesuatu sama ada tersembunyi atau yang terang.

* Bahawa Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

* Bahawa Dia Maha Penyaksi yang tiada ghaib sesuatupun daripada-Nya.

* Bahawa Dia bersifat abadi lagi kekal selama-lamanya.

* Bahawa Dia berkata-kata sama ada arahan atau larangan.

* Bahawa Dia Maha Benar pada janji dan khabar-Nya.

* Bahawa Dia bersifat samad yang semua makhluk berhajat kepada-Nya.

* Bahawa Dia bersifat Maha Suci, Maha Sejahtera yang terlepas daripada sebarang aib dan kekurangan.

* Bahawa Dia bersifat Maha Sempurna dengan kesempurnaan yang mutlak.

* Bahawa Dia Maha Adil yang sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.

Ibn Qayyim berkata: "Ini adalah perkara yang disepakati oleh semua Kitab dan Rasul dan ia sebagai satu ketetapan yang tidak harus datang syariat yang menyalahinya. Begitu juga yang dikhabarkan oleh Nabi SAW menyalahinya pada asal, sedangkan golongan penyembah salib meninggalkan konsep triniti semuanya di samping berpegang dengan perkara yang menjadi syubhah daripada makna dan yang mujmal daripada lafaz".

Fadilat surah al-Ikhlas

Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad menukilkan: Nabi SAW selalu membaca pada solat sunat Fajar dan solat witir surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun. Ini kerana kedua-dua surah ini mengumpulkan tauhid ilmu dan amal, tauhid makrifat dan iradat, tauhid iktikad dan tujuan.

Surah al-Ikhlas mengandungi tauhid iktikad dan makrifat dan apa yang wajib dipandang tetap teguh pada Allah menurut akal murni, iaitu Esa dan tunggal. Dia adalah pergantungan yang tetap, yang pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan, dan tidak pernah berkurangan dari segi mana pun.

Dia ternafi daripada beranak dan diperanakkan, kerana jika keduanya itu ada, Dia tidak jadi pergantungan lagi dan KeEsaannya tidak bersih lagi. Dan nafi atau tiadanya kufu', tandingan, bandingan dan gandingan adalah menafikan penyerupaan, perumpamaan ataupun pandangan lain.

Oleh kerana itulah, surah ini mengandungi segala kesempurnaan bagi Allah dan menafikan segala kekurangan. Inilah dia pokok tauhid menurut ilmiah dan menurut akidah, yang melepaskan orang yang berpegang teguh kepadanya daripada kesesatan dan mempersekutukan.

Dinyatakan di sini beberapa fadilat surah al-Ikhlas, antaranya:

* Daripada Abu Sa'd, ada seorang yang mendengar seorang lelaki membaca surah al-Ikhlas dengan berulang kali. Pada keesokannya, ia datang menemui Nabi SAW lalu ia menyebutkan cerita itu kepada beliau seolah-olah ia merasa surah itu sangat sedikit.

Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Demi jiwaku ditangan-Nya, sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Quran".

* Ibn Abbas r.a berkata: Surah al-Zalzalah sama nilainya dengan separuh al-Quran. Surah al-Ikhlas sama dengan sepertiga al-Quran. (riwayat al-Hakim)

* Dari Aisyah r.anha bahawa Nabi SAW pada suatu ketika telah mengirim pasukan tentera. Panglima tentera tersebut setiap kali solat yang dibacanya kuat akan menutup bacaan dengan surah al-Ikhlas.

Apabila pulang hal tersebut dikhabarkan kepada Nabi SAW. Lantas Baginda suruh bertanya sebabnya. Panglima tersebut menjawab: Itu adalah sifat Allah SWT yang bersifat Rahman dan saya amat suka membacanya. Mendengar keterangan tersebut, Baginda bersabda: Katakanlah kepadanya, bahwa Allah reda kepadanya.

* Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Aku menemui Rasulullah SAW, tiba-tiba Baginda mendengar seorang lelaki membaca surah Ikhlas. Lantas Baginda bersabda: Wajiblah. Aku bertanya apakah yang wajib itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: masuk syurga.

Surah ini memuatkan penolakan musyrikin dengan segala bentuknya. Allah SWT mengingkari zat-Nya mempunyai sifat memerlukan kepada yang lain dengan firman-Nya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentauhidkan Allah dan makrifah dengan-Nya. Amin.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 23 Julai 2011

Semarak budaya membaca al-Quran setiap organisasi

Oleh Sharifah Hayaati
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Hikmah kitab Allah penawar kepada manusia

SEPANJANG minggu ini kita berpeluang menyaksikan Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 yang berakhir hari ini. Walaupun majlis musabakah berakhir, sebagai umat Islam yang amat beruntung kerana dianugerahkan nikmat Kitabullah ini tidak akan berhenti dalam pembacaan, pengajian, pengamalan dan penghayatan terhadapnya.

Malah, majlis ini sepatutnya menjadi pencetus kepada kesedaran hati untuk bermuhasabah diri sejauh mana kita mencintai al-Quran. Paling asas, adakah kita sentiasa membasahi lidah dengan membacanya kerana itulah rahsia kekentalan jiwa dan kejayaan umat terdahulu.

