Khamis, 29 Disember 2011

Ketokohan Sheikh Amir Sayyid Uthman

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMED

SEORANG tokoh Quran yang masyhur di zamannya dan mempunyai ramai murid yang berkaliber dalam ilmu al-Quran ialah Sheikh Amir bin Sayyid Uthman. Beliau dilahirkan di Mesir pada tahun 1900 Masihi.

Sheikh Amir menghafaz al-Quran semasa kecil dengan seorang guru yang bernama Sheikh Atiyyah Salamah iaitu pada tahun 1911.

Seterusnya beliau mendalami ilmu tajwid, Qiraat Sepuluh melalui tariq Syatibiyyah dan Durrah dengan guru yang bernama Sheikh Ibrahim Musa Bakr al-Bannasi.

Semasa di Kaherah, Sheikh Amir mendalami Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang pakar dalam bidang itu iaitu Sheikh Ali Ibn Abdulrahman al-Subayyi'. Bagaimanapun, ketika beliau membaca ayat 41 surah Hud, Juzuk 12, Sheikh Ali Subaiyyi' meninggal dunia.

Semangatnya tidak patah dengan kematian gurunya. Beliau memulakan semula talaqqi Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang murid kanan Syeikh Ali Subayyi' iaitu Sheikh Hummam Qutb Abdul Hadi. Seterusnya, berjaya memperolehi ijazah pada tahun 1927.

Pada pengajian di peringkat ijazah, Sheikh Amir berjaya menguasai ilmu syariah dan bahasa arab di Universiti Azhar. Setelah menguasai banyak ilmu, Sheikh Amir mula mengajar al-Quran dan qiraat di rumahnya.

Beliau juga berkhidmat sebagai guru qiraat di Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar iaitu antara tahun 1945 hingga tahun 1968.

Seorang muridnya, Sheikh Ibrahim Akhdar yang memegang jawatan Sheikh Qurra Masjid Nabi di Madinah dalam satu temu bualnya memuji kehebatan Sheikh Amir.

Beliau menyatakan Syeikh Amir seorang yang alim dalam bidang al-Quran dan qiraat dan menghabiskan masanya dengan mengajar Quran. Pada setiap masa, ada sahaja orang yang membaca al-Quran di hadapan Sheikh Amir hatta ketika beliau menunggu teksi atau ketika musafir dalam kapal terbang sekalipun.

Antara Sheikh terkenal yang talaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir ialah Sheikh Mahmud Khalil Husari, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Basit, Dr. Aiman Suwaid, Dr. Ali Huzaifi dan ramai lagi.

Sheikh Amir dilantik sebagai Sheikh Qurra Mesir pada tahun 1980 menggantikan Sheikh Khalil Husari yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Pada waktu yang sama beliau dilantik sebagai penasihat dan anggota lajnah tashih al-Quran di Mujjama' Malik Fahd, Madinah al-Munawwarah.

Sheikh Jibril yang selalu datang ke Malaysia juga pernah bertalaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir. Beliau menceritakan hari-hari terakhir Sheikh Amir di Madinah sebelum kematiannya.

Semasa berada di wad hospital, Sheikh Amir membaca al-Quran sehingga khatam dan memulakan surah al-Fatihah serta lima ayat surah al-Baqarah. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia.

Urusan pengkebumian Sheikh Amir mengalami sedikit masalah pada mulanya kerana beliau meninggal dunia pada hari cuti dan pasport serta dokumen pengenalan dirinya dipegang pihak majikan.

Ia menyebabkan pihak polis menolak urusan pengkebumian kerana tidak mempunyai dokumen lengkap. Bagaimanapun, anaknya Ibrahim terpandang mushaf al-Quran di atas meja ketua polis tersebut dan membuka mushaf seraya berkata inilah dokumen pengenalan ayahnya.

Nama Sheikh Amir Sayyid Uthman teratas dalam senarai nama lajnah tashih al-Quran. Ketua polis tersebut menangis dan memberi layanan terbaik untuk urusan pengkebumian Sheikh Amir.

Semasa jenazahnya dibawa ke Masjid Nabi, Sheikh Ibrahim Akhdar imam masjid Nabi ketika itu, terpandang Ibrahim anak Sheikh Amir menangis dan bertanya kenapa menangis. Beliau menjawab, ayahnya meninggal dunia.

Sheikh Ibrahim marah kepadanya kerana tidak memaklumkan kematian Sheikh Amir. Solat jenazah diimamkan oleh al-Allamah Sheikh Salih ketua imam Masjid Nabi.

Seterusnya jenazah Sheikh Amir dikebumikan di perkuburan Baqi' bersama dengan para sahabat, syuhada dan salihin.

Sumber: Utusan Malaysia

Rabu, 28 Disember 2011

RQ Insight: Muslimat are blessed & honored with Hijab

Assalammualaikum. Bismillahirrahmanirrahim.
Firman Allah SWT: 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." Surah an-Nur, Ayat 31



RQ Insight: Muslimat are blessed & honored with Hijab


Alhamdulillah, hari ini saya baca a very good article on Hijab, tentang dilema berhijab dan memperbetulkan konsep hijab dikalangan muslimah.


Sebetulnya saya sendiri ada masalah ketika mula mengubah dress code saya. Bila pakai baju panjang sikit, mula berjubah dan berstokin.. dah ada kawan-kawan yang panggil saya Ustazah.. I know its a good panggilan but saya rasa berat kerana saya bukan seorg yang cukup Ilmu nak dipanggil ustazah, saya hanya seorg hamba Allah dgn latar belakang pendidikan yg biasa dan sedang bermujahadah memperbaiki diri. Saya pernah rasa yang saya tak layak berjubah. For me jubah belongs to pious muslimat only. I was wrong. The real Hijab helps you to control yourself, forbids you from go meleweh & melepak2 ke tempat2 yg xsepatutnya and the best thing is, it brings remembrance to Allah. It gives you practicality to perform solat as well.


