Selasa, 2 Julai 2013

Dua peserta perdengar bacaan pada malam pertama tilawah

KOTA BHARU 10 Jun - Seramai dua peserta memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 di sini malam ini.
Mereka adalah qari dari Kedah, Mohd. Fakhrulradhi Khamaruddin dan qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut

Mohd. Fakhrulradhi membaca Surah Al-Anam ayat 33 sehingga 40 sementara Nor Faizah pula membaca Surah Al-A'raf bermula ayat 26.

Sementara itu, Mohd. Fakhrulradhi yang ditemui berkata, beliau memberikan persembahan terbaik pada malam ini selepas membuat persediaan sejak sekian lama. 

Bekas johan Akademi Al-Quran musim ketiga itu berkata, biarpun telah tiga kali menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan namun beliau tidak mengambil mudah persaingan pada kali ini. 

"Saya telah membuat persiapan seperti sebelum ini, tidak ada kelainan. Saya merasakan saingan sememangnya amat sengit," katanya ketika ditemui di sini malam ini. 

Seramai 29 qari dan qariah termasuk johan menunggu qariah menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 yang berlangsung sehingga 14 Jun ini di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang di sini.

Dalam pada itu, Nor Faizah berkata, beliau masih merasa gementar biarpun telah empat kali menyertai tilawah al- Quran peringkat kebangsaan. 

Penuntut sarjana Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau terikat dengan kekangan masa untuk membuat persiapan disebabkan terikat dengan peperiksaan akhir.

"Peluang untuk menang agak sukar kerana masih ramai qariah senior dan saya perlu mendalami lebih banyak lagi ilmu Al-Quran dan memperbaiki bacaan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...