Rabu, 3 Ogos 2011

Galakkan beribadat di malam hari

Firman Allah SWT yang bermaksud:

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya. Al-Muzzammil, Ayat 7

Huraian
Allah SWT memberikan kita masa 24 jam sehari untuk kita bekerja bagi menyara kehidupan dan beribadat kepadaNya. Sungguhpun setiap yang kita lakukan dalam tempoh tersebut dikira sebagai ibadat, terdapat beberapa ibadat khusus yang memerlukan tumpuan yang lebih. Oleh itu Allah SWT menggalakkan kita beribadat di malam hari (qiamullail). Antara ibadat yang digalakkan ialah seperti solat tahajjud, solat hajat, solat tasbih, solat taubat, zikir dan membaca al-Quran.

Ibadat-ibadat khusus tersebut amat sesuai dengan kejadian malam yang penuh ketenangan dan bebas dari hiruk pikuk kesibukan. Pada waktu tersebut, terutama sepertiga malam, kita dapat menunaikan ibadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk. Kita juga dapat bermuhasabah (menilai diri sendiri) dan merenung amal perbuatan kita yang lalu hingga boleh mendatangkan rasa insaf dalam diri kita.

Kesan ibadat malam pada jiwa amatlah besar sekali. Ia memberi kita semangat baru dan motivasi ke arah menjadi insan yang lebih baik lagi. Ia dapat mendidik jiwa dengan sifat-sifat mulia seperti tulus ikhlas, rendah diri dan sebagainya. Ia dapat menjinakkan jiwa daripada bersifat pemarah, degil dan keras hati.

Kesimpulan
Ibadat malam patut dijadikan amalan dalam kehidupan seorang muslim. Jika di siang hari kita sibuk dengan kehidupan dunia, pada malam hari eloklah kita khaskan untuk kehidupan akhirat yang menanti kita dihadapan. Mudah-mudahan ibadat kita diterima oleh Allah SWT.

Sumber: Siri Tafsir, Jakim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...