Khamis, 3 November 2011

Masjid Negara rai pelajar tahfiz

Sumber: Utusan. Para pelajar bergambar dengan Syaikh Ismail Muhammad (tujuh dari kiri) selepas Majlis Ihtifal di Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dengannya bersama malaikat yang mulia dan orang yang taat. Sesiapa yang membaca al-Quran sedangkan dia tersekat-sekat padanya dan dia begitu susah atasnya maka baginya dua pahala (pahala membaca dan pahala kesusahan). (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan betapa besarnya ganjaran Allah kepada mereka yang berusaha mempelajari al-Quran. Sehinggakan mereka yang berhadapan kesukaran atau merangkak-rangkak membaca al-Quran diberikan dua ganjaran pahala.

Bagi melahirkan generasi yang celik al-Quran, Masjid Negara mengambil inisiatif menganjurkan kelas tahfiz kanak-kanak/remaja sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini dianjurkan Majlis Ihtifal 2010 - Penyampaian Sijil Tamat Pengajian Kelas Tahfiz Kanak-Kanak/Remaja bagi Sesi 2010 dan Kelas Pengajian Wanita bagi Sesi 2009/2010 di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.

Majlis ini diadakan untuk menyampaikan sijil tamat pengajian kepada pelajar-pelajar bagi Kelas Kelas Tahfiz Kanak-Kanak/Remaja dan Kelas Pengajian Wanita di mana peperiksaan akhir bagi Sesi 2009/2010 diadakan pada 12 dan 19 Disember 2010.

Ia dirasmikan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Turut hadir, Penyelaras Program yang juga Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim.

Antara pengisian Majlis adalah Ceramah Motivasi al-Quran yang disampaikan oleh Shahrul Qarnain Mohd. Nazir dari Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Majlis diserikan lagi dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Muhammad Danish Iskandar iaitu salah seorang pelajar Kelas Tahfiz al-Quran Masjid Negara bagi Sesi 2011.

Tiga pelajar tahfiz yang tamat pengajian juga memperdengarkan bacaan al-Quran.

Salah seorang daripadanya adalah Tokoh Pelajar Terbaik bagi Sesi 2010 iaitu Muhammad Na'im Kambali, 16.

Beliau menghafaz enam juzuk dan mengikuti kelas tahfiz sejak berusia 10 tahun.

Seorang lagi pelajar terbaik ialah Nur Hasanah Mohd. Jamil, 19 yang telah empat tahun mengikuti kelas tahfiz di Masjid Negara.

Objektif utama majlis adalah memberi pengiktirafan kepada para pelajar di atas kejayaan mereka.

Ia juga bagi menggalakkan para pelajar meneruskan pengajian mereka sehingga tamat seterusnya memberi dorongan kepada pelajar berkhidmat kepada masyarakat bersesuaian dengan kejayaan mereka.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...