When browsing suhaibwebb.com, saya found this article: Taking Off the Hijab, yang pada saya sgt bermanfaat untuk dikongsi bersama. Kindly read and share with your friends. Jazakallah khair.


I was also reminded about the real concept of Hijab during the Twins of Faith event. Whatever yang flaunts, flamboyant, screaming for attention.. tu bukan hijab. Hijab supposed to hide you, cover and protect. And it means;
1. Loose garments
2. Tudung/baju labuh

3. Dark or pastel colours
4. Minimal perfume (pakai calit2 macam pakai minyak kapak je)
5. Kasut yang tidak bising ktak ktuk ktak ktuk (I bought 2 flat shoes today.. hehehe :) - Saya sudah ditch my 3 inch high heels, kalau nak kasut tinggi.. beli yg wedges)
6. Tak overly mewah
7. No need for excessive unnecessary accessories
8. No make-up
9. No gelang berloceng. UZAR said: "Loceng bagi pakai kat kucing" hehehe


That would be some of it. Marilah kita sama-sama berusaha istiqamah memperbetulkan dress code kita. Semoga dipermudahkanNya, Amin.


I hope that we will be agent of remembrance to Allah by carrying remarks of Alhamdulillah, Allahu Akbar, Subhanallah *bukanlah nak harap pujian org* tapi kalau buleh kita tamau la carry remarks of Astaghfirullahalazim or Nauzubillahiminzalik. Mmg la both bring remembrance, tapi pls be a good example. Amin.

Al-Quran bongkar rahsia pembinaan piramid

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

Tanah liat
Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

Sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 26 Disember 2011

Event: Twins of Faith Family Festival

Assalammualaikum. Alhamdulillah, sampai hajat dan cita-cita ke Twins of Faith event di Putrajaya kelmarin dan Alhamdulillah, dapat juga saya jd volunteer 'flying squad' on Friday, rewang for the event. Rewang buat goodies bag, hehehe. InsyaAllah, I'll share the notes in a separate entry ye. For now, enjoy the photo 1st!


Ramai, kalau tak silap nak kat 4k participants

Ust Amirrahman membuka majlis bacaan
al-Quran (Surah Ali-Imran, ayat 102-110)

Mr Tawfeeq from Mercy Mission

Q&A session for Sisters

Performer: Muadz & Shinji

Our Ustaz Zaharuddin

Saudara Firdaus membaca Surah Kahfi, ayat 6-18 on Sunday.
  
Mr Navaid Aziz deliver speech

Aala Elsayed - one of the speaker

I bought Terjemahan al-Quran (english version) RM35
 

Sheikh Yahaya Ibrahim at alkauthar booth

The crowd at sales booth area

Jumaat, 23 Disember 2011

Kuasai al-Quran dalam 14 hari

SETELAH hampir 11 bulan menahan penat dan lelah berulang alik ke sekolah serta bertungkus lumus 'mengadap' buku untuk menghadapi peperiksaan, cuti sekolah merupakan saat yang pastinya paling ditunggu-tunggu para pelajar.
Musim cuti merupakan tempoh yang paling sesuai untuk melepaskan segala keletihan dan tekanan yang telah dilalui di sekolah.

Sehinggakan, terdapat segelintir pelajar yang sentiasa menghitung hari dan mengeluh apabila melihat sesi persekolahan baru semakin hampir.

Namun, bagaimana pula golongan tersebut menggunakan tempoh cuti yang panjang itu?
Adakah dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat atau sebaliknya?
Adakah sekadar bermain bersama rakan-rakan, menghabiskan masa dengan berkurung dalam bilik bermain komputer dan permainan video ataupun sekadar mengisi masa dengan tidur sepanjang hari?

Apa yang dibimbangi, masa yang terluang itu digunakan dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti bergaul bersama kumpulan yang tidak bermoral, terpengaruh dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kesan negatif.
Tetapi sebenarnya bagaimana si anak menghabiskan masa cuti mereka terletak di tangan ibu bapa sendiri.

Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai acuan yang mencorakkan masa depan anak-anak mereka, sama ada ke arah yang baik atau sebaliknya.

Oleh itu, masa yang terluang itu perlulah dimanfaatkan oleh ibu bapa dengan sebaiknya bagi membentuk peribadi anak-anak dengan aktiviti yang membina dan bermotivasi.

Pelbagai perancangan boleh direncanakan oleh ibu bapa kepada anak-anak sepanjang cuti sekolah antaranya menghantar anak ke kem cuti sekolah.

Baca artikel penuh di Utusan Malaysia

2 minggu hafal 9 juzuk

Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang membaca al-Quran dan menghayatinya.

Ramai yang beranggapan ketenangan boleh dicari dan mudah diperolehi seperti menikmati keindahan semulajadi atau melawati kawasan yang indah dengan suasana yang permai.

Namun, sejauh mana ketenangan itu dikecapi dan berkekalan dalam diri seseorang, atau ia hanya bersifat sementara.
Pendakwah bebas, Asni Mansor berkata, ketenangan sebenar adalah apabila seseorang itu dapat menikmati nikmat hidup tanpa dibelenggu perasaan keluh kesah.

Seseorang itu belum dikatakan mendapat ketenangan sebenar jika sentiasa resah dan tidak tenteram memikirkan masalah harian walaupun memiliki pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia.

Beliau berkata, salah satu kaedah untuk mengecapi ketenangan itu adalah dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.

"Jiwa manusia memerlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai penyucian jiwa. Oleh itu, mukjizat al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar yang mampu dikecapi oleh setiap insan.

