Selasa, 4 Oktober 2011

Gema alunan Yasin di Masjid Negara

PERKARANGAN Dewan Solat Utama Masjid Negara bergema dengan suara golongan belia pada 22 September lalu dengan kira-kira 2,000 murid serentak membaca surah Yasin.

Ia sempena menghadapi tiga peperiksaan utama iaiitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 14 November ini dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan bermula pada 21 November.

Semuanya khusyuk dan memberi tumpuan kepada bacaan yasin, solat hajat dan doa munajat memohon pertolongan Allah SWT sempena kehadiran saat genting dalam hidup mereka iaitu menduduki peperiksaan umum.

Hal ini bertepatan dengan suruhan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Berdoalah nescaya aku perkenankan....(Mukmin: 60)

Majlis turut disertai kira-kira 1,000 ibu bapa dan guru untuk memberi perangsang dan membakar semangat para calon yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan.

Program itu anjuran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) dengan kerjasama Masjid Negara merupakan kali kesembilan diadakan.

Kali pertama ia diadakan ialah 2003. Majlis solat hajat dan bacaan Yasin dibimbing oleh Penolong Pengarah Penerbitan dan Multimedia merangkap Imam Masjid Negara, Amru Alhaz Adnan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Jamaluddin Abdullah berkata, majlis itu diadakan untuk memohon keampunan dan keredaan serta mengharap bantuan Allah agar murid-murid mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.

Katanya, ini adalah usaha terakhir yang diatur sebelum menghadapi peperiksaan atas keyakinan Allah itu berkuasa memudahkan seseorang mencapai kejayaan.

"Pada saat ini, murid perlu mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan sunat seperti membaca al-Quran, berdoa dan juga menunaikan solat hajat sendiri di rumah.

"Apa yang paling penting adalah menunaikan kewajipan sebagai umat Islam dan tidak meninggalkan solat lima waktu dan tidak melakukan maksiat," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah, Unit Pengajian Dewasa Masjid Negara, Mohamad Zaki Ibrahim memberitahu, ada tiga prinsip amalan utama yang perlu dipatuhi murid sebagai persiapan rapi menghadapi peperiksaan.

Prinsip itu katanya, merangkumi usaha, doa dan tawakal.

Beliau berkata, ramai murid dan juga masyarakat hanya mengamalkan prinsip pertama iaitu berusaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara tetapi mengabaikan amalan yang kedua dan ketiga.

Katanya, persediaan fizikal dan mental amat penting dalam menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang. Namun, ia masih belum menjamin masa depan yang cerah.

"Salah satu rahsia kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan adalah dengan berusaha. Contohnya melalui belajar bersungguh-sungguh, membuat latihan dan menghadiri kelas-kelas tambahan.

"Namun, segala persediaan itu tidak menjamin kejayaan seseorang jika tidak disertakan dengan prinsip amalan kedua dan ketiga iaitu berdoa dan bertawakal untuk memohon keberkatan dan keredaan daripada Allah," katanya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Apabila engkau berazam (dengan bersungguh-sungguh), maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. (ali-'Imran: 159).

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita tuntutan bertawakal dalam kehidupan dan perbuatan harian selepas berikhtiar dengan bersungguh-sungguh.

Ketenangan dan keberkatan

Tawakal bermaksud berserah hati dengan setiap ketentuan Allah dan meyakini tiada apa yang dapat memberi, menghalang dan mendatangkan kebaikan atau keburukan selain dari-Nya.

Konsep tawakal juga tidak boleh disalah anggap dengan hanya bersikap pasrah dan berserah tanpa melakukan usaha dan ikhtiar. Ia juga bersifat saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan antara keduanya dalam mencari keredaan Allah.

Mohamad Zaki menambah, usaha tanpa diiringi dengan doa dan tawakal boleh mendatangkan keburukan dan kemudaratan jika tidak diterima dengan hati yang terbuka.

Sebagai contoh, katanya, banyak kes dilaporkan, pelajar bawah umur terjebak dengan gejala sosial seperti merokok, menghisap dadah, dan bercampur gaul dengan remaja jalanan disebabkan tekanan.

"Ini kerana mereka tidak dapat menerima takdir terhadap kegagalan atau menerima keputusan yang tidak seperti diharapkan," katanya.

Mohamad Zaki berkata, melalui bacaan Yasin, solat hajat dan doa munajat yang diadakan dalam majlis itu serba sedikit dapat membantu pelajar dalam memperoleh ketenangan dan keberkatan dari Allah.

"Seboleh-bolehnya, solat hajat dan doa perlu diamalkan sekurang-kurangnya seminggu sekali. asa yang terbaik adalah pada satu pertiga malam.

"Jika tidak mampu, cukuplah dengan membaca bismillah semasa ingin melakukan setiap perbuatan," katanya.

Selain itu tambahnya, di samping berdoa meminta keberkatan Allah, restu ibu bapa dan guru juga penting bagi memperoleh keredaan Allah.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa". (riwayat at-Tirmizi).

Hadis ini menunjukkan bahawa hubungan seorang anak dengan ibu bapa ada hubungkait dengan Allah. Sehinggakan Allah tidak akan meredai seseorang hambanya tanpa keredaan dari kedua ibu bapanya.

Sehubungan itu, pelajar perlu mengambil kesempatan untuk meminta maaf dan memohon restu daripada ibu bapa sebelum menghadapi peperiksaan juga sangat penting dalam menentukan kejayaan murid.

"Doa ibu bapa kepada anaknya adalah doa yang paling makbul dan mudah diterima Allah. Sekiranya kita tidak diberikan kejayaan walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal, anggaplah itu adalah ujian daripada Allah dan kita perlu yakin bahawa mesti ada hikmah sebaliknya.

"Sesungguhnya perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...