Malah, amalan membaca al-Quran, mempelajari dan mengajarkannya adalah sebaik-baik amalan kerana sabda Rasulullah SAW daripada Saidina Uthman bin Affan: “Sebaik-baik kamu adalah individu yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Selain itu, majlis musabakah ini memberi ingatan ketibaan bulan penurunan al-Quran iaitu bulan Ramadan yang sudah semakin hampir. Jika majlis itu belum memberi apa-apa perasaan dan iltizam di sanubari kita, mudah-mudahan perasaan itu datang ketika ini.

Sesungguhnya cetusan kepada al-Quran membawa berita gembira dan menambah lagi ingatan serta mendekatkan hati kita kepada Allah. Gambaran kegembiraan menerima al-Quran yang rahmatnya lebih baik daripada apa yang kita ada dinyatakan dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dengan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 57-58)
Al-Maraqhi dalam tafsirnya mengatakan, ayat ini secara ijmalnya menunjukkan al-Quran itu penawar kepada manusia dalam empat perkara iaitu nasihat yang baik, penawar kepada segala penyakit hati seperti syirik dan nifaq, petunjuk jalan kebenaran dan rahmat bagi mereka yang beriman.

Bahkan, keagungan Allah melalui kalam-Nya ini juga apabila dibaca dapat melembutkan hati dan membuka hidayah seperti berlaku kepada ahli syair terkemuka, Thufail bin Amr dan Saidina Umar bin al-Khattab untuk memeluk Islam.

Pembudayaan membaca al-Quran juga tidak terhad kepada satu-satu tempat, keadaan atau masa saja. Ia boleh dibudayakan termasuk di tempat kerja. Sebagai pengurus atau majikan, semua usaha perlu dihidupkan dalam organisasi kerana mukjizat kehebatan kemuliaan al-Quran dan kesannya sangat mendalam kepada jati diri.

Ia adalah pasak keimanan, pemacu kepada sistem kerja berteraskan nilai luhur dan pembuka minda ke arah penerokaan ilmu serta kerangka pemikiran positif.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memimpin ke jalan yang paling baik dan lurus.” (Surah al-Isra’, ayat 9)

Impaknya apabila dihayati akan melahirkan pekerja dedikasi, jujur, sabar dan iltizam. Galakan dan inisiatif pihak pengurusan mampu menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti secara menyeluruh.

Jika dirujuk kepada amalan Rasulullah SAW, Baginda amat mengutamakan mereka yang mencintai al-Quran sama ada dalam memberikan sesuatu amanah tugas mahupun penghargaan.

Dinyatakan oleh Anas bin Malek dan Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW apabila melantik panglima tentera dan ketika memasukkan jenazah syuhada ke dalam liang lahad akan mendahulukan mereka yang menghafaz al-Quran.

Antara sahabat nabi yang paling utama dalam kecintaan ilmu dan hafazan al-Quran yang juga disebut oleh Allah namanya adalah Ubai Bin Ka’ab yang nabi gelar sebagai Saiyyidul Qurra’ (ketua qari).

Walaupun dalam konteks pekerjaan hari ini, kecekapan seseorang dilihat dari pelbagai aspek termasuk kelayakan, pengalaman, peribadi dan prestasinya, namun usaha penerapan nilai luhur berteraskan al-Quran terus dipertingkatkan dan disemarakkan.

Nilai daripada al-Quran itulah yang sebati dalam perilaku dan menjadi akhlak Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya al-Quran di tempat kerja dengan pelbagai usaha. Mulakan dari diri kita sendiri seperti membaca ummul kitab al-Fatihah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan beberapa potong ayat al-Quran sebelum memulakan tugas.

Walaupun sedikit dan dibaca dengan betul ia adalah sebaik-baik zikir. Di samping memanjatkan doa semoga segala hasil keringat kita diberkati serta dijauhi daripada sebarang kemudaratan.


Sumber: Berita Harian

Jumaat, 22 Julai 2011

Doa Dhuha



Doa Dhuha:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,
Kecantikannya adalah kecantikanMu,
Keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, 
Kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, 
Jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, 
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Khamis, 21 Julai 2011

Isteri umpama bidadari

Semanis Kurma: 21 Julai 2011
Tajuk perbincangan: Isteri umpama bidadari

Ayat doa 1:

Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. Surah Hud, Ayat 56

Ayat doa 2:

Dan katakanlah: Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh! Surah Isra, Ayat 111

Ayat doa 3: (amik yang tengah2)

Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." Surah Yusuf, Ayat 30

Rabu, 20 Julai 2011

Imam Ya'qub al-Hadrami

IMAM yang ke lapan mengikut susunan Qurra ialah Imam Ya'qub al-Hadrami. Nama penuhnya ialah Ya'qub Ibn Ishaq Ibn Zaid Ibn Abdullah Ibn Abi Ishaq.

Beliau adalah guru al-Quran terkemuka di Basrah. Mempunyai keperibadian yang tinggi danseorang yang salih dan dipercayai. Menjadi rujukan utama al-Quran bagi penduduk Basrah selepas meninggal gurunya Imam Abu Amru. Imam Ya'qub juga pernah memegang jawatan Imam di Masjid Basrah selama beberapa tahun.

Sudah menjadi lumrah, syarat utama manjadi alim dalam sesuatu bidang mestilah mempunyai guru yang ramai dan berwibawa. Imam Ya'qub bertalaqqi al-Quran dengan sejumlah guru yang bersambung sanadnya.

Antara mereka ialah Salam al-Tawil, Mahdi Ibn Maimun, Abu al-Asyhub al-'Ataridiy, Maslamah Ibn Muharib, Ismah Ibn Urwah al-Nuqaimi, Yunus Ibn Ubaid dan lain-lain.

