Jumaat, 23 September 2011

GEN-Q manual remaja kreatif

Jika ditanya kepadaku tentang alam remaja, nescaya aku akan berkata: tiada kehidupan yang lebih singkat daripada menerima ilmu yang luas," (Ibnu Sina, ilmuwan Muslim).

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan betapa pentingnya menuntut ilmu bermula dari awal kehidupan yang singkat, lebih-lebih lagi pada usia remaja yang penuh dengan ranjau.

Maksud ranjau di sini adalah rintangan yang dihadapi oleh remaja atau generasi kini yang dipenuhi dengan pengaruh-mempengaruhi yang sukar untuk dibandingkan antara kebaikan atau sebaliknya.

Kesedaran perlu ada bagi setiap diri insan yang bernama remaja Islam supaya tidak terjebak dengan pendekatan sekular yang ingin melihat kehancuran Islam di dunia ini.

Mereka, pembawa sekular yang jahat, menanam ideologi buruk dengan menghidangkan kesukaan remaja dan mengasingkan agama dalam kehidupan.

Usul mereka biar agama dengan bab agama dan budaya dengan isi budaya - tiada boleh disamakan. Juga, mereka menjadikan Islam sebagai agama keturunan dan ibadat dianggap sebagai satu adat. Sehingga lama-kelamaan ada yang menganggap beragama itu sebagai lambang kekolotan.

Ini amat bertentangan dengan roh Islam yang mahukan Islam sebagai jalan hidup. Tidak kira sama ada dalam bab agama, kerjaya, pelajaran, perkahwinan, pergaulan, budaya, hiburan dan keseluruhan perjalanan hidup sebagai seseorang yang bergelar manusia, jiwa al-Quran dan Islam mesti diutamakan.

Kehadiran Generasi al-Quran

Sememangnya Islam itu amat luas dan infiniti, maka tidak dinafikan musuh sentiasa mengikuti perkembangannya dan menunggu peluang untuk menanam benih sekular ke dalam jiwa generasi kini melalui hiburan dan keseronokan. Ini bukanlah sesuatu yang elok bagi generasi kini dan patut dibendung sama sekali.

Dengan kesedaran itu, Generasi al-Quran Kreatif - Gen-Q dibentuk untuk memulang dan menjawab penentangan musuh Islam yang menyelusup secara senyap ke dalam jiwa remaja Islam.

Baca artikel penuh di Utusan Malaysia

Hina tanpa sedar

KAJANG: Sikap sesetengah umat Islam memandang remeh ayat al-Quran yang ditulis di kad jemputan perkahwinan atau di cakera padat (CD) agama dengan meletakkannya di merata tempat secara tidak langsung melakukan penghinaan terhadap ayat suci itu.

Walaupun hanya tertera kalimah Bismillah dalam bahasa Arab di kad jemputan perkahwinan maknanya tetap sama, sekali gus perlu mendapat penghormatan seperti kitab al-Quran dan jika mahu dilupuskan ia mesti melalui tertib tertentu.

Pengurus Percetakan Saufi yang menguruskan tempat pelupusan al-Quran, Rahmat Mahdan, berkata selain al-Quran, ada di kalangan umat Islam terlepas pandang petikan ayat suci itu yang ditulis di tempat lain seperti barang perhiasan, seramik, jam dinding, pinggan, sejadah atau kaset agama.

“Al-Quran ialah mukjizat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW, jadi dalam apa juga bentuk ia mesti dihormati dan dimuliakan kerana darjatnya yang tinggi.

“Misalnya dalam CD agama yang mengandungi bacaan al-Quran, sewajarnya ia dihormati sama seperti kitab, namun ramai di kalangan kita tidak mengambil berat soal ini sehingga dibuang atau diletakkan di tempat tidak sepatutnya. Kalau kad kahwin seeloknya ditulis terjemahan al-Quran bagi mengelak ia dibuang di merata tempat selepas habis kenduri,” katanya yang ditemui di Batu 9, Cheras, di sini, baru-baru ini.

