Selasa, 16 Ogos 2011

Wakaf al-Quran sempena Ramadan

NABI Muhammad bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama lamanya iaitu al-Quran dan sunnah.”

Al-Quran ialah mukjizat Allah bagi membuktikan keesaan-Nya mentadbir langit dan bumi selain memberitahu perkara ghaib yang tidak diketahui manusia.

Membaca al-Quran mendapat pahala, begitu juga jika disedekahkan kepada golongan miskin untuk dibaca dan diamalkan isi kandungannya.

Sempena Ramadan al Mubarak, HCDS Islamic Consultancy Services, yang terbabit dalam aktiviti berkaitan Islam menganjurkan Kempen Wakaf al-Quran Ramadhan 1432H.

Kempen itu bertujuan mengumpulkan 10,000 naskhah al-Quran untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan kitab suci itu.

Ketua programnya, Shaharul Ridzuan Shamsuddin, berkata ia adalah tahun ketiga program ini dijalankan.

Beliau berkata, tahun lalu pihaknya mengumpul lebih 4,000 naskhah al-Quran untuk diagihkan sekumpulan sukarelawan yang diketuai beliau.

“Alhamdulillah, kami mengagih-agihkan kitab suci itu kepada surau, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan beberapa sekolah agama di kawasan pedalaman di Selangor, Perak dan Pahang,” katanya.

Menurutnya, setiap tempat agihan al-Quran itu akan dimaklumkan kepada penderma bagi memberi kepuasan kepada mereka.

Beliau mengakui, bukan mudah memegang tanggungjawab menganjurkan kempen wakaf al-Quran itu kerana ia amanah besar untuk menyebarkan agama Islam.

“Kami memegang amanah penderma yang melakukan wakaf, justeru setiap wakaf al-Quran diuruskan dengan sempurna.

“Matlamat kami untuk melihat setiap umat Islam di negara ini memiliki senaskhah al-Quran untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Pihaknya mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta, korporat, agensi kerajaan atau individu menderma bagi merealisasikan matlamat mengumpul wakaf 10,000 naskhah al-Quran sempena Ramadan ini.

Maklumat lanjut mengenai kempen wakaf al-Quran, hubungi talian 03-42955393 atau 010-3240051/010-8314727/010-8314729 atau layari blog, hcds2u.blogspot.com.

Sumber: myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...