Tempoh perguruanya dengan guru-guru yang tersebut ada yang memakan masa sehingga setahun lebih dan ada dalam beberapa hari sahaja.

Imam Ya'qub menyatakan: "Aku membaca al-Quran di hadapan guruku Salam al-Tawil selama setahun enam bulan. Dan aku membaca al-Quran di hadapan guruku Syihab selama lima hari sahaja dan guruku Syihab membaca al-Quran dihadapan gurunya Maslamah al-Muharibi selama sembilan hari dan Maslamah membaca al-Quran dari gurunya Abu al-Aswad al-Duali dan beliau mengambil dari gurunya Ali Ibn Abi Talib."

Ramai ulama meriwayatkan Qiraat Ya'qub. Antara mereka ialah Zaid Ibn Ahmad, Kaab Ibn Ibrahim, Umar al-Siraj, Humaid Ibn al-Wazir, Muslim Ibn Sufiyan al-Mufasir, Ruwais dan Rauh Ibn Abdul Mukmin.

Imam Ibn al-Jazari menyatakan berkaitan Imam Ya'qub, tawatur qiraatnya dan menolak tanggapan buruk terhadap Imam Ya'qub. Beliau menyatakan Imam Ya'qub adalah di kalangan yang teralim dalam bidang al-Quran, nahu dan ilmu lain pada zamannya, begitu juga ayah dan datuknya.

Beliau juga menegaskan, amat pelik dan antara kesalahan yang amat berat adalah menjadikan Qiraat Ya'qub sebagai Qiraat Syazah yang tidak harus membacanya dan tidak sah membaca dalam sembahyang.

Sesungguhnya hendaklah diketahui bahawa tidak ada bezanya antara Qiraat Ya'qub dengan Qiraat Tujuh di sisi ulama.

Al-Bukhari menyatakan Imam Ya'qub meninggal dunia pada tahun 205 hijrah dalam usia 88 tahun. Ayah dan datuknya juga meninggal dunia dalam usia yang sama.

Perawi pertamanya ialah Ruwais Ibn Abu Abdillah Muhammad Ibn al-Mutawakkil. Beliau terkenal dengan panggilan Ruwais. Merupakan guru al-Quran yang mahir dan memiliki ingatan yang tajam.

Mempelajari Quran dari Imam Ya'qub. Al-Dani (meninggal 444 Hijrah) menyatakan Ruwais adalah murid Ya'qub yang paling pintar. Beliau meninggal dunia di Basrah pada tahun 238 hijrah.

Perawi kedua ialah Rauh Ibn Abdul Mukmin. Golongan hadis menggelarkannya sebagai Abu al-Hasan al-Huzali al-Basri al-Nahwi.

Beliau adalah guru al-Quran yang terulung pada zamannya, dipercayai dan mempunyai kuat ingatan.

Aal-Bukhari meriwayatkan beberapa hadis daripada Rauh dan memuatkanya dalam kitab sahihnya. Beliau meninggal pada tahun 235 hijrah.

Sumber: Utusan Malaysia

Golongan mulia sanggup belajar, mengajar al-Quran

DARIPADA Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah Al-Waaqiah, ayat 77-80)

Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi)

Kebaikan membaca al-Quran amat banyak antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya.

Orang yang membaca al-Quran dengan lisan yang tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran.

Ibnu Abbas menceritakan Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.”

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) - Berita Harian

Sokongan padu bakar semangat qari, qariah negara

Suraya, Amirahman timba pengalaman tingkat keyakinan beri persembahan terbaik

KEHADIRAN rombongan tiga bas dari Kota Tinggi, Segamat dan beberapa daerah di Johor Bahru terdiri daripada anak murid serta rakan qariah, menguatkan semangat qariah negara, Suraya Abu Hassan, yang memperdengarkan bacaannya pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53, malam tadi.

Beliau yang menjadi peserta ketiga memperdengarkan bacaan pada malam keempat dalam majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), membaca surah al-Zukhruf bermula ayat 57.

Berbekalkan tunjuk ajar diberikan guru serta pembimbing disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berusaha melakukan yang terbaik dan bertawakal kepada Allah.

“Memang cita-cita saya ingin menjadi johan qariah peringkat antarabangsa dan saya tetapkan niat perjuangan ini kerana Allah. Oleh itu saya berusaha sedaya mungkin melakukan yang terbaik dan keputusannya saya serahkan kepada Allah.

“Andainya ada rezeki saya kali ini, Alhamdulillah dan jika sebaliknya, saya akan berusaha lagi di masa depan sehingga hasrat menjadi juara qariah peringkat antarabangsa biarpun sekali tercapai,” katanya.

Beliau yang mengakui rasa sedikit gemuruh bersyukur kerana pembimbing banyak memberi kata-kata semangat dan membekalkan ayat bagi menghilangkan rasa seram sejuk menanti saat nama diumum untuk naik ke pentas memperdengarkan bacaan.
Sebagai persediaan akhir qari dan qariah yang mewakili negara, JAKIM menyediakan tiga tenaga pengajar iaitu bekas johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, Abdul Rahim Ahmad, Ummi Kalthum Md Zain dan Datuk Salehuddin Omar.

Suraya berkata, untuk persediaan peringkat akhir beliau meningkatkan kefahaman dalam bidang tajwid dan pada masa sama mempertajamkan lagi kemahiran taranum serta kawalan suara yang merangkumi sebahagian besar peratusan markah.