Rahmat berkata, sejak mengusahakan tempat pelupusan al-Quran bersama ahli keluarga, dia bukan saja menerima kitab al-Quran sama ada uzur atau tersalah cetak, malah barang lain seperti ukiran kayu dan kulit kambing, kepingan kaca hiasan, kitab pengajian agama, buku teks, kad kahwin, kain, kaset, pita video dan CD mengandungi ayat al-Quran.

“Kesedaran perlu wujud di kalangan umat Islam mengenai perkara ini supaya kesucian ayat al-Quran terpelihara kerana dalam apa juga bentuk, maknanya tetap sama,” katanya.

Di sebalik tanggungjawab fardu kifayah yang dilaksanakannya itu, Rahmat kesal kerana ada pihak memandang hina tugas dilaksanakannya, malah disebabkan marah, kitab al-Quran turut mendapat penghinaan.

“Saya buka tempat ini tanpa mendapat pembiayaan mana-mana pihak, jadi apabila ada orang mahu menghantar al-Quran, saya meminta sumbangan untuk menggaji pekerja, membayar bil elektrik serta kos operasi lain, namun ada di kalangan mereka menganggap ia umpama menjual surat khabar lama di tempat kitar semula dan mengharap wang daripada saya.

“Menguruskan pelupusan kitab suci memerlukan tertib tertentu dan saya memerlukan sumbangan kewangan, tetapi disebabkan tidak mahu membayar ada yang memberi ‘kata dua’ supaya saya menerima al-Quran dibawa atau ia akan dicampak ke tengah jalan. “Ada juga yang meninggalkan kotak mengandungi kitab suci ini di depan pejabat tanpa pesanan atau akad semata-mata tidak mahu membayar kos operasi pelupusan,” katanya.

Menurutnya, tujuan dia membuka pusat pelupusan itu bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya rasa tanggungjawab selepas mendapati al-Quran dibuang sesuka hati di tempat kitar semula selain tidak mendapat penghormatan sewajarnya.

“Apabila ada orang yang menghantar kitab lama dan membuat sumbangan, kami akan memberi al-Quran baru sebagai menghargai mereka, namun masih ramai yang tidak faham usaha kami sehingga membuat tuduhan dan menghina kami,” katanya.

Rahmat berharap jabatan agama Islam serta agensi berkaitan bekerjasama dengan pihaknya bagi memudahkan fardu kifayah itu dilaksanakan.

“Kerja ini dilakukan atas dasar tanggungjawab dan kami amat mengharapkan bantuan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Sumber: Metro Plus


Kemerdekaan spiritual menurut al-Quran

SPIRITUAL manusia berpusat pada kalbu, dan di dalam kalbu manusia sudah ada potensi-potensi spiritual yang merupakan format dasar kemanusiaan. Hakikat diri manusia adalah diri yang rohaniah/spiritual yang telah tercipta sebelum adanya tubuh biologis (basyar).

Ketika manusia masih dalam wujud roh di alam lahut, roh merupakan wujud pertama manusia dalam proses penciptaannya sebelum diturunkan ke bumi dan dimasukkan ke dalam tubuh jasmaniah (basyar). Allah SWT mempersiapkan basyar (tubuh biologis) hanya sebagai wadah bagi manusia rohaniah itu.

Inti roh yang menjadi pusat diri manusia adalah kalbu. Di dalam bahasa Arab dikenal ada dua jenis kalbu: Kalbu jasmaniah berupa gumpalan daging iaitu jantung, dan kalbu rohaniah yang dalam bahasa kita disebut hati nurani.

Di dalam kalbu rohaniah inilah terletak fitrah iaitu sifat-sifat ketuhanan berupa kesedaran, perasaan, kecerdasan, iman dan iradah. Jadi, sejak diturunkan dari sisi Allah SWT, manusia rohaniah itu kalbunya tidak kosong. Sebabnya, di dalam kalbu itu Allah sudah menempatkan potensi-potensi dasar spiritual (fitrah), bibit iman, moral, ilmu dan kemerdekaan.