"Tanpa ketenangan jiwa maka akan mengakibatkan berlakunya pelbagai keruntuhan akhlak, perkembangan gejala sosial dan perbuatan tidak sihat dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda," katanya ketika ditemui di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendidikan al-Quran perlu diterapkan oleh setiap kanak-kanak bagi mendidik mereka menjadi generasi al-Quran pada masa depan.

Tambahnya, setelah hampir 11 bulan murid diberikan dengan pelbagai pendedahan ilmu akademik, maka sedikit ruang perlu disediakan bagi memenuhi hati dan fikiran dengan santapan nurani iaitu menggunakan ayat suci al-Quran.
"Hati dan jiwa kita juga memerlukan sesuatu sebagai landasan penyucian rohani yang dapat memberikan ketenangan. Dengan menghayati kalam Allah itu, secara tidak langsung mampu membersihkan sifat buruk seseorang dan mengubah sikap mereka kepada lebih baik," katanya.

Seorang peserta kem Tahsin al-Quran, Adib Fikri Jamil, 17, berkata, timbul satu perasaan dalam dirinya yang sebelum ini belum pernah dirasakan apabila dapat memberi fokus sepenuhnya kepada al-Quran.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi apa yang mampu saya katakan adalah jiwa saya terasa tenang dan gembira apabila mengikuti kem ini yang menekankan pendekatan ala madrasah.

"Tidak sangka, kelapangan jiwa dan fikiran yang dianugerahkan ini membuatkan saya mampu menghafal hampir sembilan juzuk selama dua minggu berada di kem Tahsin al-Quran ini," katanya.

Anak pertama daripada empat adik beradik itu bercita-cita untuk menjadi tukang masak profesional yang mengamalkan prinsip al-Quran dalam perniagaan dan masakan.

Baca artikel penuh di Utusan Malaysia

Azab pasti datang

SURAH ini diturunkan selepas surah al-Haqqah dan sebagai penyempurna gambaran tentang keadaan Hari Kiamat dan azab neraka. Surah ini dikatakan sebagai surah makiyah dengan ijmak ulama.

Firman Allah SWT: Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa. Orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya. (al-Maarij: 1-2)

Ahli tafsir berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Nadir Ibn al-Haris ketka berkata: Ya Allah, jika ini yang dibawa oleh Muhammad, adalah benar disisi-Mu, maka turunkan ke atas kami balasan hujan daripada batu. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Ibnu Abbas dan Mujahid. Ada pendapat lain menyatakan ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Inilah pendapat al-Rabi' Ibnu Anas.

Berkenaan dengan yang meminta dan berdoa. Di sini ada tiga pendapat:
* Berdoa supaya dikenakan bala azab sebagai tanda mengejek.
* Berdoa supaya Allah menimpakan azab pada dirinya.
* Berdoa supaya azab benar-benar berlaku dan terjadi.

Al-Maghari berkata: Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang pasti berlaku, meskipun ia diminta atau tidak diminta (ia tetap akan berlaku). Ini disebabkan azab itu pasti menimpa orang kafir di akhirat kelak dan tidak ada seorang pun yang berdaya menghalang kedatangan azab tersebut.

Firman Allah SWT: (yang datang) dari Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik. (al-Maarij: 3)

Ibnu Kathir berkata: Azab yang pasti berlaku kepada orang kafir daripada Allah. Adapun perkataan zi al-ma'arij ada beberapa tafsiran:
* Allah yang bersifat Maha Tinggi kedudukan dan kelebihan. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Tangga-tangga langit. Inilah pendapat Mujahid.
* Allah mempunyai banyak kelebihan dan nikmat. Inilah pendapat Qatadah.

Syed Qutub berkata: Surah ini menceritakan ada orang yang meminta ditimpakan azab dengan segera kemudian menjelaskan bahawa azab ini memang tetap berlaku dari satu segi ia telah ditetapkan dalam perencanaan Allah SWT. Dari segi yang lain, ia sudah hampir berlaku dan tiada siapa mampu menolak dan menghalangnya. Oleh itu, orang yang meminta supaya azab disegerakan merupakan orang yang malang sama ada individu atau berkumpulan.

Azab ketika itu disediakan kepada seluruh orang kafir termasuk orang yang meminta azab disegerakan. Hari itu berlaku dengan perintah Allah Yang Maha Besar. Di dalam surah yang lain menceritakannya.

Firman Allah SWT: Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (al-Maarij: 4)

Berkenaan dengan 50,000 tahun ia merupakan masa pada hari Kiamat. Dan ia cukup panjang dan lama bagi orang kafir.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Abbas berkenaan kadar masa ini. Lantas jawabnya: Ia merupakan dua hari yang Allah sebut kedua-duanya dan aku tidak suka untuk menyebut dalam kitab Allah apa yang tidak aku ketahui.
Syed Qutub berkata: Menurut pendapat yang terkuat, maksud kata-kata hari yang disebutkan dalam ayat ialah hari Kiamat kerana susunan ayat itu sendiri menentukan maksud tersebut.

Pada hari tersebut, para malaikat dan Jibril akan naik menghadap Allah SWT. Maksud kata-kata al-ruh pula menurut pendapat yang sama, iaitu Jibril kerana beliau juga dinamakan dalam surah-surah yang lain. Beliau disebut khusus selepas para malaikat kerana kedudukannya yang istimewa.

Demikianlah juga istiadat para malaikat menghadap Allah SWT dan menunjukkan betapa istimewanya hari tersebut. Kita tidak dituntut untuk mengetahui tugasan yang penting pada hari tersebut, bagaimana caranya malaikat naik bertemu Allah SWT kerana semuanya urusan alam ghaib dan tidak mungkin kita mengetahuinya.

Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Sesungguhnya mereka memandang siksaaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat (mungkin terjadi). Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak. (al-Maarij: 5-8)

Ibnu al-Jauzi berkata: Bersabarlah atas pendustaan mereka terhadapmu dan ayat ini dikatakan diturunkan sebelum ayat diperintahkan memerangi mereka kemudian dinasahkannya.

Ibnu Kathir berkata: Berlakunya azab dan Kiamat pada sangkaan orang kafir amat jauh dan hampir mustahil berlaku sedangkan orang yang beriman yakin bahawa kiamat amat hampir berlaku kecuali waktunya tidak diketahui hanya Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan). (al-Maarij: 9)

Al-Maghari berkata: Gunung-ganang hancur lebur, tidak tegak berdiri, gambarannya seperti bulu-bulu yang berterbangan ketika ditiup angin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Hasan: Gunung-ganang itu bergerak bersama angin, kemudian menjadi hancur seperti pasir dan pada saat itu seolah-olah bulu yang berterbangan kemudian hancur berkecai sehingga menjadi debu-debu yang bertebaran.

Firman Allah SWT: Dan tidak ada seorang teman akrabpun menanyakan temannya. Sedang mereka saling memandang. Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya dan saudaranya, Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (al-Maarij: 10-14)

Kebanyakan ulama berpendapat pada ketika itu seseorang kerabat tidak bertanya tentang kerabatnya walaupun bertemu kerana masing-masing bimbang hal mereka sendiri. Ini kerana rasa gerun dan takut keadaan suasana tersebut. Inilah pendapat Muqatil.

Syed Qutub berkata: Manusia pada hari tersebut sibuk dengan masalah masing-masing. Mereka tiada masa memikirkan masalah orang lain. Kedahsyatan malapetaka Kiamat itu memutuskan segala perhubungan dan memenjarakan setiap orang dengan halnya yang tersendiri. Mereka tidak menghiraukan sesiapa walaupun ternampak sahabat karib. Kesusahan dan ketakutan menyelubungi semua orang.

Bagaimana pula orang yang bersalah? Seluruh perasaannya diselubungi ketakutan dan dia bercita-cita menebuskan dirinya daripada diazab dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara maranya yang selalu memberi perlindungan kepadanya dan kerana terlalu ingin menyelamatkan diri dia berangan-angan menebuskan dirinya dengan seluruh penghuni bumi.

Itulah gambaran yang terharu dan mendesak dalam melepaskan diri dari seksaan. Semuanya tertulis dalam pengungkapan ayat al-Quran yang sangat menarik untuk dihayati bersama.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama), serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (al-Maarij: 15-18)

Berkenaan dengan perkataan laza, ada beberapa pendapat:
* Al-Farra' berkata: Perkataan laza merupakan salah satu nama neraka jahanam yang demikian kerana mereka diheretnya.
* Ibn al-Anbari berkata: Dinamakan demikian kerana kepanasan dan sifat membuaknya.
* Ada pendapat menyatakan pada bahasa dengan nyalaan yang benar-benar hebat.
Sedangkan tafsiran berkenaan dengan kulit yang disiat ada empat pendapat:
* Kulit kepala. Inilah pendapat Mujahid.
* Kulit dan rupa wajah yang cantik. Inilah pendapat al-Hasan dan Abu al-'Aliyah.
* Tumit dan kaki. Inilah pendapat Ibn Jubair.
* Segala anggota seperti dua tangan, dua kaki dan kepala. Inilah pendapat al-Farra' dan al-Zajjaj.

Al-Maghari berkata: Tebusan itu tidak akan diterima meskipun dia membawa seluruh penghuni bumi atau membawa harta yang paling berharga, walaupun emas sepenuh bumi. Begitu juga jika dia membawa anaknya yang merupakan cahaya hatinya di dunia, atau membawa isteri dan keluarganya.

Syed Qutub berkata: Neraka itu memanggil mereka sebagaimana mereka pernah dipanggil di dunia untuk menerima hidayah Allah tetapi berpaling daripada panggilan itu. Akan tetapi apabila mereka dipanggil api neraka ketika itu tidak berupaya dan berdaya menidakkannya. Mereka tidak menghiraukan dakwah kerana sibuk dengan urusan dunia mengumpul harta tetapi hari yang dijanjikan dan neraka yang memanggil mereka, maka ketika itu tidak terdaya dan ada harapan untuk menidakkan kerana ia telah terpilih merasai azab yang telah dijelaskan oleh Allah SWT.

Api ini dapat menarik penghuni neraka yang telah diciptakan Allah SWT untuknya antara para penghuni padang al-Mahsyar (tempat berkumpul). Sememangnya telah ditakdirkan bahawa penghuni neraka ketika di dunia dahulu mengerjakan pekerjaan penghuni neraka. Mereka mengotorkan diri apabila berdusta dengan hati mereka. Kemudian meninggalkan amalan yang dilakukan dengan anggota badan malah mereka mengumpul harta dan menyimpannya tetapi mereka tidak menunaikan hak Allah SWT dan mereka pula disibukkan dengan harta itu sehingga lalai mengerjakan kewajipan-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh, seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya dan selamat daripada neraka-Nya. Amin.

Sumber: Utusan Malaysia

Rabu, 21 Disember 2011

Pencipta tanda baca al-Quran

AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.

Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.

Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.

Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.

Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.

Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.

Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.

Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.

Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.

Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.

Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.

Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.

Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.

Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.

Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.

Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.

Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.

Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.

Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untukhamzah.

Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.

Justeru amat patut jika setiap kali membaca al-Quran, kita sedekahkan al-Fatihah dan Qul-Huallah kepada Abul Aswad, Nasyir, Yahya dan Al-Khalil kerana inisiatif mereka mencipta tanda bacaan al-Quran, maka umat Islam sehingga kiamat dapat membaca al-Quran dengan baik dan tepat.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mereka mendapat kemuliaan di alam barzakh dan di akhirat.