Ibu kepada empat anak itu turut mempertaruhkan pengalaman menjadi guru al-Quran sejak 1993 serta kata-kata semangat daripada suami tercinta, Muhammad Jamil Husin, yang yakin dengan kemampuannya untuk memberikan persembahan terbaik.

Pembabitan Suraya dalam ilmu membaca al-Quran bermula seawal umur sembilan tahun dengan mendapat bimbingan asas daripada Allahyarham bapa, Abu Hassan Ahmad.

Beliau mula mendapatkan bimbingan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 1994, Ummi Kalthom Mohd Zain, selepas mengikut suami berpindah ke Johor. Ummi Kalthom banyak mencurahkan ilmunya hingga Suraya berjaya menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Seramai 81 peserta daripada 50 negara menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ini. Johan tilawah menerima hadiah wang tunai RM32,200 berserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala naib johan menerima wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga menerima wang tunai RM13,600, cenderamata dan sijil penyertaan. Selain itu, setiap penyertaan menerima hadiah sagu hati M4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Sementara itu, qari negara, Amirahman Abas, menyedari tanggungjawab besar dipikul berikutan harapan tinggi rakyat negara ini untuk melihat wakil Malaysia dinobatkan sebagai johan pada malam penutup nanti.

Itu tidak sedikitpun memberikan tekanan, sebaliknya menjadi pendorong untuknya mencurahkan segala ilmu yang ada pada malam giliran beliau memperdengarkan bacaan iaitu pada Khamis ini.

“Pastinya saya ingin memberikan bacaan yang terbaik tetapi saya hanya mampu berusaha. Doa saya semoga Allah permudahkan dan saya dapat menyampaikan bacaan menepati kehendak juri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada JAKIM yang menyediakan tenaga pengajar sebagai usaha memantapkan lagi mutu bacaan peserta dan mengakui banyak menimba pengalaman daripada tunjuk ajar diberi.

Amirahman yang juga pemenang kedua program Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, berkata pengalaman mengikuti pengajian sepanjang menyertai AQ banyak membantu terutama untuk berdepan keadaan sukar.

Katanya, berbanding tilawah yang surah serta ayat dimaklumkan lebih awal, peserta AQ hanya menerima soalan pada malam mereka diuji depan juri. Justeru, katanya pengalaman itu berjaya meningkatkan keyakinan dirinya.

“Gemuruh pentas itu akan sentiasa ada tetapi saya rasa lebih tenang kerana sudah ada pengalaman ketika di AQ dan empat kali menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan. Sokongan keluarga, guru dan rakan juga menjadi azimat kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, untuk meniti saat akhir khususnya ketika menanti giliran Khamis ini, beliau berharap akan mendapat rehat yang mencukupi, tiada gangguan yang boleh menyebabkan hilang fokus serta diberikan Allah kesihatan yang baik.

Sumber: Berita Harian

Ahad, 17 Julai 2011

Al-Quran Baru

Assalamualaikum,

Last week hari Rabu pi Syabab, PKNS Bangi. Beli Al-Quran baru ^__^. Lupa nak shoot page dalam2. Dah letak kat opis.

Masa nak bayar tu nampak buku Tuan Guru Dato' Haron Din - Ikhtiar Penyembuhan Penyakit. Terus beli sekali. Buku Ustaz Sharhan yang baru belum kuar, mak saya pun dah tanya td. Nanti kalau dah beli/available saya update kat sini.

Jumaat, 15 Julai 2011

Berfikir Qurani

Khutbah Bertarikh: 1 April 2011
Tajuk: BERFIKIR QURANI

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.Semoga ketakwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan bertajuk: BERFIKIR QURANI

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Al-Quran merupakan mukjizat, kitab suci dan Kalam Allah yang diturunkan kepada junjungan kita Baginda Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS secara berperingkat-peringkat selama lebih kurang 23 tahun. Di dalamnya mengandungi peristiwa-peristiwa umat-umat terdahulu yang menyentuh pelbagai sudut kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi ummah bertamadun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1:

Maksudnya: “Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru, Rasulullah SAW menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan isi al-Quran keseluruhannya serta mendalami dan meneroka segala isi kandung yang ada dalam al-Quran. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Baca teks penuh khutbah di Jakim

Khamis, 14 Julai 2011

Suami lebihkan kawan, isteri makan hati

Semanis Kurma: 14 Julai 2011
Tajuk perbincangan: Suami lebihkan kawan, isteri makan hati

Ayat doa:


Dan (mereka berkata lagi): Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah. (Mereka berkata pula: Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Rabu, 13 Julai 2011

81 sertai Tilawah al-Quran Antarabangsa

KUALA LUMPUR 12 Julai - Seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara akan menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 yang akan berlangsung selama lapan hari mulai Sabtu ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, penganjuran acara itu menggambarkan komitmen kerajaan untuk menerapkan budaya minat terhadap al-Quran serta memahami intipatinya di samping mengeratkan persaudaraan antara negara-negara Islam.

"Malaysia akan diwakili oleh johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 baru-baru ini iaitu Amirahman Abas dari Negeri Sembilan dan Suraya Abu Hassan dari Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Othman, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pembukaan tilawah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor akan turut hadir pada majlis perasmian tilawah yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Imam Abu Jaafar al-Madani

IMAM Ibnu al-Jazari (meninggal dunia 833 hijrah) mengkaji dengan teliti perkembangan Qiraat pada zamannya dan mendapati Qiraat yang menjadi amalan harian ketika itu tujuh Qiraat iaitu Imam Nafei', Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibnu 'Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisai.