Firman Allah bermaksud: Tinggallah engkau dan isterimu di dalam kebun ini dan makanlah segala yang tersedia berlimpah, yang mana sahaja yang kamu kehendaki... (al-Baqarah: 35).

Berapa besar kebebasan (kemerdekaan) yang Allah berikan pada Adam? Kebebasan yang mutlak. Adakah kebebasan itu hanya untuk Adam dan Hawa sahaja? Ataukah sepanjang di dalam kebun (syurga) itu sahaja?

Kebebasan yang Allah beri amat luas hingga sampai seluruh manusia di muka bumi ini bebas bahkan untuk membangkang Allah sekali pun, sebagaimana firman Allah bermaksud: Kalau Tuhanmu menghendaki, Dia boleh membuat semua yang ada di muka bumi beriman kepada Dia. (Yunus: 99).

Timbul persoalan, mengapa Allah memberi kebebasan yang begitu luas kepada manusia hingga manusia bebas untuk membangkang Allah sehingga manusia berbuat jahat di muka bumi?

Sebagai wakil Allah yang akan memimpin kehidupan di muka bumi, manusia akan banyak menghadapi masalah. Bagi menyelesaikan masalah itu maka manusia haruslah merupakan makhluk yang kreatif. Maka untuk menjadi kreatif, Allah berikan ilmu dan kebebasan kerana ilmu dan kebebasan adalah bahan baku untuk munculnya kreativiti.

Kreativiti yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan kemerdekaan, adalah salah satu dari hal-hal yang paling awal Allah berikan kepada manusia. Dengan ilmu manusia akan menjadi cerdas dan banyak mengetahui, dan dipandu dengan kemerdekaan kecerdasan berubah menjadi daya cipta yang hebat yang menyebabkan peradaban manusia berkembang progresif.

Perkara yang merosak fitrah manusia adalah hawa nafsu, iblis, syaitan, dan agen-agen diayah wali syaitan. Firman Allah bermaksud: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?" (Taha: 120).

Iblis menyusup ke kebun kelimpah ruahan (jannah) dan memujuk Adam, manusia pertama di bumi dengan janji keabadian dan kejayaan tanpa batas dengan cara memakan buah pohon terlarang (khuldi). Rupanya Adam tergiur mendapatkan keabadian dan kejayaan tanpa batas, maka Adam pun memakan buah tersebut. Lalu apa yang terjadi?

Firman Allah bermaksud: Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga, dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Taha: 121).

Apabila manusia menurut hawa nafsunya yang berupa hasrat keabadian dan keserakahannya, maka akan nampaklah segala hal yang memalukan dari dirinya, terkuaklah segala aib yang menghinakannya.

Manusia menjadi telanjang dan pakaiannya rontok. Sedangkan pakaian adalah simbol keberadaban, martabat dan status sosial, yang tiada lagi berguna ketika manusia menurut hasrat hawa nafsunya dengan mengabaikan fitrahnya.

Ketika Allah melarang mendekati pohon terlarang itu, sebenarnya Allah sedang memberi latihan dan pendidikan kepada Adam mengenai suatu kebebasan bukanlah tanpa batas, harus dikendalikan. Titik lemah manusia adalah hasrat keabadian dan keserakahan dan iblis adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Adam bertaubat dan memohon ampun, Allah menerima taubat dan mengampuni Adam. Lalu Adam dikeluarkan dari 'kebun pelatihan' untuk turun ke bumi menjalani misinya sebagai hamba Allah sekali gus khalifah Allah di bumi.

Spiritual oleh jin dan manusia

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (Faatir: 6)

Syaitan dan jin dapat dengan mudah menipu daya manusia dengan terlebih dahulu dikuasai kesedarannya. Misalnya dengan mengamalkan ilmu batin, ghaib dan lain-lain. Para syaitan dan jin memujuk manusia terlibat di dalamnya dengan menawarkan berbagai jenis spiritual.

