Rabu, 23 November 2011

Khatam al-Quran pada usia muda

MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Begitulah perumpamaan yang perlu diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak bagi memulakan langkah kehidupan mereka di dunia ini.

Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan cahaya mata yang soleh dan solehah yang dapat menjaga mereka apabila sudah tua dan mampu mendoakan apabila sudah tiada.

Hakikatnya, ia terletak di tangan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan dan menentukan masa depan anak-anak sama ada baik atau buruk.

Jika baik acuannya maka baiklah peribadi anak tersebut. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan di atas fitrah (suci), maka ibu bapanya yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim)

Oleh itu, salah satu pendekatan berkesan dalam mendidik anak-anak adalah melalui pendedahan ilmu agama dan al-Quran sejak mereka kecil.

Ia merupakan langkah terbaik dalam memastikan generasi muda tersebut dapat menjadikan al-Quran dan ilmu agama sebagai panduan hidup.

Sekurang-kurangnya ilmu agama mampu menjadi asas pengetahuan untuk anak-anak membezakan perkara yang baik atau buruk. Seterusnya, melindungi mereka daripada terjebak dengan persekitaran gejala sosial yang semakin berleluasa masa ini.

Seorang tokoh yang merupakan ulama terkemuka dunia Islam, Abu Abdullah Muhammad ibn Idris atau lebih dikenali sebagai Imam As-Syafie harus dijadikan contoh terbaik oleh setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Seawal usia tujuh tahun beliau telah menghafal al-Quran dan pada usia 10 tahun Imam As-Syafie menghafal kitab hadis Al-Muwatha karangan Imam Malik. Semasa berusia 15 tahun beliau telah mampu memberi fatwa.

Pendekatan inilah yang ditekankan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mendidik dan mendedahkan murid sekolah tadika Islam di bawah kendaliannya di seluruh Wilayah Persekutuan.

MAIWP baru-baru ini menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur.

Seramai 900 murid daripada 71 Tadika Islam MAIWP yang terdiri daripada lima zon iaitu Zon Bandar Tun Razak, Zon Batu, Zon Bangsar, Zon Setapak dan Zon Titiwangsa menyertai majlis khatam al-Quran tersebut.

Perkarangan dewan solat masjid bergema dengan alunan bacaan Juz Amma oleh murid berumur antara 5 dan 6 tahun itu sebagai simbolik khatam al-Quran.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Brigedier Jeneral Mustafa Abdul Manaf.

Jamil Khir berkata, penganjuran majlis seperti ini adalah inisiatif yang cemerlang dan usaha pintar penganjur dalam mendedahkan murid dengan ayat-ayat al-Quran pada usia muda sebagai pedoman pada masa depan.

"Lumrah bagi setiap kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun menghabiskan masa dengan bermain dan berseronok bersama rakan-rakan. Malah pada usia itu, terdapat segelintir kanak-kanak yang belum dapat membezakan baik dan buruk (mumaiyiz), apatah lagi mengenal erti kehidupan.

"Namun, majlis khatam al-Quran anjuran MAIWP ini adalah satu usaha transformasi dakwah pihak penganjur yang cemerlang dalam mendorong murid untuk berjaya khatam al-Quran pada usia seawal 5 tahun," katanya.

Waktu pembelajaran di Tadika Islam MAIWP bermula daripada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan murid-murid memulakan kelas dengan membaca al-Quran setiap hari.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir berkata, kerajaan meluluskan RM442,000 kepada MAIWP untuk menyediakan i-Iqra' kepada setiap kelas tadika Islam MAIWP bermula Disember ini.

I-Iqra' adalah proses pembelajaran al-Quran menggunakan teknologi yang terdiri daripada tiga komponen iaitu pen digital, mesin interaktif, dan buku i-Iqra' yang diaktifkan menggunakan cip elektronik.

Sementara itu, Dr. Muhammad Yamin berkata, program itu adalah inisiatif bagi memastikan generasi akan datang memartabatkan al-Quran sebagai panduan hidup.

"Melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak segelintir anak muda dan remaja masa kini, MAIWP yakin pendekatan yang dilaksanakan ini mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai nilai dan sahsiah peribadi berlandaskan ajaran Islam," katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Muhammad Yamin, usaha membudayakan pengajian al-Quran tidak boleh terhenti sekadar di sekolah atau program sedemikian.

Katanya, ibu bapa memainkan penting dalam mendidik dan sentiasa mengajar anak-anak mengenai ilmu al-Quran di rumah.

"Salah satu cara terbaik adalah mendedahkan ajaran ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak supaya dapat menjadi panduan bagi melindungi mereka daripada dipengaruhi oleh persekitaran yang boleh menjejaskan fitrah mereka," katanya.

Sejak tahun 2009 hingga 2011, sebanyak 53 Tadika Islam MAIWP telah ditambah baik dengan kos sebanyak RM2 juta.

Usaha itu akan diteruskan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM790,000 sebagai penambahbaikan prasarana tadika Islam MAIWP.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...