Sumber: Utusan Malaysia

Sempurnakah Solatku?

Tanyalah Ustaz: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Tajuk: Sempurnakah Solatku (Bahagian 1-3)

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Al-Baqarah, Ayat 45





Sabtu, 17 Disember 2011

Jadikan al-Quran pedoman hidup

ALLAH SWT telah menetapkan bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Tuhan Semesta alam dan ia bukannya syair atau ramalan.

Lalu Allah SWT mengukuhkan bahawa bila Nabi Muhammad SAW melakukan perkara yang demikian (syair dan ramal), tentulah Kami akan membatalkan hujahnya. Begitu juga Kami akan hentikan dakwahnya dengan mencabut kekuatan bayan (bicara)nya sehingga Baginda SAW tidak dapat berbicara dengan melakukan pendustaan ini. Atau Kami akan membunuh Baginda SAW sehingga tidak dapat menyebarkan pendustaan. Menurut sunnah Kami, setiap orang yang sengaja mengada-adakan pembicaraan pasti tidak akan diterima dan ucapannya tidak akan di dengar orang.

Firman Allah SWT: Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebagian perkataan atas (nama) kami. Nescaya benar-benar kami pegang dia pada tangan kanannya. (al-Haqqah: 44-45)

Ibnu al-Jauzi berkata: Kalau Muhammad mereka-reka dan berdusta atas kami apa yang kami tidak firman kepadanya, nescaya kami hukum ke atasnya dengan sekuat-kuatnya. Inilah pendapat al-Farra, al-Mubarrad dan al-Zajjaj. Sedangkan Ibn Qutaibah pula berkata: Allah akan mendirikan sebelah kanan-Nya sebagai tempat kekuatan. Ini kerana kekuatan pada setiap sesuatu pada pihak kanannya.

Yang paling buruk

Al-Maghari berkata: Jika Nabi Muhammad SAW sengaja mengadakan perkataan yang batil dan menisbahkannya kepada Kami, pasti Kami akan segerakan seksaan kepadanya dan Kami pula akan membalasnya dengan balasan amat dahsyat. Maksud memegang tangan kanannya itu ialah pegangan ketika memancung leher dan melenyapkan nyawa. Oleh yang demikian ia disebut sebagai tamsil (kiasan) tentang apa yang dilakukan para raja terhadap orang yang mendustakan mereka. Lalu mereka tidak lagi memberikan tempoh kepadanya, bahkan mereka memenggal leher orang itu dengan segera.

Firman Allah SWT: Kemudian benar-benar kami potong urat tali jantungnya. (al-Haqqah: 46)

Perkataan watin dalam ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Ikrimah, Sa'id bin Jubair, Qatadah dan al-Dahak dengan saraf dan urat-urat yang bersambung pada hati.

Al-Maghari berkata: Watin adalah urat besar yang merupakan tempat dikenakan pisau oleh orang yang melakukan sembelihan. Al-Shimah Ibn Dirar berkata: Apabila kamu telah menghantar aku, dan membawa barangan muatanku ke atas kenderaan, maka alirkan darah di urat jantungmu.

Ayat di atas bermaksud apabila dia mendustakan Kami, tentu Kami akan menghilangkan nyawanya sehingga dia bagaikan orang yang menghiris urat jantungnya. Ini adalah gambaran tentang kebinasaan yang paling buruk dilakukan para raja terhadap yang mereka murka. Ini disebabkan tangan kanan orang itu akan dipegang oleh tukang penyembelih lalu dipukul dengan pedang dan dipancung lehernya.

Firman Allah SWT: Maka sekali-kali tidak ada seorangpun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu. (al-Haqqah: 47)

Ibn Kathir berkata: Tiada seorang pun yang mampu untuk menghalang kami dan tindakan kami jika kami mahu melaksanakannya.

Memberi peringatan

Syed Qutub berkata: Maksud ayat ini dari sudut laporan ialah untuk menyatakan Nabi Muhammad SAW itu benar dalam segala yang disampaikan kepada mereka. Andainya Baginda mereka perkataan yang tidak diwahyukan Allah kepadanya, tentulah Allah SWT akan membunuhnya dengan cara yang diterangkan oleh ayat itu.

Oleh kerana seksaan Allah SWT tidak berlaku, maka inilah bukti bahawa Baginda seorang yang benar.

Inilah kedudukan isu ini dari sudut laporan tetapi pemandangan hidup yang dikemukakan untuk memberi bayangan yang ngeri dan menakutkan. Pemandangan ini bergerak dan hidup menyampaikan saranan, isyarat dan nada. Pemandangan itu menggambarkan penyeksaan Allah yang bertindak memotong saluran jantungnya. Ini suatu tindakan yang keras dan mengerikan dan di sebaliknya menyarankan betapa besarnya kudrat Allah dan lemahnya manusia di hadapan-Nya walaupun Nabi SAW itu disayangi dan dimuliakan Allah SWT. Dan di sebalik semuanya ini terdapat nada pernyataan yang membayangkan perasaan takut, cemas dan khusyuk.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Haqqah: 48)

Al-Sobuni berkata: Ini kerana al-Quran boleh memberi peringatan kepada yang beriman lagi bertakwa yang takut kepada Allah khususnya golongan yang bertakwa disebut di sini kerana merekalah yang banyak mengambil manfaat dengan al-Quran.

