Rabu, 20 Julai 2011

Sokongan padu bakar semangat qari, qariah negara

Suraya, Amirahman timba pengalaman tingkat keyakinan beri persembahan terbaik

KEHADIRAN rombongan tiga bas dari Kota Tinggi, Segamat dan beberapa daerah di Johor Bahru terdiri daripada anak murid serta rakan qariah, menguatkan semangat qariah negara, Suraya Abu Hassan, yang memperdengarkan bacaannya pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53, malam tadi.

Beliau yang menjadi peserta ketiga memperdengarkan bacaan pada malam keempat dalam majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), membaca surah al-Zukhruf bermula ayat 57.

Berbekalkan tunjuk ajar diberikan guru serta pembimbing disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berusaha melakukan yang terbaik dan bertawakal kepada Allah.

“Memang cita-cita saya ingin menjadi johan qariah peringkat antarabangsa dan saya tetapkan niat perjuangan ini kerana Allah. Oleh itu saya berusaha sedaya mungkin melakukan yang terbaik dan keputusannya saya serahkan kepada Allah.

“Andainya ada rezeki saya kali ini, Alhamdulillah dan jika sebaliknya, saya akan berusaha lagi di masa depan sehingga hasrat menjadi juara qariah peringkat antarabangsa biarpun sekali tercapai,” katanya.

Beliau yang mengakui rasa sedikit gemuruh bersyukur kerana pembimbing banyak memberi kata-kata semangat dan membekalkan ayat bagi menghilangkan rasa seram sejuk menanti saat nama diumum untuk naik ke pentas memperdengarkan bacaan.
Sebagai persediaan akhir qari dan qariah yang mewakili negara, JAKIM menyediakan tiga tenaga pengajar iaitu bekas johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, Abdul Rahim Ahmad, Ummi Kalthum Md Zain dan Datuk Salehuddin Omar.

Suraya berkata, untuk persediaan peringkat akhir beliau meningkatkan kefahaman dalam bidang tajwid dan pada masa sama mempertajamkan lagi kemahiran taranum serta kawalan suara yang merangkumi sebahagian besar peratusan markah.

Ibu kepada empat anak itu turut mempertaruhkan pengalaman menjadi guru al-Quran sejak 1993 serta kata-kata semangat daripada suami tercinta, Muhammad Jamil Husin, yang yakin dengan kemampuannya untuk memberikan persembahan terbaik.

Pembabitan Suraya dalam ilmu membaca al-Quran bermula seawal umur sembilan tahun dengan mendapat bimbingan asas daripada Allahyarham bapa, Abu Hassan Ahmad.

Beliau mula mendapatkan bimbingan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 1994, Ummi Kalthom Mohd Zain, selepas mengikut suami berpindah ke Johor. Ummi Kalthom banyak mencurahkan ilmunya hingga Suraya berjaya menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Seramai 81 peserta daripada 50 negara menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ini. Johan tilawah menerima hadiah wang tunai RM32,200 berserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala naib johan menerima wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga menerima wang tunai RM13,600, cenderamata dan sijil penyertaan. Selain itu, setiap penyertaan menerima hadiah sagu hati M4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Sementara itu, qari negara, Amirahman Abas, menyedari tanggungjawab besar dipikul berikutan harapan tinggi rakyat negara ini untuk melihat wakil Malaysia dinobatkan sebagai johan pada malam penutup nanti.

Itu tidak sedikitpun memberikan tekanan, sebaliknya menjadi pendorong untuknya mencurahkan segala ilmu yang ada pada malam giliran beliau memperdengarkan bacaan iaitu pada Khamis ini.

“Pastinya saya ingin memberikan bacaan yang terbaik tetapi saya hanya mampu berusaha. Doa saya semoga Allah permudahkan dan saya dapat menyampaikan bacaan menepati kehendak juri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada JAKIM yang menyediakan tenaga pengajar sebagai usaha memantapkan lagi mutu bacaan peserta dan mengakui banyak menimba pengalaman daripada tunjuk ajar diberi.

Amirahman yang juga pemenang kedua program Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, berkata pengalaman mengikuti pengajian sepanjang menyertai AQ banyak membantu terutama untuk berdepan keadaan sukar.

Katanya, berbanding tilawah yang surah serta ayat dimaklumkan lebih awal, peserta AQ hanya menerima soalan pada malam mereka diuji depan juri. Justeru, katanya pengalaman itu berjaya meningkatkan keyakinan dirinya.

“Gemuruh pentas itu akan sentiasa ada tetapi saya rasa lebih tenang kerana sudah ada pengalaman ketika di AQ dan empat kali menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan. Sokongan keluarga, guru dan rakan juga menjadi azimat kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, untuk meniti saat akhir khususnya ketika menanti giliran Khamis ini, beliau berharap akan mendapat rehat yang mencukupi, tiada gangguan yang boleh menyebabkan hilang fokus serta diberikan Allah kesihatan yang baik.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...