Di kalangan manusia ada yang memelihara jin dan makhluk halus lainnya untuk mempengaruhi manusia, sehingga orang tersebut menjadi hamba jin. Daripada sini manusia diperhambakan oleh jin sehingga orang tersebut menjadi hamba jin dan dia tidak lagi disebut sebagai orang yang bebas merdeka. Jalan untuk mencapai makrifatullah terputuslah sudah.

Sesungguhnya jin dapat bebas keluar masuk ke dalam tubuh manusia, baik secara memberi informasi mahupun mengadakan tipu daya langsung melalui hatinya.

Firman Allah bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekelian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (an-Naas: 1-6).

Justeru, manusia dilarang keras bekerjasama dengan jin kerana itu menyebabkan syirik kepada Allah. Walaupun dia mengaku sebagai jin Islam atau malaikat sekalipun.

Ciri-ciri khas manusia yang terkena efek ilmu seperti itu adalah hilangnya kesedaran logikal dan rasionalnya serta tumpulnya hati nuraninya. Oleh itu berhati-hatilah ketika kita bergaul di dunia maya ini, banyak penipu, pemerkosa, dan lain-lainnya berkeliaran untuk mencari mangsanya.

Berwaspadalah dalam berguru ilmu batin, kerana ada guru spiritual yang membebaskan spiritual kita dan ada guru spiritual yang menghambat kemajuan dan kejayaan kita zahir dan batin. Mereka telah membunuh kemerdekaan spiritual manusia.

Sumber: Utusan Malaysia

Bahana Bakhil

Semanis Kurma: 22 September 2011
Tajuk: Bahana Bakhil

Ayat peringatan:
Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; Serta dia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan; Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)? Al-Lail, Ayat 8-11 (ustazah bagi ayat 8-10, saya copy sampai 11)

Ayat doa:

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). Ali-Imran, Ayat 193

Orang yang pemurah disayangi Allah serta manusia dan didoakan oleh para malaikat. Didekatkan dengan syurga dan jauh dari neraka.

Rabu, 21 September 2011

Legenda tarannum al-Quran Mesir

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

MESIR mempunyai ramai qari terkenal yang memberi sumbangan besar kepada dunia penyebaran ilmu al-Quran. Perintis rakaman al-Quran 30 juzuk iaitu pada tahun 1960 dimulakan oleh Sheikh Mahmud Khalil al-Husari yang berasal dari Mesir.

Generasi al-Quran yang muncul di Mesir adalah kerana persekitaran yang kondusif untuk mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran.

Antaranya, kewujudan radio al-Quran yang menyiarkan bacaan al-Quran sepanjang hari, program al-Quran yang banyak seumpama bacaan al-Quran di setiap permulaan majlis, bacaan al-Quran di majlis kematian, kelas al-Quran yang wujud di setiap masjid menjadikan masyrakat mudah mendengar al-Quran.

Selain itu, guru-guru al-Quran yang melata di bumi Mesir dan ibu bapa pula memainkan peranan di mana setiap anak mestilah mendalami bacaan al-Quran dahulu sebelum meneruskan pengajian menjadi faktor berkembangnya ilmu al-Quran di bumi Mesir.

Antara tokoh legenda tarannum al-Quran yang sebaris dengan Sheikh Mahmud Khalil al-Husari, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Basit Abdul Samad dan Sheikh Muhammad Siddeq Minsyawi.

Sheikh Muhammad Siddeq anak kelahiran Mesir pada tahun 1920 itu telah berjaya menghafaz al-Quran dalam usia 11 tahun melalui didikan dua guru iaitu pertama ayahnya sendiri Sheikh Sideq Minshawi yang merupakan Qari terkenal ketika itu dan Sheikh Muhammad al-Namki.

Apabila ditanya kepada pengkarya Ilmu Qiraat terkenal iaitu Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi siapakah pelajar beliau yang paling baik, beliau menjawab: "Sheikh Mahmud Khalil al-Husari dan Sheikh Muhammad Sideeq Minshawi."

Jalur keluarga Minshawi adalah terkenal dengan ramainya mempunyai suara yang merdu dan menjadi qari terkemuka. Antara mereka ialah Sheikh Sideq Minshawi iaitu ayah kepada Sheikh Muhammad Minshawi.