Al-Maghari berkata: Al-Quran ini menjadi peringatan kepada orang yang takut terhadap seksaan Allah SWT sehingga dia mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Peringatan dan nasihat itu dikhususkan kepada para muttaqin kerana mereka terdiri daripada orang yang dapat memanfaatkannya.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami benar-benar mengetahui bahwa di antara kamu ada orang yang mendustakan(nya). (al-Haqqah: 49)

Ibnu Kathir berkata: Sekalipun keterangan dalam al-Quran amat jelas lagi nyata tetapi akan ada di kalangan kamu yang mendustakan al-Quran.

Al-Maghari berkata: Di antara kamu ada yang mendustakannya kerana cintakan dunia dan dengki terhadap pendakwah itu. Atas dasar itu, Kami akan membalasmu dengan sesuatu yang lebih adil. Kesimpulannya, antara kamu itu ada orang yang bertakwa kepada Allah SWT sehingga dia mengingati al-Quran dan dapat memanfaatkannya. Di antara kamu pula ada orang yang cenderung kepada dunia sehingga dia mendustakan dan berpaling dari al-Quran.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang-orang kafir (di akhirat). Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini. (al-Haqqah: 50-51)

Syed Qutub berkata: Mereka menyesal kerana al-Quran telah mengangkatkan darjah orang yang beriman dan menjatuhkan orang kafir yang berdusta. Ini kerana al-Quran berjaya menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan yang dipegang oleh orang-orang kafir. Di samping itu, al-Quran menjadi hujah yang menentang mereka di hadapan Allah pada hari Akhirat kelak, di mana mereka akan diazab kerana al-Quran dan menyesal kerana menentang-Nya. Oleh itu al-Quran akan menjadi punca penyesalan kepada orang kafir dunia dan akhirat.

Walaupun didustakan oleh pendusta, al-Quran bukan semata-mata keyakinan tetapi kebenaran yang wujud dalam setiap keyakinan itu. Kata-kata Haqqul Yakin adalah ungkapan istimewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu al-Quran amat mendalam dari segi kebenaran dan keyakinan. Al-Quran mengemukakan kebenaran yang tulen dalam setiap ayatnya membuktikan sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati serta telus.

Firman Allah SWT: Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Besar. (al-Haqqah: 52)

Al-Maghari berkata: Bertasbihlah kamu kepada Allah SWT dengan menyebut nama-Nya dan sebagai tanda membersihkan diri daripada mendakwa ia adalah suatu rekaan dan untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana penganugerahan al-Quran yang agung ini telah diwahyukan kepadamu.

Penutup

Berdasarkan kepada ayat-ayat yang dibahaskan, antara yang ditekankan di sini berkenaan dengan al-Quran. Justeru, sewajarnya kita beriman dengannya dengan maksud membaca tadabbur ayat-ayat al-Quran, mengamali ayat al-Quran, merasa kebesaran ayat Allah dan menjadikan kalam Allah sebagai pedoman hidayah dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini. Hendaklah kita jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Amin.

Sumber: Utusan Malaysia

Hijrah melalui pendekatan al-Quran, sains

BAGI memastikan umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan bukti kekuasaan Allah SWT dan jalan penyelesaian segala permasalahan, maka mereka perlu meyakini akan kebenaran al-Quran yang merupakan mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang dijaga Allah hingga hari kiamat.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan ceramah sempena dengan sambutan Maal Hijrah 1433 bersama saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini

Ia dihadiri 270 peserta terdiri daripada saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Filipina, Indonesia, Siam, Rohingya dan Nigeria.

Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, sambutan Maal Hijrah merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah ke Madinah, sekali gus menyebarkan Islam di seluruh dunia.

Perjalanan hijrah Nabi Muhammad yang strategik hingga tercapainya kejayaan dan tertegaknya negara Islam yang utuh didukungi oleh perpaduan iman dan takwa.

Kejayaan hijrah itu telah mengubah akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup umat Islam ketika itu sehingga ke hari ini.

"Program tersebut memberikan pendedahan, keyakinan dan kesedaran kepada saudara Muslim mengenai mukjizat agung iaitu al-Quran dan kandungannya dengan bukti-bukti kebenaran, perlaksanaan, ajaran, hukum-hukum, suruhan serta larangan-larangan," kata Amran.

Firman Allah: Dan sesiapa sahaja yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa' : 100)

Ceramah bertajuk Memahami Erti Hijrah Melalui Pembangunan Manusia Berdasarkan Pendekatan al-Quran dan Sains disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo.

Dr. Arip berkata, dengan pendekatan logik yang disampaikan menerusi persembahan multimedia dengan menggunakan modul Pemantapan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam al-Quran (Pasak), mereka akan lebih yakin bahawa al-Quran adalah benar menerusi fenomena-fenomena alam yang terdapat dalam ufuk-ufuk dan dalam diri peserta melalui ayat-ayat Allah yang manzuroh dan maqru'ah.

Mukjizat al-Quran merupakan fenomena menakjubkan yang boleh dilihat dan dicerap oleh semua orang terutama mereka yang mencari bukti kebenaran al-Quran serta kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Modul Pasak yang merangkumi cabang-cabang akidah iaitu uluhiyyah (ketuhanan), nubuwah (kenabian), sam'iyat (khabaran) dan ruhaniyyat (alam ghaib) adalah dalil naqli yang digunakan untuk membuktikan kebenaran al-Quran, sekali gus menghasilkan kepatuhan kepada syariat yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu wajib, sunat, harus, makruh serta haram.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45)

Lebih 750 ayat yang berkaitan dengan alam yang terkandung di dalam al-Quran iaitu sejarah, botani (tumbuh-tumbuhan), meteorologi (cuaca), geologi (sains), kosmologi (alam semesta), anatomi (makhluk hidup), oceanografi (lautan), embriologi (kejadian bayi) dan entemologi (serangga), di mana Allah menyuruh manusia memerhatikan alam sebagai dalil akan kewujudan-Nya serta yakin kepada-Nya sebagai Maha Pencipta.

