Rabu, 1 Januari 2014

Balasan orang bersabar

DAN sesungguhnya Tuhanmu (pelindung) bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Nahl: 110)

Ibnu Jarir berkata: “Sesungguhnya Tuhanmu wahai Muhammad bagi sesiapa yang berhijrah dan berpindah ke negeri Islam selepas berada dalam fitnah golongan musyrikin sudah pasti akan mendapat kebaikan daripada Allah SWT."

Ibnu Kathir berkata: €œDi sana terdapat golongan mustadafiin tinggal di Mekah dalam keadaan hina dan terdedah daripada fitnah.

Sayyid Qutub berkata: €œMereka adalah terdiri daripada orang-orang Arab yang lemah. Mereka ditindas oleh kaum Musyrikin yang zalim supaya meninggalkan agama Islam yang telah dianuti mereka. Mereka ditindas dengan azab seksa dan lainnya, tetapi mereka telah berpindah dari Mekah selepas penindasan-penindasan itu setelah mereka mendapat peluang berbuat begitu dan setelah keIslaman mereka mencapai tahap yang baik. Mereka telah berjihad kerana agama Allah dengan sabar dan gigih memikul tugas-tugas dakwah. Oleh itu, Allah menyampaikan berita kepada mereka bahawa Dia akan mengurniakan keampunan dan limpah rahmat-Nya kepada mereka.

Saya ingin mengemukakan satu episod hijrah baginda SAW ketika singgah di Quba’ dan memasuki kota Madinah.

Pada hari Isnin 8 Rabiulawal tahun 14 Kenabian, tahun pertama hijrah bersamaan 622M, baginda tiba di Quba’. (rujuk Rahmah Li al-Alamin 1/102.)

Pada hari tersebut genaplah usia Rasulullah SAW 53 tahun, sementara kenabiannya genap 13 tahun. Ini berdasarkan pendapat yang mengatakan baginda dilantik menjadi Nabi pada 9 Rabiulawal tahun 41 Tahun Gajah.

Urwah bin al-Zubair berkata: €œOrang-orang Islam di Madinah mendengar Rasulullah SAW telah keluar dari Mekah. Setiap pagi mereka akan keluar ke padang lapang untuk menanti ketibaan NAbi SAW. Apabila panas semakin terik, mereka pulang dan terus menanti dengan penuh kehampaan setiap kali menunggu. Setelah pulang ke rumah masing-masing, seorang lelaki Yahudi mendaki salah sebuah tembok kepunyaan mereka untuk melakukan sesuatu tugas. Tiba-tiba, dilihatnya Rasulullah SAW dan sahabatnya berpakaian putih terlindung oleh fatamorgana.€

Dia tidak dapat menahan perasaannya lalu bersuara: “Hai sekalian orang Arab, inilah pemimpin kamu yang dinanti-nantikan. Lalu orang Islam segera keluar dengan membawa senjata masing-masing.” (rujuk Sahih al-Bukhari 1/55)

Ibnu Qayim berkata: €œKedengaran bunyi riuh-rendah dan takbir di perkampungan Bani ‘Amru bin Auf dan orang-orang Islam turut bertakbir lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Baginda SAW. Mereka segera keluar untuk bertemu Rasulullah SAW dan mengalu-alukan kedatangan seorang Nabi. Mereka mengelilingi Baginda dan berpusing di sekitarnya.”
Ketenangan menyelubungi diri baginda lantas turun wahyu Allah SWT yang bermaksud: Kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain daripada itu Jibril serta orang-orang yang soleh daripada kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya. (al-Tahrim: 4)

Urwah bin al-Zubair berkata: €œMereka bertemu Rasulullah SAW dan Baginda mengambil kedudukan di sebelah kanan mereka sehingga Rasulullah SAW berhenti di tempat Bani Amru bin Auf. Hari tu ialah hari Isnin, bulan Rabiulawal. Kemudian Abu Bakar r.a bangun mengadap manusia sementara Baginda berdiam diri. Orang Ansar yang tidak pernah melihat Rasulullah SAW segera mengalu-alukannya.€

Dalam riwayat lain menyebutkan: €œMereka segera datang kepada Abu Bakar r.a dan apabila matahari terik mengenai Rasulullah SAW, lantas Abu Bakar r.a tampil menaungi Baginda dengan kain selendangnya. Justeru, tahulah mereka yang mana satu Rasulullah SAW.” (rujuk Sahih al-Bukhari 1/555)

Semua penduduk Madinah bergegas menyambut kedatangan Nabi SAW. Tatkala itulah orang Yahudi melihat sendiri benarnya perkhabaran Nabi Habquq dalam kitab mereka: “Sesungguhnya Allah datang dari Tayman dan Quddus datang dari bukit-bukit Faran.” (rujuk Sahifah Habaquq 3/3)

SEMASA di Quba’, Rasulullah SAW singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Ada pendapat mengatakan: Bahawa baginda singgah di rumah Sa’ad bin Khaithamah. Pendapat yang pertama adalah lebih thabit dan kuat. Ali bin Abu Talib r.a pula berada di Mekah selama tiga malam. Sehingga dapat menyelesaikan semua barang-barang amanah orang yang disimpankan kepada baginda. Kemudian, dia berhijrah dengan berjalan kaki sehingga menemui Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a di Quba’ dan dia singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. (rujuk Zad al-Ma’ad 2/54, Sirah Ibnu Hisham 1/493 dan Rahmah Li al-Alamin 1/102)

Di Quba’ Rasulullah SAW menetap selama empat hari iaitu pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Baginda membina Masjid Quba’ dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid pertama dibina atas dasar takwa selepas baginda menjadi Nabi. Pada hari Jumaat dengan perintah Allah SWT, baginda bergerak menuju Madinah bersama Abu Bakar.

Baginda menghantar utusan kepada Bani al-Najjar yang merupakan kaum kerabat bapa saudara baginda sebelah ibu. Kemudian mereka datang dengan membawa pedang. Baginda bertolak menuju ke Madinah dan waktu solat Jumaat, Baginda sampai di kampung Bani Salim bin Auf. Di situ, baginda bersolat berjemaah dengan 100 orang lelaki. (rujuk Sahih al-Bukhari 1/555, 560. Zad al-Ma’ad 2/55. Sirah Ibnu Hisham 1/494. Rahmah Li al-Alamin 1/102)



Tiada tandingan


Berdasarkan pengamatan, jelas menunjukkan hijrah mempunyai pelbagai kelebihan yang tiada tandingan dan bandingan. Isu pengorbanan merupakan perkara pokok dalam hijrah yang telah dijelmakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Penulis menukilkan dari buku Mengenali Rasulullah SAW antara lain menyebut: Allah SWT mensyariatkan prinsip berkorban dengan harta dan tanah air demi mepertahankan akidah dan agama apabila diperlukan.
Dengan pengorbanan ini sebenarnya umat Islam telah memelihara harta, negara dan kehidupan walaupun kelihatan pada awalnya mereka kehilangan segala-galanya.

Tidak syak lagi di dalam usaha melaksanakan ajaran Ilahi, ukhuwah dan sikap saling membantu merupakan asas pertolongan dan kemenangan umat Islam pada setiap masa. Sebaliknya kecuaian dalam menjalankan perintah Allah, inilah merupakan punca kemerosotan umat Islam dan perpecahannya. Hinggakan mereka seperti boleh dikoyak-koyakkan oleh seterunya (musuh Islam) di mana-mana sahaja.


Sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...