Ahad, 3 Mac 2013

Al-Quran perlu dibaca, dijiwai

Saya menghadapi kekeliruan kerana ada sesetengah orang mengatakan tidak boleh membaca al-Quran jika seseorang itu hanya mahir mengaji tanpa memahami maksudnya, malah sia-sia dan boleh murtad.

Disebabkan itu, saya menjadi takut untuk mengaji kerana belum dapat menghayati isi kandungannya sebab tidak faham. Apa pandangan Dr?

Muhammad Khairul,
Kuala Lumpur


Pandangan sedemikian adalah salah dan tidak perlu diikut kerana bukan berdasarkan nas sahih dan akal yang waras.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ meletakkan bab pembacaan al-Quran (tilawah atau qiraat al-Quran) sebagai sebahagian amalan sunat (nawafil) berdasarkan dalil al-Quran dan hadis.

Ada pertanyaan seorang sahabat mengenai bilangan yang dibenarkan menghabiskan keseluruhan bacaan al-Quran.

Saranan Rasulullah SAW yang pertama kepada sahabat terbabit ialah dia boleh menghabiskan (khatam) bacaan al-Quran pada setiap bulan.

Bagaimanapun, sahabat terbabit terus bertanya kerana berasa mampu menghabiskan dalam masa yang lebih singkat.

Rasulullah SAW menambah bahawa al-Quran dibolehkan khatam dalam masa 10 hari. Apabila terus ditanya baginda menyatakan tujuh hari dan tiga hari.

Tiga hari ialah tempoh yang paling cepat untuk khatam al-Quran. Bayangkan kedudukan kita sekarang ini berbanding dengan sahabat Nabi.

Selain dibaca, al-Quran perlu difahami dan dilaksanakan ajarannya. Kita boleh merujuk terjemahan al-Quran dalam memahami maksud ayat al-Quran.

Malah kita digalakkan juga menghadiri kelas tafsir supaya dapat membantu memahami al-Quran.

Begitu juga membaca buku mengenai ilmu al-Quran, yang disebut sebagai ulum al-Quran.

Sumber: MyMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...