Selain itu, Dr. Arip turut mendedahkan kandungan beberapa ayat dalam al-Quran mengenai kejadian alam semesta yang awal. Misalnya bentuk asap, alam mengembang, kiamat, bunga mawar di angkasa, kejadian manusia dalam rahim ibu, penentuan jantina, tentang cap jari, fungsi kulit, fungsi otak, permukaan bumi yang paling rendah, keadaan laut yang gelap gelita, dua air lautan yang tidak bercampur, air masin, air tawar, kesukaran bernafas apabila naik ke langit, lebah, madu, labah-labah membuat sarang, sumber api, pembakaran, peranan air dalam pembentukan makanan dan sebagainya.

Jelas Dr. Arif lagi, Islam semakin pesat berkembang di benua Eropah termasuklah di Itali, Sweden, Hungary, Russia, Perancis dan Jerman menerusi kefahaman dan kebenaran kepada al-Quran. Terdapat beberapa gereja terbiar di Eropah dijadikan masjid untuk beribadat antaranya; Masjid Kent, Masjid Bristol, Masjid Morriston, Masjid Dublin, Masjid Didsbury, Masjid Brick Lane, Masjid Brent, Masjid New Peckham dan Masjid Sentral Wembley.

Beliau juga menambah, beberapa tokoh kenamaan di Eropah seperti Yusuf Estes, Jamal Jaraboza, Abdul Raheem Green, Prof. Dr. Muhammad Al Mahdi, Prof. Milan, Gary Miller dan Joshua Evan memeluk Islam apabila membaca, memahami, menghayati dan mengkaji kandungan mukjizat al-Quran.

Beliau juga mengajak peserta membuat perimbangan perkataan dalam al-Quran dengan menyenaraikan melalui indeks di kamus Quran seperti perkataan hari iaitu al-yaum dan yauma (349+16>365), bilangan hari dalam setahun ialah 365 hari. Begitu juga perkataan bulan iaitu as-syahru dan syahra (10+2>12), bilangan bulan dalam setahun ialah 12 bulan.

Selain itu, Dr. Arip mengajak peserta membuat graf taburan melalui perisian Microsoft Excel dengan paksi X adalah nombor surah bermula surah 114 hingga surah 1 sekiranya asalnya adalah di sebelah kanan, surah pertama adalah surah al-Fatihah. Paksi Y adalah bilangan ayat, daripada an-Nas (6 ayat) kepada al-Baqarah (286 ayat). Paksi Y adalah yang menegak dan paksi X yang mendatar.

Sekiranya titik-titik yang mewakili kedudukan surah dan bilangan ayat dicantumkan, kelihatan kalimah Allah terbentuk dan jika dicantumkan dengan cara yang lain, maka kalimah Muhammad pula terbentuk.

Jelasnya lagi, semasa al-Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu, kertas graf dan sistem nombor masih belum wujud tetapi jelas dan terbukti kebenarannya adalah suatu mukjizat Nabi Muhammad yang akan dijaga Allah hingga ke hari kiamat.

Beliau mengajak peserta melihat eksperimen nisbah emas iaitu kedudukan Mekah (pusat bumi) iaitu kiblat bagi umat Islam. Ia terletak pada kedudukan nisbah emas iaitu nisbah yang diperoleh ialah 1.618. Dengan membuat satu garisan menegak lurus menggunakan peta, vertical dari utara Kutub hingga ke Mekah, katakan garisan itu ialah A. Buat satu garisan lurus menegak dari Mekah ke kutub Selatan, namakan garisan itu B. Campurkan panjang A dengan panjang B dan bahagikan dengan A (A+B) /A, nisbah juga ialah 1.618.

Program tersebut disempurnakan ditutup oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Datuk Dr. Abdul Hamid Othman.

Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, peserta harus memainkan peranan untuk menghayati dan fahami konsep hijrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad, di mana Islam lebih berkembang pesat selepas Baginda melakukan perpindahan dari kota Mekah ke Madinah.

Ia juga menyarankan agar peserta berhijrah dari segi minda supaya lebih berjaya dan maju mencapai matlamat serta aktif berdaya saing sejajar walaupun berdepan dengan krisis barat yang mengekang Islam.

"Kalau difahami dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menghendaki kita memelihara lembu dan mengusaha ternakan itu sebagai sumber makanan daripada kita membeli daging beku daripada pengimport," ujar Abdul Hamid.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun.

Sumber: Utusan Malaysia

Al-Quran bahasa Belanda



SURAKARTA - Senaskhah al-Quran yang mempunyai terjemahan bahasa Belanda ditemui di muzium tertua di Indonesia, Muzium Radya Pustaka di sini, Jawa Tengah.

Al-Quran itu dipercayai dicetak pada tahun 1934 dan tertera tulisan De Heilige Qoer-an.

Melihat keadaan al-Quran tersebut, ia seperti buku kuno yang tersimpan lama dengan warna kertasnya telah bertukar menjadi kuning kecoklatan dan beberapa halaman telah hilang.

Ketua jawatankuasa Muzium Radya Pustaka, Sandjata berkata, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai kewujudan al-Quran itu sehinggalah ia ditemui pada 2009.

"Ia ditemui di gudang oleh kakitangan muzium bersama seorang pelajar Universiti Sebelas Maret (UNS) yang menjalani latihan praktikal di muzium ini.

"Saya sendiri tidak tahu sejak bila dan kenapa ia boleh berada di sini tetapi apa yang pasti muzium ini adalah bekas bangunan milik Belanda ketika negara ini dijajah,"katanya kepada VIVAnews.

