Khamis, 28 Julai 2011

Imam Khalaf al-'Asyir

KAEDAH pengajian Qiraat dimulai dengan mendalami Qiraat Tujuh sama ada usul atau farsy. Selepas menguasai Qiraat Tujuh, disusuli pula Tiga Qiraat iaitu Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-Asyir.

Gabungan antara Tujuh Qiraat (Nafei', Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn 'Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaei) dan Tiga Qiraat (Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-Asyir) dipanggil Qiraat Sepuluh.

Imam yang terakhir dalam rangkaian susunan imam Qiraat ialah Khalaf al-Asyir. Beliau adalah satu-satunya Imam yang mempunyai dua posisi iaitu perawi dan Imam. Khalaf ialah perawi pertama kepada Imam Hamzah dalam Tujuh Qiraat dan Imam yang kesepuluh dalam Qiraat Sepuluh.

Walaupun begitu, bagi penuntut ilmu Qiraat, bacaan Khalaf tidak mengelirukan sama ada ketika beliau menjadi perawi kepada Imam Hamzah atau ketika beliau menjadi Imam yang kesepuluh.

Ini kerana penggunaan namanya amat jelas dan terang. Bacaannya ketika beliau perawi kepada Imam Hamzah disebut sebagai Khalaf daripada Imam Hamzah. Tetapi jika bacaan beliau sebagai Imam yang kesepuluh disebut Khalaf al-'Asyir.

Nama penuhnya ialah Khalaf Ibn Hisyam Ibn Tha'lab Ibn Khalaf. Dilahirkan pada tahun 150 hijrah. Beliau mampu menghafaz al-Quran dan khatamnya dalam usia 10 tahun.

Seterusnya beliau menuntut ilmu syariah ketika berusia 13 tahun. Menguasai ilmu agama dengan mendalam, budi pekertinya amat mulia, kuat beribadat dan amat zuhud.

Khalaf talaqqi Qiraat Imam Hamzah melalui muridnya Sulaim Ibn Isa. Beliau juga bertalaqqi al-Quran dari beberapa guru antaranya ialah AbdulRahman Ibn Abi Hammad, Ya'qub Ibn Khalifah, Abi Zaid Said Ibn Aus, Ishaq al-Musaibi, Ismail Ibn Ja'far, Abdul Wahhab Ibn 'Ata.

Selain guru tersebut, Khalaf juga mendengar bacaan Imam al-Kisaei. Ada juga pendapat yang menyatakan Khalaf membaca di hadapan al-Kisaei namun yang masyhurnya Khalaf hanya mendengar Imam al-Kisaei membaca al-Quran hingga khatam dan mencatat bacaannya.

Ibn Asytah menyatakan bahawa Khalaf mengikuti dan mengambil qiraat Imam Hamzah namun berbeza dalam 120 tempat mengikut pilihannya. Imam Ibn Jazari mengkaji satu persatu pilihan Khalaf tersebut dan mendapati masih dalam lingkungan Qiraat ahli Kufah. Imam Khalaf meninggal dunia pada tahun 229 hijrah di Baghdad.

Perawi pertama Imam Khalaf ialah Ishaq. Beliau ialah Ishaq Ibn Ibrahim Ibn Uthman Ibn Abdullah. Seorang yang thiqah, kuat ingatan dan mutqin. Membaca dan menekuni Qiraat Khalaf al-'Asyir dan pilihannya kepada gurunya sendiri. Beliau juga mendalami ilmu Qiraat dari al-Walid Ibn Muslim. Ishaq meninggal dunia pada tahun 286 hijrah.

Perawi kedua Imam Khalaf ialah Idris Ibn Abdul Karim al-Haddad. Meriwayat secara langsung Qiraat Khalaf sama ada riwayatnya daripada Imam Hamzah atau pilihannya sendiri.

Menekuni ilmu Qiraat daripada beberapa guru antaranya Muhammad Ibn Habib al-Syamuni. Ramai di kalangan ulama yang sempat bertalaqqi dari Idris.

Di antara mereka ialah Muhammad Ibn Ahmad Ibn Syanabuz, Ibn Muqsim, Musa Ibn Ubaidillah al-Khaqani, Muhammad Ibn Ishaq al-Bukhari. Idris meninggal dunia pada hari raya Aidiladha tahun 292 hijrah dalam usia 93 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...