Dalam pengamatannya juga, ramai di kalangan umat Islam ketika itu berpandangan tujuh Qiraat tersebut sahajalah yang mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Selain Tujuh Qiraat adalah tidak mutawatirah.

Kajian Ibnu al-Jazari terhadap Qiraat berdasar kepada tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati mushaf Uthmani dan menepati bahasa Arab yang fasih. Rumusannya Tiga Qiraat iaitu Imam Abu Ja'far, Imam Ya'qub dan Imam Khalaf adalah sahih dan mutawatirah.

Imam Abu Ja'far adalah di kalangan Tabien. Beliau menerima pendidikan al-Quran daripada guru-guru di kalangan para sahabat ra. Guru-gurunya ialah; Abdullah Ibnu 'Ayyash Ibnu Abi Rabi'ah, Abdullah Ibnu Abbas, Abu Hurairah. Ada juga yang mengatakan beliau sempat membaca al-Quran kepada Zaid Ibnu Thabit ra. namun Imam al-Zahabi menafikan.

Di waktu kecilnya, Imam Abu Ja'far dibawa kepada Ummu Salamah iaitu Ummu al-Mukminin dan beliau menggosok kepalanya dengan mendoakan keberkatan. Abu Ja'far juga pernah bersolat di belakang Ibn Umar ra.

Ilmu al-Quran yang dikuasainya menjadikan beliau tumpuan umat Islam ketika itu untuk menimba ilmunya antara yang menjadi muridnya ialah Imam Nafei', Sulaiman Ibnu Muslim Ibn Jammaz, Isa Ibnu Wardan, Abu Amru, Abdul Rahman Ibnu Zaid Ibnu Aslam dan tiga anaknya iaitu Ismail, Ya'qub dan Maimunah.

Imam Malik menyatakan bahawa Abu Ja'far adalah lelaki yang soleh dan mengajar al-Quran kepada penduduk Madinah. Abu al-Zinad berkata, tidak ada seorang pun yang lebih alim tentang sunnah daripada Abu Ja'far.

Diriwayat daripada Ibnu Jammaz antara amalan Abu Ja'far ialah puasa bersilang hari sebagaimana puasa Nabi Daud as.

Imam Abu Ja'far meninggal dunia di Madinah pada tahun 130 hijrah.

Perawi pertama Imam Abu Ja'far ialah Isa Ibnu Wardan. Beliau mendalami ilmu al-Quran dengan beberapa guru antaranya ialah; Abu Ja'far, Syaibah dan juga Imam Nafei'. Beliau meninggal dunia pada tahun 160 hijrah.

Perawi kedua Imam Abu Ja'far ialah Sulaiman Ibnu Muslim Ibnu Jammaz. Beliau merupakan seorang Muqri, amat kuat ingatan dan terpuji. Antara gurunya ialah Abu Ja'far, Nafei', Ismail Ibnu Ja'far dan Qutaibah Ibnu Mihran.

Beliau mendalami Qiraat Abu Ja'far dan Qiraat Nafei. Menurut Ibnu al-Jazari, Ibnu Jammaz meninggal dunia sekitar tahun 170 hijrah.

Sumber: Utusan Malaysia

Memuliakan penghafal al-Quran

AL-QURAN merupakan kitab suci yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad yang lalu. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia.

Kandungannya tidak berubah sehingga akhir zaman kerana Allah telah berjanji untuk memelihara kitab agung itu sehingga hari kiamat iaitu antaranya dengan meletakkannya di dalam hati-hati orang yang menghafal al-Quran.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)

Al-Quran merupakan mukjizat teragung untuk dipelajari, dijadikan panduan dan diamalkan seluruh umat manusia kerana ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan oleh manusia.

Isi kandungannya dapat menyelesaikan setiap masalah kehidupan yang ada di dunia ini bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kepentingan dan kemuliaan tertinggi kepada golongan pencinta al-Quran itu, maka usaha-usaha dan bentuk galakan harus diberi kepada masyarakat Islam negara ini agar mereka mencintai al-Quran sekali gus dijadikan panduan untuk melayari kehidupan di dunia.

Oleh itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memulakan langkah ke arah matlamat itu dengan memperkenalkan skim bantuan galakan hafazan al-Quran. Ia bertujuan menggalakkan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan mencintai al-Quran.

Skim yang diperkenalkan sejak tahun 2007 itu ternyata berjaya memberi semangat dan dorongan kepada masyarakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menghafal al-Quran dengan menyaksikan peningkatan penyertaan tahun demi tahun.

Bermula hanya 400 penyertaan yang layak menerima bantuan itu pada tahun 2007, jumlah itu meningkat seramai 104 pada tahun berikutnya manakala tahun 2009 menyaksikan pertambahan kepada 128 penerima dan meningkat kepada 114 penerima tahun lalu.

Pertambahan jumlah penyertaan itu sekali gus meningkatkan jumlah peruntukan bantuan yang dikeluarkan MAIWP. Pada tahun 2007, majlis itu hanya mengeluarkan dana berjumlah RM44,000; RM295,000 (2008), RM427,000 (2009) dan RM428,500 (2010).