Sheikh Mahmud Sideq Minshawi pula ialah adik kepada Sheikh Muhamaad. Namun yang terbaik di kalangan keluarga Minshawi yang dianggap sebagai anugerah ialah Sheikh Muhammad Sideq.

Sumbangan Sheikh Muhammad Sideq adalah merakam 30 juzuk al-Quran, menjadi qari di Masjid Zamalik selama 15 tahun dan juga menjadi qari di radio al-Quran Mesir.

Selain itu, beliau juga pernah menziarahi Masjid al-Aqsa dan membaca surah al-Hujurat dan surah Qaaf di hadapan khalayak yang berkumpul ketika itu.

Setiap qari mempunyai kegemaran membaca ayat-ayat tertentu seperti Sheikh Abdul Basit dengan kegemarannya membaca surah al-Duha dan surah Yusuf.

Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Sideq yang gemar membaca surah al-Hasyr dan surah Ghafir dengan suara yang menakjubkan.

Takdir Allah menentukan segala-galanya. Usia Sheikh Muhammad Sideq tidak panjang seperti qari yang lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 1969 dalam usia 49 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

Khamis, 15 September 2011

Dendam Semalam

Semanis Kurma: 15 september 2011
Tajuk: Dendam Semalam

Ayat Doa 1:Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu. Al-Hasyr, Ayat 10


Ayat Doa 2:
Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. Ibrahim, Ayat 41

Note: Andai salam yang diberi tidak berjawab, nanti malaikat yang jawab. Betapa specialnya hadiah untuk yang berusaha mendamaikan dan beralah..

Perang Lebaran

Semanis Kurma: 8 September 2011
Tajuk: Perang Lebaran

Ayat doa 1
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu? Katakanlah lagi: Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. Az-Zumar, Ayat 38

Ayat Doa 2
Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naim; Ash-Shuara, Ayat 85

Nafsu Syawal

Semanis Kurma: 25 Ogos 2011
Tajuk: Nafsu Syawal

Ayat Motivasi (Istiqamah)
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya). Al-Baqarah, Ayat 212

Kalamullah peringatan:
Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. Surah Taha, Ayat 81

Selasa, 13 September 2011

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum.

Belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin kepada semua. Lately agak sibuk sedikit dengan kerja dan beraya. Ade few posts untuk Semanis Kurma saya belum upload. Ada 3 rasanya. InsyaAllah akan diupdate nanti :)

Tahniah kepada yang berjaya khatam al-Quran pada bulan Ramadhan. Alhamdulillah, dengan izinNya dapat satu round. Ada kawan dapat tilawah 2 round. Semoga jiwa-jiwa kita senantiasa ditarbiah dan dihiasi dengan kalamullah.

Ya Rabb, Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Hidupkanlah mata hati kami supaya sentiasa sedar dan bersyukur dengan nikmat-nikmatmu. Kurniakanlah kami ilmu, ilham, hikmah dan keberkatan. Amin.

Khamis, 8 September 2011

Tafsir Ayat: Ibadat solat didik budaya hidup berdisiplin, hargai masa

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya.

Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia.

Untuk berhubung secara terus dengan Allah tidak memerlukan sebarang alat komunikasi canggih, memadailah seorang Muslim bermunajat pada bila-bila masa dan di mana juga melalui ibadat solat. Solat itu tiang agama dan kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim.

Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas’ud: “Apakah amalan yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya. Kemudian Ibnu Mas’ud bertanya lagi: Selepas itu, apa pula? Jawab Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Petikan al-Quran: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. - Surah al-Ankabut, Ayat 45

Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya ‘tepat pada waktunya’ sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan seorang Muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup secara tertib dan berperaturan.

Fungsi solat juga sebagai penawar ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang kekotoran.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati Baginda.

Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang Muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun perkataan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam.

Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan wajahnya ke arah tempat sujud.

Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam.

Ibadat solat jika dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji.

Sumber: Berita Harian

Doa khatam al-Quran di Mekah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

MASJID utama di seluruh negara Islam mengakhiri bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan dengan membaca doa khatam al-Quran.