Tebal al-Quran ini ialah 10 sentimeter dan ia terbahagi kepada dua bahagian yang mana bahagian kiri tertulis ayat-ayat al-Quran dan di sebelah kanannya pula tertera terjemahan dalam bahasa Belanda dan ia lengkap 30 juzuk. - AGENSI

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 15 Disember 2011

Cinta Antara Benua

Semanis Kurma: 15 Disember 2011
Tajuk perbincangan: Cinta Antara Benua

Ayat doa 1:


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). Surah al-Ahkaf, Ayat 15

Ayat doa 2:

Allah telah menetapkan: Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang). Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Al-Mujadalah, Ayat 21

Kasih Ibu Tiri

Semanis Kurma: 8 Disember 2011
Tajuk perbincangan: Kasih Ibu Tiri

Ayat Doa 1:




Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Surah al-Fath, ayat 1-4

Ayat Doa 2:


Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar. Surah al-Fath, ayat 29


Rabu, 14 Disember 2011

Pemegang sanad tertinggi

NAMA Abdul Aziz Zayyat terkenal di kalangan penuntut ilmu Qiraat. Beliau merupakan seorang tokoh yang besar jasanya dalam perkembangan ilmu Qiraat.

Walaupun beliau tidak dapat melihat tetapi mata hatinya melihat cahaya ilmu dan mampu menghafaz dan mengingati dengan baik matan-matan dalam ilmu Qiraat seperti matan Syatibiyyah, Matan Durrah, Matan Taiyyibah dan lain-lain.

Sheikh Abdul Aziz Zayyat lahir pada tahun 1907 di Mesir. Selepas menghafaz al-Quran beliau telah menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar. Di Al-Azhar banyak ilmu yang yang dapat dipelajarinya termasuk syariah dan bahasa Arab.

Selain itu beliau juga mendalami Ilmu Qiraat Asyarah Sughra melalui tariq Syatibiyyah dan Durrah serta Asyarah Kubra melalui tariq Tayyibah al-Nasyr dari dua guru Qiraat yang terkenal pada zamanya iaitu Sheikh Khalil al-Janayani dan al-Allamah Sheikh Abdul Fattah Hunaidi.

Kedua-dua sheikh itu mempunyai sanad Qiraat yang tinggi di mana mereka berdua mendalami ilmu Qiraat daripada al-Allamah Sheikh Qurra pada zamannya iaitu Sheikh Muhammad Ibn Ahmad yang terkenal dengan panggilan al-Mutawali.

Jika ditinjau kepada sanad Quran yang ada pada masa ini sama ada di Mesir, Arab Saudi, Syria dan lain-lain kebanyakannya melalui Syeikh Mutawali sehingga kepada Rasulullah SAW.

Rakan-rakan Sheikh Abdul Aziz Zayyat yang terkenal dan nama mereka tersenarai dalam sanad al-Quran ialah Sheikh Muhammad Ali Khalaf al-Husaini dan al-Allamah Sheikh Ali Muhammad Dabba'. Kedua-duanya adalah Sheikh Qurra di Mesir pada zaman mereka. Walaupun ketiga-tiga ulama itu talaqqi al-Quran dengan guru yang berbeza tetapi sanad mereka berjumpa pada Sheikh Mutawali.

Sheikh Abdul Aziz Zayyat berkhidmat di Universiti al-Azhar sehingga bersara. Di samping itu, ramai yang bertalaqqi al-Quran dengan beliau di rumahnya yang terletak berdekatan dengan Universiti al-Azhar.

Antara yang bertalaqqi Qiraat Asyarah Sughra dan Asyarah Kubra ialah Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi yang merupakan pengarang kitab tajwid yang terkenal iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari. Sheikh Abdul Muhsin Syata yang merupakan seorang ulama al-Azhar, Sheikh Muhamad Jabir al-Misri, Sheikh Muhammad Tamim al-Zu'bi, Dr. Aiman Suwaid dan ramai lagi.

Selepas bersara dari Universiti al-Azhar pada tahun 1984, Sheikh Abdul Aziz Zayyat berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah.

Semasa beliau di Madinah ramai ulama yang mengambil kesempatan untuk bertalaqqi al-Quran dengannya. Antara mereka ialah Sheikh Dr. Ali Huzaifi bekas Imam Masjid Nabi, Sheikh Dr. Muhammad Ayub pensyarah Universiti Islam Madinah dan juga bekas Imam Masjid Nabi. Dan ramai lagi yang bertalaqqi Qiraat Asyarah Sughra dan Kubra.

Semasa di Madinah, Sheikh Zayyat dijemput sebagai perunding dan penasihat untuk percetakan al-Quran kali pertama di Mujamma' Malik Fahd dan berkhidmat sehingga tahun 1999.

Namanya terdapat dalam senarai jawatankuasa penyemakan mushaf dalam Mushaf al-Madinah al-Nabawiyyah yang terdahulu.

Penulis pernah melihat di pintu masuk Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah semasa Syeikh Zayyat sedang menunggu seseorang, tiba-tiba lalu Sheikh Dr. Muhammad Ayub bekas imam Masjid Nabi. Apabila beliau Sheikh Zayyat, beliau datang kepada Sheikh Zayyat dan menguncup kepalanya. Kucupan penghormatan seorang murid kepada gurunya.

Selepas menabur ilmu Qiraat dan ramai yang mendapat sanad al-Quran daripadanya, pada ahad 11 Oktober 2003, Sheikh Abdul Aziz Zayyat pergi menyahut panggilan Ilahi.

Jenazahnya dibawa ke Masjid al-Azhar dan solat jenazah diimamkan muridnya al-Muqri Sheikh Abdul Hakim Abdul Latif guru al-Quran terkenal di Kaherah.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...