Baca artikel penuh di Utusan Malaysia

Isnin, 11 Julai 2011

Seksaan Allah ke atas Abu Lahab

SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah dengan ijmak. Ia terdiri daripada lima ayat dan diturunkan setelah surah al-Fath.

Hubungan surah ini dengan surah al-Nasr.

Pada surah terdahulu Allah SWT menerangkan bahawa ganjaran orang yang taat adalah pertolongan dan kemenangan di dunia dan pahala yang sempurna di akhirat.

Di dalam surah ini Allah SWT menerangkan akibat yang dideritai oleh pelaku maksiat iaitu kerugian di dunia dan ancaman seksa di akhirat.

Sebab turunnya surah ini

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a yang berkata: “Nabi SAW keluar ke Bata’ lalu naik ke sebuah bukit seraya memanggil: Wahai kawan-kawan yang dihormati, berkumpullah ke mari. Lalu orang Quraisy berkumpul mendekati baginda.”

Kemudian baginda berkata: “Apa pendapatmu sekiranya aku beritahu kepadamu bahawa musuh akan menyerangmu pagi-pagi dan petang? Adakah kamu membenarkanku.” Mereka menjawab: “Ya.”

Kemudian Baginda bersabda: “Aku memberi khabar yang menakutkan kepada kamu akan seksa yang keras.” Abu Lahab menjawab: “Hanya untuk keperluan ini engkau mengumpulkan kami? Celaka engkau.”

Dalam satu riwayat Abu Lahab berdiri menggerak gerakan kedua-dua tangannya seraya berkata: “Celaka engkau sepanjang masa, untuk inikah engkau mengumpulkan kami?” Maka Allah SWT menurunkan surah ini.

Firman Allah SWT: Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.

Berkenaan perkataan tabbat, ada lima pendapat:

* Kerugian dan kehinaan, seperti pendapat Ibn Abbas.

* Sesat, sebagaimana pendapat Ata’.

* Binasa dan kematian, seperti pendapat Ibn Jubair.

* Kosong dari segala kebaikan sebagaimana pendapat Yaman bin Ri’ab.

* Kerugian dan kebankrapan. Inilah pendapat Qatadah.

Adapun maksud kedua belah tangan Abu Lahab ada dua pendapat:

* Diri Abu Lahab itu sendiri.

* Segala amalan Abu Lahab.

Berkenaan dengan kalimah watab, ia memberi empat maksud:

* Sebagai penguat untuk yang pertama.

* Kedua belah tangan Abu Lahab binasa dengan tegahan Allah daripada menzalimi Rasul-Nya.

* Yakni sebenarnya dia telah binasa seperti pendapat Ibn Abbas.

* Telah binasa anak Abu Lahab seperti pendapat Mujahid.

Sayid Qutub berkata: “Maksudnya, Abu Lahab telah binasa. Harta dan segala usahanya tidak dapat menolong dan menghalangnya daripada kebinasaan. Itulah balasan di dunia, sedangkan balasan di akhirat kelak amat dahsyat.”

Firman Allah SWT: Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

Dia kelak akan menderita akibat bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu.

Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya sia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gatal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan dia tidak dapat pula dapat menolong dirinya.

Ini kerana Allah SWT mengangkat seruan Rasul-Nya, menyebarkan dakwahnya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya.

Isterinya yang membantu kekufuran dan keingkarannya itu akan diseksa bersamanya kerana dia menjadi tangan kanan Abu Lahab dalam menyakiti dan menyeksa Rasulullah SAW. Dia ke sana ke mari mengadu domba untuk membuat kerosakan, menyalakan api permusuhan dan menimbulkan fitnah.

Sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 8 Julai 2011

Doa dan ubat

Tanyalah Ustaz: 8 Julai 2011
Ustaz Sharhan Safie
Topik: Doa dan ubat


Assalamualaikum.

Pagi td sempat tgk kejap seblom pi keje..

Buku Ustaz Sharhan.. harga rm25.00

Sedikit kupasan tentang Tanyalah Ustaz - Doa dan Ubat. Agak menarik bila ade penonton yang email dan menceritakan bits about pengalaman berubat, yg mana doktor yang merawatnya bukanlah seorang Muslim, tapi dia menyarankan pesakitnya berzikir.

So andai ade sesapa yang jiwa kacau, takyah susah2 pi cari pil anti-depression. Kalau still nak juga pgg benda bulat2 mcm pil.. pgg la biji-biji tasbih tu..

Combinelah ayat2 doa dgn apa juga solution dalam merawat penyakit. Kalau tak combine rugi; dah dapat pahala sabar & buleh top-up plak ngan pahala beramal membaca ayat al-Quran. :)

Peh tu jangan pi berubat dkt tempat yang menggunakan cara rawatan yang pelik lagi ganjil dan diragui. Kalau rasa2 lain mcm je, sila backout ye.

Ini Ayat syifa yang dikongsikan ustaz -

Mula-mula baca:

1. al-Fatihah

2. lepas tu baca:

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. Al-Furqan, Ayat 23

3. Ditutup dengan ayat:

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. Al-Hasyr, Ayat 21

Antara simptom-simptom penyakit gangguan (updated)
  • Belakang sakit, lenguh tatau kenapa
  • Sejuk2 kaki
  • Sakit2 sendi
  • Berpeluh tapak tangan, kaki sampai melekit
  • Melenting2 hatta perkara kecik yg remeh2
  • Berdebar2 secara tiba-tiba *tak bersebab*
  • Pening kepala yg melampau *makan ubat tak jalan*
  • Ada kesan-kesan lebam
  • Simptom gangguan pada waktu senja

Ayat mempermudahkan jodoh.. (takyah mandi bunga yg pelik2.. silap bunga kang gatai.. dah kena penyakit lain)


Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. Yassin, Ayat 36

General advice, bacalah al-Quran secara konsisten, jaga waktu solat dan jaga wudhu. InsyaAllah hati akan sejuk dan kita akan menjadi lebih kuat; fizikal dan mental. Jangan putus berdoa.

