Jumaat, 22 Mac 2013

Jadikan al-Quran panduan

KUALA LUMPUR 4 Mac - Umat Islam kini berpecah kerana mengikut fahaman dan pandangan masing-masing selain semakin melupakan ajaran yang berpandukan al-Quran.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keadaan yang berlaku seperti pertelagahan dan pergaduhan terutamanya di negara-negara Arab jelas menunjukkan umat Islam masih tidak mengikut ajaran sebenar iaitu bersatu melalui persaudaraan sesama agama.

"Kita sebagai Muslim, kita semakin lupa bahawa sumber Islam adalah al-Quran. Kita terima al-Quran sebagai panduan tetapi kita tidak amalkan apa yang kita baca. Kita hanya tahu membaca al-Quran sahaja.

"Jika kita menjadikan al-Quran sebagai panduan sebenar dalam apa juga hal terutama soal kepimpinan negara, maka saya yakin kita akan menjadi umat yang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Persidangan Global Muslim Mengenai Penyatuan dan Ekonomi anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, keadaan umat Islam yang semakin berpecah kini tidak lagi menjadikan jumlah penganut agama itu seramai 1.7 bilion orang seperti yang diuar-uarkan.

"Bagaimana kita boleh kata jumlah umat Islam di seluruh dunia sekarang 1.7 bilion sedangkan ada yang mengkafirkan umat Islam lain dan orang Islam sendiri tidak mengaku mereka bersaudara. 

"Hanya apabila kita semua bersatu dan ketepikan semua perbezaan antara kita, maka boleh dikatakan jumlah kita sebagai umat Islam 1.7 bilion orang," katanya.

Tambahnya, umat Islam juga merupakan antara manusia yang memiliki kekayaan melimpah ruah di dunia ini, namun dilihat tidak digunakan kepada saluran yang betul demi pembangunan sesama ummah terutama dalam aspek ekonomi.

"Umat Islam ada yang diiktiraf sebagai manusia terkaya di dunia memiliki harta dan wang sehingga trilion ringgit tetapi apa yang dilakukan dengan kekayaan itu untuk umat Islam yang lain? Tiada. 

"Jika kita menggunakan kekayaan ini sebaiknya, maka ia akan menjadi baik, menyumbang kepada pembangunan umat Islam sendiri," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...