Tetapi masjid yang paling menjadi tumpuan ialah Masjid al-Haram di Mekah yang menjadi destinasi umat Islam di bulan Ramadan untuk mendapat kelebihan mengerjakan umrah di samping solat tarawih yang mempunyai banyak kelebihannya.

Setiap malam, dua imam akan bergilir-gilir mengimamkan solat tarawih dan witir.

Mereka membaca lebih satu juzuk setiap malam dengan tujuan khatam al-Quran pada malam 29 Ramadan.

Sejak kebelakangan ini, imam yang membaca doa khatam al-Quran di Masjid al-Haram ialah Dr. Sheikh Abdul Rahman al-Sudaisi.

Saat khatam al-Quran dalam solat tarawih di Mekah menjadi satu perkara yang amat ditunggu-tunggu umat Islam.

Kehadiran mereka ke Mekah lebih satu juta sama ada dari negara arab, benua Afrika atau umat Islam di sebelah Asia terutama di minggu terakhir Ramadan. Ia semata-mata menunggu saat khatam al-Quran.

Dr. Sheikh Abdul Rahman memulakan doa khatam al-Quran dengan memuji Allah SWT dan membaca beberapa potongan ayat yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, Maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim. (ali-'Imran: 95)

Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (al-Nisa': 87)

Doa yang beliau baca lebih setengah jam itu mengandungi pujian kepada Allah SWT dan Nabi Muhamad SAW yang merupakan sebaik-baik rasul yang diutuskan.

Juga pujian kepada al-Quran yang merupakan sebaik-baik kitab Allah yang diturunkan, mempunyai hukum hakam, syariat perundangan, halal dan haramnya amat jelas.

Kandungan doa untuk al-Quran adalah memohon kepada Allah supaya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan hati setiap orang Islam selain memberi penerang duka kepada mereka di samping memberikan keceriaan ketika murung dan penunjuk yang memandu umat Islam ke ke syurga Allah.

Doa itu juga memohon agar Allah sentiasa mengingatkan umat Islam supaya tidak lupa kepa al-Quran dan ajarkan kepada mereka yang jahil tentangnya yang dapat dijadikan panduan dan dijadikan pedoman di hari akhirat.

Semua makmum yang mengaminkan doa tersebut amat tersentuh hati dengan doa yang dibacakan Imam Sudais.

Beliau turut memohon supaya Allah mengurniakan umat Islam seluruhnya dapat bersolat di Baitul Maqdis sebelum meninggal dunia sebagaimana ramainya bersembahyang di Mekah ketika ini.

Semoga doa yang dibaca di hadapan kaabah dan diaminkan oleh jutaan makmum ini dengan bersulam air mata, rintihan akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, 3 September 2011

Remaja dan al-Quran sebagai petunjuk

AL-QURAN sebagai mukjizat Allah turun dalam bulan Ramadan. Ia menjadi sumber petunjuk kepada manusia dan juga orang yang bertakwa (hudan linnas hudan lilmuttaqeen). Manusia sebagai ciptaan Allah memerlukan pedoman bagaimana hidup ini harus dijalani.

Lebih-lebih lagi orang yang bertakwa menjadikan Allah sebagai sumber keyakinan dengan menghubungkan al-Quran sebagai sumber kebenaran. Manusia dengan kekuatan akal semata-mata tidak mampu memahami faktor kejadian, penciptaan apalagi faktor ghaibiyyah.

Akibat keterbatasan fikir manusia, alam yang tidak terbatas ini tidak dapat diteroka dan difahami kerana ia berkait langsung dengan faktor ghaibiyyah iaitu Allah SWT.

Bagi manusia yang bergantung kepada kekuatan akal semata-mata, hidupnya bersifat duniawi, fahamnya menjadi sekular, nafsu-nafsi menjadi pedomannya dan keyakinannya terhadap akhirat tidak ada.

Kehidupannya seumpama haiwan yang melata dimuka bumi. Bezanya mereka ada sistem dan hidup dalam masyarakat yang mencari kesejahteraan hidup dunia semata-mata.