Doa itu senjata orang mukmin.

Khamis, 7 Julai 2011

Ipar kaki kepoh

Semanis Kurma: 7 Julai 2011
Tajuk perbincangan: Ipar kaki kepoh

Ayat doa 1: Untuk menjadi orang yg tenang, bijaksana, hikmah

Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. Al-Anbiya, Ayat 79

Ayat doa 2:Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). An-Naml - Ayat 30-31

Ayat al-Quran tentang adab.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Al-Hujurat, Ayat 11

Points:
  • Jgn mengkritik rupa paras, jgn memperlekehkan orang
  • Think before you speak :)

Tafsir Ayat: Pemimpin amanah tak amal pilih kasih

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/07/07

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58).

Amanah adalah sifat terpuji yang dianjurkan Islam kepada setiap Muslim sebagai garisan pemisah kepada keimanan dan keagamaan individu.

Ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: “Tiada iman bagi yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Dailami).

Jelas diterangkan dalam hadis orang yang tidak menghiasi dirinya dengan sifat amanah atau tidak dipercayai ramai dalam memegang sesuatu amanah serta melakukan khianat kepada umat manusia bererti dia bukanlah orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

Ibnu Kathir menjelaskan, sebab turunnya ayat ini ketika Rasulullah SAW meminta kunci Kaabah daripada Uthman bin Talahah bin Abu Talhah sewaktu penaklukan Makkah, kemudian menyerahkannya kembali kepada Uthman yang juga dari keturunan Abdil Dar yang mewarisi amanah kunci Kaabah setelah sekian lamanya sehingga ke hari ini.

Sifat amanah mengungkap pengertian yang sangat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar membawa erti bersikap jujur dalam urusan kehidupan, malah merangkumi setiap tanggungjawab yang perlu ditunai membabitkan pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu Muslim.

Islam telah menyerahkan amanah dan tanggungjawabnya kepada setiap individu terhadap Allah, malah setiap manusia dilahirkan sebagai seorang pemimpin seperti mana dijelaskan Rasulullah: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah ketika remaja seorang pemuda yang amanah sehingga digelar ‘al-Amin.’ Begitu juga nabi Musa ketika baginda membantu dua orang gadis memberi minum binatang ternakan mereka.

Pengajaran yang terselit daripada kisah ini ialah utusan Allah dipilih dari kalangan semulia-mulia manusia dari segi kemuliaan peribadinya, keturunannya dan tabiatnya. Inilah hakikat sifat amanah yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya.

Begitu juga contoh teladan ditunjukkan Saidina Umar al-Khattab, khalifah yang sangat terkenal dengan kejujuran dan kehebatannya dalam kepemimpinan. Corak kehidupan Saidina Umar amat sederhana sehingga utusan khas dari Syam sukar untuk mengenali beliau.

Hal ini kerana utusan dari Syam itu mendapati Saidina Umar tidur di bawah pohon beralaskan tanah tanpa sebarang pengawasan tentera, apatah lagi jauh daripada warna-warni kemewahan dan juga tidak terserlah darinya lambang kebesaran sebagai raja atau pemimpin dunia.

Dalam hal ini, pemimpin sewajarnya bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan rakyat kepada mereka. Pemimpin dilarang mengamalkan perasaan pilih kasih kerana ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: Berita Harian

Rabu, 6 Julai 2011

Toriq Toyyibah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

ISTILAH yang selalu bermain dibibir pembaca al-Quran adalah Toriq Syatibiy dan Toriq Jazari atau disebut juga Toriq Toyyibah. Toriq dalam sudut bahasa bermaksud jalan.

Dalam ilmu tajwid atau qiraat, istilah Toriq biasanya diterang maksudnya selepas huraian makna Imam dan Rawi.

Bacaan yang dinasabkan kepada Imam di kalangan Sepuluh Imam Qiraat dipanggil qiraat. Bacaan yang dinasabkan kepada perawi yang mengambil bacaan tersebut daripada Imam dipanggil riwayat dan setiap yang dinasabkan kepada yang mengambil dari perawi walaupun di zaman mutakhir dinamakan toriq.

Sebagai contoh al-Quran yang ada pada hari ini ialah mengandungi Riwayat Hafs mengikut Qiraat Imam Asim melalui Toriq Syatibiy.

Antara cara bacaan Toriq Syatibiy adalah bacaan empat harakat atau disebut tawasut pada hukum mad wajib muttasil seperti dan juga mad jaiz munfasil seperti

Bagi mereka yang mendalami secara serius ilmu tajwid mereka selalu berjumpa istilah Toriq Toyyibah atau Toriq Jazari.

Antara kaedah bacaan toriq jazari ialah membaca dua harakat atau disebut Qasar pada hokum mad jaiz munfasil.

