Jumaat, 1 Mac 2013

Jaguh al-Quran

DEMI cintanya yang mendalam terhadap al-Quran telah membuka hati seorang anak muda untuk menguasai dan menghayati ayat kitab suci serta isi kandungnya sehingga beliau berazam menunaikan perkara itu sehingga akhir hayatnya.

Perjuangannya untuk memartabatkan al-Quran bukan hanya dipraktikkan dengan menyertai beberapa siri pertandingan musabaqah tetapi insan seni tersebut yang merupakan Juara Akademi Al-Quran (AQ) musim kedua melaksanakan tanggungjawab itu dengan menjalankan pelbagai perkara termasuklah mengajar ilmu tajwid kepada masyarakat.

Bagi Anuar Hasin, 29, ketika ditemui baru-baru ini berkata, kelebihan suara dianugerahkan oleh Allah terhadap beliau sewajarnya digunakan untuk mempelajari dan mendalami ilmu taranum.

"Ilmu taranum bukan semua orang dapat menguasai memandangkan ia merupakan keistimewaan dan kemahiran semula jadi yang dianugerah Allah. Oleh demikian, nikmat kurniaan itu digunakan sebaiknya dengan menguasai ilmu berkenaan.

"Bahkan lagi banyak yang saya dalami, lagi banyak benda saya ketahui. Bukan sekadar itu, dengan membaca dan mendalami al-Quran hati menjadi tenang dan setiap perbuatan serta tindakan mendapat petunjuk," kata beliau.

Terdahulu, ketika menceritakan sejarah pembabitan beliau dalam dunia seni taranum sejak berusia 11 tahun, jelas Anuar kemahiran itu memerlukan teknik dan ilmu yang perlu dibimbing oleh guru-guru pakar. Atas sandaran itu, beliau sanggup menjelajah seluruh negara demi untuk berguru dengan tokoh-tokoh al-Quran tanah air.

Bermula di Pulau Pinang kemudian Perak sehinggalah Kelantan, pelbagai tokoh taranum seperti Datuk Faizul Ghazali, Abdul Rahim Ahmad, Faridah Mat Saman dan lain-lain lagi termasuk dari dalam dan luar negara merupakan antara guru-guru beliau.

Tambah beliau lagi, dengan ilmu daripada tokoh-tokoh berkenaan telah menambah keinginannya untuk menyertai pelbagai pertandingan bermula di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Selain itu, saya pernah menyertai Akademi Al-Quran musim pertama, tetapi tidak berjaya merangkul tempat pertama. Alhamdulillah saya berjaya mendapat juara pada musim kedua pula.

"Bagaimanapun pertandingan yang disertai itu bukan untuk mempertandingkan atau menunjuk-nunjuk kebolehan taranum, tetapi untuk mengajar masyarakat untuk mencintai al-Quran dengan mendengar ayat-ayat suci berkenaan," ujar beliau.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Siasah Syariah (Sains Politik Islam) itu turut memberitahu, walaupun berlainan jurusan tetapi soal itu bukan merupakan satu batu penghalang untuk beliau mendalami ilmu taranum, bahkan Anuar meneruskan penguasaan kemahiran dengan melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

"Sebenarnya ia tidak pernah menganggu pembelajaran saya, bahkan menerusi bacaan al-Quran telah menyebabkan perjalanan hidup tersusun dengan keberkatan ayat-ayat suci al-Quran," kata beliau yang merupakan salah satunya perintis penulisan tesis dalam kajian ilmu taranum.

Kualiti bacaan al-Quran masyarakat

Anuar berpendapat, secara umumnya kesedaran terhadap budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam negara ini semakin baik apabila pihak kerajaan mewujudkan pelbagai dasar dan program bertujuan untuk meningkatkan mutu bacaan kitab suci itu.

Bukan setakat itu, jelas Anuar kemunculan alat bantu belajar al-Quran seperti pen digital al-Quran dan termasuk juga al-Quran Braille untuk orang kurang upaya mata penglihatan telah memperlihatkan bahawa semakin ramai sedar untuk mendalami al-Quran.

Bagaimanapun Anuar memberitahu beliau difahamkan bahawa jumlah buta al-Quran menunjukkan jumlah yang membimbangkan. Hal itu disebabkan oleh faktor budaya hendonisme sehingga menyebabkan golongan belia lalai untuk mempelajari ilmu al-Quran.
Sehubungan itu, Anuar berkata semua pihak termasuk ibu bapa perlu berganding bahu dengan menerapkan pembudayaan pembacaan al-Quran dalam kalangan generasi muda.
"Saya merasakan semua ustaz perlu berusaha untuk memahamkan masyarakat tentang kewajipan menguasai al-Quran. Contohnya, mengadakan program khas pengajian quran di peringkat jabatan kerajaan, syarikat swasta, pusat pendidikan dan lain-lain. Tidak semestinya dilakukan di masjid atau surau sahaja.

"Selain itu, media perlu memainkan peranan dengan mengadakan program didikan al-Quran seperti interaktif membaca al-Quran, Akademi al-Quran termasuk menerbitkan filem dan drama berkisar daripada kisah-kisah terdapat kitab suci itu.

"Saya baru pulang dari Pakistan. Di negara itu mereka menganjurkan ihtifal atau konsert al-Quran dengan memanggil para qari tempatan dan antarabangsa untuk mengalunkan ayat-ayat suci. Saya mencadangkan sudah tiba masanya kita menganjurkan program seumpama itu di negara ini," kata Anuar.

Beliau sempat menegur tanggapan beberapa pihak yang mengatakan bahawa al-Quran dikhususkan untuk golongan agama sahaja. Ujar beliau, al-Quran diturun kepada seluruh manusia dan tidak dikhususkan kepada golongan ulama.

"Apa salahnya kita mendalami al-Quran, tidak rugi. Bahkan kita akan mendapat pahala daripadanya malah mendapat syafaat pada hari kiamat kelak.

"Jika lidah masih lembut, eloklah kita memperbaiki mutu dan mendalami ilmu al-Quran. Al-Quran merupakan petunjuk kita sehingga bila-bila masa," tambah bapa kepada dua anak itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...