Sabtu, 23 Julai 2011

Semarak budaya membaca al-Quran setiap organisasi

Oleh Sharifah Hayaati
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Hikmah kitab Allah penawar kepada manusia

SEPANJANG minggu ini kita berpeluang menyaksikan Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 yang berakhir hari ini. Walaupun majlis musabakah berakhir, sebagai umat Islam yang amat beruntung kerana dianugerahkan nikmat Kitabullah ini tidak akan berhenti dalam pembacaan, pengajian, pengamalan dan penghayatan terhadapnya.

Malah, majlis ini sepatutnya menjadi pencetus kepada kesedaran hati untuk bermuhasabah diri sejauh mana kita mencintai al-Quran. Paling asas, adakah kita sentiasa membasahi lidah dengan membacanya kerana itulah rahsia kekentalan jiwa dan kejayaan umat terdahulu.

Malah, amalan membaca al-Quran, mempelajari dan mengajarkannya adalah sebaik-baik amalan kerana sabda Rasulullah SAW daripada Saidina Uthman bin Affan: “Sebaik-baik kamu adalah individu yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Selain itu, majlis musabakah ini memberi ingatan ketibaan bulan penurunan al-Quran iaitu bulan Ramadan yang sudah semakin hampir. Jika majlis itu belum memberi apa-apa perasaan dan iltizam di sanubari kita, mudah-mudahan perasaan itu datang ketika ini.

Sesungguhnya cetusan kepada al-Quran membawa berita gembira dan menambah lagi ingatan serta mendekatkan hati kita kepada Allah. Gambaran kegembiraan menerima al-Quran yang rahmatnya lebih baik daripada apa yang kita ada dinyatakan dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dengan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 57-58)
Al-Maraqhi dalam tafsirnya mengatakan, ayat ini secara ijmalnya menunjukkan al-Quran itu penawar kepada manusia dalam empat perkara iaitu nasihat yang baik, penawar kepada segala penyakit hati seperti syirik dan nifaq, petunjuk jalan kebenaran dan rahmat bagi mereka yang beriman.

Bahkan, keagungan Allah melalui kalam-Nya ini juga apabila dibaca dapat melembutkan hati dan membuka hidayah seperti berlaku kepada ahli syair terkemuka, Thufail bin Amr dan Saidina Umar bin al-Khattab untuk memeluk Islam.

Pembudayaan membaca al-Quran juga tidak terhad kepada satu-satu tempat, keadaan atau masa saja. Ia boleh dibudayakan termasuk di tempat kerja. Sebagai pengurus atau majikan, semua usaha perlu dihidupkan dalam organisasi kerana mukjizat kehebatan kemuliaan al-Quran dan kesannya sangat mendalam kepada jati diri.

Ia adalah pasak keimanan, pemacu kepada sistem kerja berteraskan nilai luhur dan pembuka minda ke arah penerokaan ilmu serta kerangka pemikiran positif.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memimpin ke jalan yang paling baik dan lurus.” (Surah al-Isra’, ayat 9)

Impaknya apabila dihayati akan melahirkan pekerja dedikasi, jujur, sabar dan iltizam. Galakan dan inisiatif pihak pengurusan mampu menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti secara menyeluruh.

Jika dirujuk kepada amalan Rasulullah SAW, Baginda amat mengutamakan mereka yang mencintai al-Quran sama ada dalam memberikan sesuatu amanah tugas mahupun penghargaan.

Dinyatakan oleh Anas bin Malek dan Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW apabila melantik panglima tentera dan ketika memasukkan jenazah syuhada ke dalam liang lahad akan mendahulukan mereka yang menghafaz al-Quran.

Antara sahabat nabi yang paling utama dalam kecintaan ilmu dan hafazan al-Quran yang juga disebut oleh Allah namanya adalah Ubai Bin Ka’ab yang nabi gelar sebagai Saiyyidul Qurra’ (ketua qari).

Walaupun dalam konteks pekerjaan hari ini, kecekapan seseorang dilihat dari pelbagai aspek termasuk kelayakan, pengalaman, peribadi dan prestasinya, namun usaha penerapan nilai luhur berteraskan al-Quran terus dipertingkatkan dan disemarakkan.

Nilai daripada al-Quran itulah yang sebati dalam perilaku dan menjadi akhlak Baginda Rasulullah SAW.

Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya al-Quran di tempat kerja dengan pelbagai usaha. Mulakan dari diri kita sendiri seperti membaca ummul kitab al-Fatihah ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan beberapa potong ayat al-Quran sebelum memulakan tugas.

Walaupun sedikit dan dibaca dengan betul ia adalah sebaik-baik zikir. Di samping memanjatkan doa semoga segala hasil keringat kita diberkati serta dijauhi daripada sebarang kemudaratan.


Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...