Dinamakan Toriq Toyyibah adalah bersumberkan kitab karangan oleh Imam Ibn al-Jazari (meninggal 833 hijrah) yang bertajuk Toyyibat al-Nasyr. Matn Toyyibah ini disusun dalam bentuk syair berjumlah 1,015 rangkap. Merangkumi usul Sepuluh Qiraat bersama Farsy untuk 30 juzuk al-Quran.

Kealiman Ibn al-Jazari dalam ilmu qiraat yang begitu tinggi menjadi rujukan ulama sezamannya, menguasai sanad al-Quran daripada guru al-Quran tersohor di Damsyik, Madinah dan juga Mesir.

Beliau menghasilkan banyak penulisan yang bersifat kreatif dan tidak hanya mengikut atau menukil tulisan ulama terdahulu.

Beliau mengkaji sanad Qiraat, adakah menepati bahasa Arab dan menepati nas sebagaimana Mushaf Uthmany.

Lantas beliau mendapat natijah bahawa Qiraat Abu Jaafar, Ya'kub dan Khalaf al-Asyir berada dalam kumpulan Qiraat yang mutawatirah sama dengan Tujuh Qiraat yang dipilih Ibn Mujahid (meninggal 324 hijrah).

Ulama menamakan Tujuh Qiraat yang terkandung dalam Mayn Syatibiy bersama Tiga Qiraat yang terkandung dalam Matn Durrah al-Mudhiah sebagai Asyarah Sughra.

Sementara Matn Toyyibah yang menghimpun sekali gus Sepuluh Qiraat dinamakan Asyarah Kubra.

Matn Toyyibah sebenarnya ringkasan dalam bentuk syair yang dikarang oleh Imam Ibn al-Jazari bersumber dari kitabnya al-Nasyr fi al-Qiraat al-Asyr.

Kitab al-Nasyr ini merupakan satu kitab yang lengkap dalam perbahasan ilmu qiraat merangkumi imam-imam qiraat, perawi dan toriq.

Jumlah toriq yang dikumpulkan dalam al-Nasyr secara tahqiq berjumlah 80 toriq. Daripada 80 toriq ia bercambah dan berkembang kepada 980 toriq.

Ibn al-Jazari pernah menyatakan barang siapa menyangka ilmu qiraat sudah lupus, katakanlah kepadanya al-Nasyr menghidupkanya kembali.

Kenyataan ini menunjukkan perbahasanya meliputi seluruh bab dalam ilmu qiraat dan mampu menghidupkan kembali ilmu qiraat yang lupus dan yang tidak diamalkan lagi.

Namun begitu, bagi yang ingin membaca riwayat Hafs dari Toriq Toyyibah perlu kepada talaqqi dan musyafahah dengan guru.

Ini kerana terdapat beberapa hukum yang wajib diraikan jika membaca mad jaiz munfasil dengan kadar dua harakat.

Selain itu, Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi menyatakan Toriq Toyyibah diamalkan bagi mereka yang mahir dalam ilmu tajwid kerana beberapa hukum yang perlu dilakukan.

Kepada orang awam disarankan kepada mereka membaca al-Quran mengikut Toriq Syatibiy.

Apabila ditanya kepada bekas Mufti Kelantan, allahyarham Tuan Guru Muhammad Nor yang terkenal alim dalam ilmu qiraat tentang bacaan dua harakat untuk mad jaiz, beliau menjawab: "Setiap mad jaiz yang ada dalam al-Quran ditandakan dengan alamat mad yang membawa maksud membacanya dengan empat harakat".

Justeru al-Quran memang dicetak mengikut Toriq Syatibiy yang perlu membaca mad jaiz dengan empat harakat.

Jawapan yang ringkas dan tepat ini amat sesuai diaplikasikan oleh umat Islam. Namun bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan Toriq Toyyibah dan mendalami hukum yang wajib dipelihara ketika membacanya daripada kitab tajwid serta mendapat tunjuk ajar daripada guru yang mahir maka diizinkan kepadanya mengamalkan Toriq Toyyibah.

Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, 5 Julai 2011

Manusia dipertanggungjawabkan atas amanah mereka

Manusia dipertanggungjawabkan atas amanah mereka

Firman Allah SWT:



Yang bermaksud: (Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. Surah Ibrahim, Ayat 51

Huraian
Setiap manusia adalah dipertanggungjawabkan di atas setiap amal dan perbuatan mereka sendiri. Sikap berlepas tangan wujud di hadapan pengadilan Allah SWT Islam meletakkan asas yang kukuh supaya setiap Muslim adalah manusia yang sentiasa menghadapi tindakan di atas pelakuan mereka dan sedar bahawa sikap mereka akan diadili dan diberikan balasan yang setimpal. Sifat sedar adalah sifat positif menggalakkan seorang muslim mengelakkan diri daripada melakukan kejahatan dan meningkatkan keprihatinan di dalam kerja seharian mereka. Walaupun begitu, Islam tidaklah pula terlalu ekstrem sehingga menyuruh umatnya terlalu berhati-hati sehingga menyukarkan diri mereka di dalam melakukan apa-apa pekerjaan.

Kesimpulan
Dosa dan pahala setiap manusia adalah bergantung kepada amalan setiap individu dan orang lain tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas perbuatan mereka. Ini kerana setiap manusia telah diberikan akal fikiran dan kekuatan fizikal untuk merencanakan sendiri kehidupan mereka. Sesungguhnya tidak ada keberatan bagi Allah SWT untuk mengira amal perbuatan seseorang dan memberikan balasan atas perbuatan mereka.

Sumber: Jakim
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...