Selasa, 4 Oktober 2011

Belajar al-Quran percuma

MADRASAH Nurul Islam (Manis) adalah pusat pengajian tahfiz dan fardu ain yang diwujudkan bagi membela serta memberi pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim, miskin dan terbiar.

Pengasasnya, Ustaz Mohd Adnan Abdullah berkata mereka perlu diberi perhatian bagi memberi peluang melanjutkan pengajian serta menyediakan keperluan lain termasuk makanan, minuman dan tempat tinggal.

“Kami tidak mahu anak kurang bernasib baik ini tertinggal di belakang kerana harapan kami mereka mendapat pendidikan secukupnya dan mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Beliau berkata, pusat pengajian itu menawarkan pengajian sepenuh masa kepada pelajar berusia 13 tahun ke atas untuk tempoh tiga hingga lima tahun.


“Manis ditubuhkan untuk dijadikan pusat kegiatan dan perkembangan kebudayaan Islam selain pengajian Iqra’, tahfiz, fardu ain dan pengajian kitab kuning.


“Setakat ini, kami mempunyai 16 pelajar yang mengikuti pengajian sepenuh masa 23 pelajar lagi separuh masa,” katanya.

Pihaknya membuka peluang kepada orang ramai mengikuti pengajian secara sambilan mengikut kesesuaian mereka secara percuma.

Katanya, sejak ditubuhkan pada Mac 2009, Manis berperanan sebagai pusat pengajian Islam secara tradisional.

“Pusat pengajian ala Madrasah ini bertempat di bangunan sementara di Pandan Indah, Kuala Lumpur dengan sewa RM3,000 sebulan.

“Kami dalam proses membeli 27 unit rumah teres di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam bernilai lebih RM1 juta untuk kelas pengajian, surau, perpustakaan, asrama dan kediaman,” katanya.

Menurutnya, bagi menampung kos perbelanjaan setiap bulan, Manis menjalankan beberapa perniagaan dan perkhidmatan.

“Kami menjalankan perniagaan seperti sewa kereta, pertanian dan penternakan, pengurusan haji dan umrah serta perniagaan runcit.

“Bagaimanapun kami masih lagi memerlukan bantuan orang ramai dan syarikat korporat bagi kos pusat pengajian ini yang berjumlah RM15,000 sebulan.

“Kami turut menerima sumbangan pakaian, alat tulis, makanan, buku dan al-Quran untuk saudara Islam di Kemboja, Selatan Thailand dan Indonesia” katanya.

Orang ramai atau syarikat korporat yang berminat menderma boleh menggunakan salah satu akaun bank berikut atau cek atas nama Madrasah Nurul Islam melalui:

1. Bank Simpanan Nasional (BSN) No. Akaun: 1410029830308323.

2. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) No. Akaun: 03-036-02-032344-0

3. Malayan Banking Berhad (MBB) No. Akaun: 164100272998

Maklumat lanjut, hubungi Ustaz Mohd Adnan di talian 019-3082784/016-9451965 dan Ustaz Hairuddin 019-2708240 atau layari laman web www.tahfizmanis.com

Sumber: myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...