Ahad, 21 Oktober 2012

Abu al-Quran dilupus ke laut

SEBAGAIMANA jasad manusia, kitab al-Quran yang merupakan mukjizat teragung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW perlu diurus dan dikendalikan dengan sempurna.

Jika jasad manusia yang telah meninggal dunia perlu dimandikan sebelum dikebumi di kawasan perkuburan dengan baik, begitu juga dengan naskhah al-Quran yang mengandungi kalam Allah SWT itu.

Kitab al-Quran yang dijamin oleh Allah SWT akan berkekalan dan terpelihara sehingga hari kiamat perlu dilupuskan dengan kaedah khas bagi memuliakan kesuciannya daripada dicemari.

Proses pelupusan helaian al-Quran tidaklah semudah untuk melupuskan buku atau majalah ilmiah yang lain, tetapi harus melalui beberapa proses. Antaranya dibakar sehingga menjadi debu.

Pembakaran helaian dan ayat suci al-Quran pula perlu dilakukan dengan sempurna sehingga ayat dan kalimah tersebut tidak lagi kelihatan sebelum dihancurkan dan diproses menjadi debu dan dilupuskan ke dalam laut.

Oleh itu, salah faham sesetengah pihak yang mendakwa proses pembakaran al-Quran bagi tujuan pelupusan adalah seperti menghina dan menjatuhkan martabat kitab suci umat Islam itu adalah tidak benar.

Tanggapan tidak berasas itu perlu diperbetulkan bagi mengelak penyelewengan akidah dan berlakunya penyebaran fitnah terhadap umat Islam yang menjadikan kitab al-Quran sebagai panduan hidup.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tidak wujud istilah berniat buruk seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak dalam proses pelupusan al-Quran.

Menurutnya, pelupusan al-Quran menggunakan kaedah pembakaran bukanlah perkara baru yang diamalkan di negara ini tetapi dilakukan sejak zaman pemerintahan khalifah Saidina Uthman Ibnu Affan.

"Sejarah pembakaran al-Quran bermula sejak daripada zaman Saidina Uthman, apabila Rasulullah meminta beliau mengumpulkan cebisan ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para sahabat pada sesuatu objek seperti batu, kulit binatang dan kayu.

"Pengumpulan itu dibuat kerana didapati terdapat banyak kesalahan ayat al-Quran dalam tulisan yang pelbagai versi itu. Oleh itu, kesemua objek yang ada ada ayat al-Quran itu dikumpulkan dan dihapuskan dengan kaedah pembakaran.

"Saidina Uthman kemudian menyatukan ayat al-Quran dan membukukan dalam satu mashaf yang dikenali resm Uthmani. 

"Ini membuktikan bahawa pembakaran al-Quran untuk dilupuskan bukanlah perkara baru dilaksanakan di negara ini atau mempunyai niat buruk untuk memperkecilkan al-Quran," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program pelupusan abu al-Quran peringkat Negeri Pahang di Tambatan Pangkalan Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
 
Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...