Justeru remaja perlu faham bahawa petunjuk yang dibawa oleh al-Quran tidak sekadar mengajak manusia memahami faktor nyata yang sifatnya duniawi tetapi juga faktor ghaib yang berkait dengan ukhrawi.

Al-Quran membawa risalah tauhid kepada manusia supaya pancaran iman antara hamba dan Khaliq bertaut erat. Al-Quran juga memberikan landasan syariah dan fekah dan pedoman ibadah di samping kisah-kisah untuk dijadikan sumber ibrah atau ikutan.

Risalah tauhid yang dibawa oleh al-Quran adalah tunjangan dalam beragama seseorang Islam. Ia menjadi landasan penting tegaknya hubungan hamba dan pencipta.

Al-Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan memberi makna yang cukup besar kepada orang-orang Islam dan umat manusia. Ia turun ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Surah Yaasin ayat dua memberi asas bahawa al-Quran itu terhubung dengan hikmah (wal quranil hakiim). Hikmah inilah yang ingin dicari oleh manusia. Hikmah inilah juga yang selalu hilang daripada manusia.

Hikmah ini terungkap dalam surah awal al-Quran. Surah al-Alaq memberi makna yang amat istimewa untuk manusia. Maksud bacalah di situ tidak saja melambangkan budaya ilmu yang menghubungkan al-Quran dan pemikiran manusia atau membaca secara harfiah atau kalimah untuk mendapatkan pahala atau fadilat tetapi maksud bacalah menghubungkan bacaan yang tersurat dengan maksud yang tersirat.

Membaca juga sifatnya tekstual (kitab) dan juga kontekstual (menghubungkannya dengan realiti keadaan dan peristiwa yang berlaku). Baca juga menghubungkan faktor alamiah dan manusia sebagai ayat-ayat Allah. Apa yang terjadi dihubungkan dengan kudrat dan iradat dari Allah.

Di bulan Ramadan budaya Quran dihidupkan dengan tadarrus, halaqah dan tazkirah. Ia menghidupkan hati-hati dan fikir insan. Fikrah Islami adalah sesuatu yang amat penting bagi manusia Islam kerana ia terkandung hikmah dan membawa pencerahan kepada insan.

Pencerahan tidak saja kepada akal tetapi juga kepada hati. Aspek fikir dan zikir amat penting bertaut supaya ianya melahirkan tasawwur yang lebih jelas terhadap sesuatu. Darinya fikrah Islami bakal terbina.

Ayat kedua dalam surah al-Alaq (khalaqal insan namin ‘alaq) memberikan manusia asas ilmu yang amat menakjubkan iaitu kejadian manusia bermula dari darah beku (‘alaqa).

Pandangan saintifik juga sedemikian. Bagaimana seketul darah yang membentuk dan bersusuk dan sempurna menjadi manusia dan ditiupkan roh supaya bermula kehidupan adalah sesuatu di luar dari kuasa manusia untuk melakukannya.

Ia membawa pengiktirafan bahawa manusia adalah makhluk yang dijadikan bukan terjadi secara kebetulan atau sifatnya semulajadi.

Pemikiran Quran ini amat penting difahami dan diyakini oleh orang-orang Islam supaya landasan akidah terbina kukuh dan darinya menghasilkan jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah benteng yang amat ampuh mendepani apa saja cabaran yang cuba menggugat keyakinan insan.

Faktor keyakinan adalah sesuatu yang asasi atau utama kerana darinya terpancar kekuatan akidah, iman dan ihsan.

Al-Quran memberikan pedoman dalam surah al-Asr – illallazi na’amanu waa’milaussa lihat – orang-orang beriman ciri-cirinya adalah amal soleh menjadi sempadan yang memperlihatkan pemikiran, keyakinan dan juga amal. Ini kerana akhirnya gambaran orang-orang beriman harus terlihat pada pekerti, tingkah laku dan amal buatnya. Di situlah datangnya keindahan Islam yang terpancar dari watak dan peribadi mithali.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...