Isnin, 31 Januari 2011

Mastika Hadis (2)

Kompilasi hadis-hadis berkenaan al-Quran

Yang terbaik

Uthman bin Affan r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

Tidak dibenarkan hasad kecuali kepada 2 jenis orang
Abdullah Bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Seseorang yang Allah SWT telah merahmatinya dengan pembacaan al-Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan Allah swt) siang dan malam.” (Riwayat Bukhari, Tirmizi & Nasa’i)

Al-Quran sebagai pembela
Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Al-Quran adalah pemberi syafaat yang syafaatnya diterima sebagai pembela yang pembelaannya dibenarkan. Sesiapa yang meletakkan al-Quran di hadapan, al-Quran akan membawanya ke syurga, sesiapa meletakkan al-Quran di belakang maka al-Quran akan mencampakkannya ke dalam neraka.”
(Riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)

Bacalah Al-Quran secara bertartil
Dari Abdullah bin Amr r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Akan diucapkan kepada ahli Al-Quran (pada hari kiamat) ‘Bacalah, dan naiklah (ke syurga) serta bacalah (Al-Quran) dengan tartil, sebagaimana kamu membacanya dengan tartil ketika di dunia. Kerana sesungguhnya kedudukanmu adalah di akhir ayat yang engkau baca” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah & Ibnu Hibban)

Fadhilat Al-Quran
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada al-Quran, akan dituliskan untuknya kebaikan yang digandakan dan sesiapa membaca satu ayat, bacaannya itu akan menjadi nur untuknya pada hari kiamat.”
(Riwayat Ahmad)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...