Rabu, 14 Disember 2011

Pemegang sanad tertinggi

NAMA Abdul Aziz Zayyat terkenal di kalangan penuntut ilmu Qiraat. Beliau merupakan seorang tokoh yang besar jasanya dalam perkembangan ilmu Qiraat.

Walaupun beliau tidak dapat melihat tetapi mata hatinya melihat cahaya ilmu dan mampu menghafaz dan mengingati dengan baik matan-matan dalam ilmu Qiraat seperti matan Syatibiyyah, Matan Durrah, Matan Taiyyibah dan lain-lain.

Sheikh Abdul Aziz Zayyat lahir pada tahun 1907 di Mesir. Selepas menghafaz al-Quran beliau telah menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar. Di Al-Azhar banyak ilmu yang yang dapat dipelajarinya termasuk syariah dan bahasa Arab.

Selain itu beliau juga mendalami Ilmu Qiraat Asyarah Sughra melalui tariq Syatibiyyah dan Durrah serta Asyarah Kubra melalui tariq Tayyibah al-Nasyr dari dua guru Qiraat yang terkenal pada zamanya iaitu Sheikh Khalil al-Janayani dan al-Allamah Sheikh Abdul Fattah Hunaidi.

Kedua-dua sheikh itu mempunyai sanad Qiraat yang tinggi di mana mereka berdua mendalami ilmu Qiraat daripada al-Allamah Sheikh Qurra pada zamannya iaitu Sheikh Muhammad Ibn Ahmad yang terkenal dengan panggilan al-Mutawali.

Jika ditinjau kepada sanad Quran yang ada pada masa ini sama ada di Mesir, Arab Saudi, Syria dan lain-lain kebanyakannya melalui Syeikh Mutawali sehingga kepada Rasulullah SAW.

Rakan-rakan Sheikh Abdul Aziz Zayyat yang terkenal dan nama mereka tersenarai dalam sanad al-Quran ialah Sheikh Muhammad Ali Khalaf al-Husaini dan al-Allamah Sheikh Ali Muhammad Dabba'. Kedua-duanya adalah Sheikh Qurra di Mesir pada zaman mereka. Walaupun ketiga-tiga ulama itu talaqqi al-Quran dengan guru yang berbeza tetapi sanad mereka berjumpa pada Sheikh Mutawali.

Sheikh Abdul Aziz Zayyat berkhidmat di Universiti al-Azhar sehingga bersara. Di samping itu, ramai yang bertalaqqi al-Quran dengan beliau di rumahnya yang terletak berdekatan dengan Universiti al-Azhar.

Antara yang bertalaqqi Qiraat Asyarah Sughra dan Asyarah Kubra ialah Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi yang merupakan pengarang kitab tajwid yang terkenal iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari. Sheikh Abdul Muhsin Syata yang merupakan seorang ulama al-Azhar, Sheikh Muhamad Jabir al-Misri, Sheikh Muhammad Tamim al-Zu'bi, Dr. Aiman Suwaid dan ramai lagi.

Selepas bersara dari Universiti al-Azhar pada tahun 1984, Sheikh Abdul Aziz Zayyat berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah.

Semasa beliau di Madinah ramai ulama yang mengambil kesempatan untuk bertalaqqi al-Quran dengannya. Antara mereka ialah Sheikh Dr. Ali Huzaifi bekas Imam Masjid Nabi, Sheikh Dr. Muhammad Ayub pensyarah Universiti Islam Madinah dan juga bekas Imam Masjid Nabi. Dan ramai lagi yang bertalaqqi Qiraat Asyarah Sughra dan Kubra.

Semasa di Madinah, Sheikh Zayyat dijemput sebagai perunding dan penasihat untuk percetakan al-Quran kali pertama di Mujamma' Malik Fahd dan berkhidmat sehingga tahun 1999.

Namanya terdapat dalam senarai jawatankuasa penyemakan mushaf dalam Mushaf al-Madinah al-Nabawiyyah yang terdahulu.

Penulis pernah melihat di pintu masuk Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah semasa Syeikh Zayyat sedang menunggu seseorang, tiba-tiba lalu Sheikh Dr. Muhammad Ayub bekas imam Masjid Nabi. Apabila beliau Sheikh Zayyat, beliau datang kepada Sheikh Zayyat dan menguncup kepalanya. Kucupan penghormatan seorang murid kepada gurunya.

Selepas menabur ilmu Qiraat dan ramai yang mendapat sanad al-Quran daripadanya, pada ahad 11 Oktober 2003, Sheikh Abdul Aziz Zayyat pergi menyahut panggilan Ilahi.

Jenazahnya dibawa ke Masjid al-Azhar dan solat jenazah diimamkan muridnya al-Muqri Sheikh Abdul Hakim Abdul Latif guru al-Quran terkenal di Kaherah.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...