Rabu, 4 Mei 2011

Lajnah Tashih al-Quran di Malaysia

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Pada pertengahan tahun 1980, mushaf al-Quran yang dijual di pasaran tidak disemak oleh jawatakuasa yang khusus. Ekoran itu, banyak kesalahan dapat dikesan dalam mushaf sama ada kekotoran pada huruf atau kalimah sehingga menyebabkan tidak dapat membaca ayat-ayat berkenaan dengan betul.

Selain itu, kesalahan binding (penjilidan) juga berlaku menyebabkan susunan juzuk-juzuknya tidak mengikut urutan.

Kesalahan yang lebih berat jika melibatkan tanda baris yang terputus dan titik huruf yang tidak sempurna dan kesamaran sehingga menyebabkan bacaan menjadi salah.

Berikutan itu, satu cadangan dikemukakan oleh Pengetua Darul Quran ketika itu iaitu Datuk Solahuddin Omar agar diwujudkan satu jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak semua mushaf yang hendak dicetak di Malaysia. Ini termasuk mushaf yang dibawa masuk ke Malaysia.

Jawatankuasa tersebut akhirnya berjaya dibentuk dengan dinamakan Jawatankuasa Lajnah Tashih al-Quran diselia oleh Unit Kawalan al-Quran dan diletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Pada awal penubuhannya, sekumpulan pakar dalam bidang al-Quran dilantik sebagai ahli-ahli lajnah. Antaranya, Tan Sri Hasan Azhari, Tan Sri Syeikh Ismail Mohamad al-Hafiz, Datuk Salahuddin Omar, Datuk Syeikh Muhammad Nor Mansor dan beberapa tokoh lagi.

Objektif utama penubuhan Jawatankuasa Lajnah Tashih al-Quran ini adalah menyemak al-Quran dan memastikan al-Quran yang diedar kepada masyarakat adalah sahih dan tidak mempunyai kesalahan.

Pada ketika ini, ahli jawatankuasa Lajnah Tashih al-Quran dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang al-Quran dan setiap negeri menghantar dua orang wakil untuk menduduki Lajnah Tashih ini.

Al-Quran yang disemak pada masa ini bukan hanya berbentuk mushaf sahaja tetapi dalam apa juga bentuk termasuk digital.

Bermacam jenis Quran digital telah disemak sama ada dalam bentuk cakera padat (CD), telefon bimbit dan lain-lain.

Setiap kali mesyuarat diadakan banyak mushaf yang akan diedarkan kepada ahli lajnah untuk dibuat semakan. Metodologi atau kaedah penyemakan ialah setiap ahli akan diberikan jumlah juzuk tertentu.

Setiap kalimah akan diteliti kesahihannya secara menandakannya dengan menggunakan dakwat berwarna merah.

Jika terdapat kesalahan, penyemak akan mencatat dalam borang khusus. Di akhir sesi pertemuan, semua kesalahan akan dibentang dan dibincang jumlah kesalahan dan bentuk kesalahan.

Turut dibincangkan sama ada kesalahan itu boleh dibetulkan atau sebaliknya. Setelah perbincangan, ahli mesyuarat akan memberi keputusan sama ada mushaf tersebut boleh diterima, diterima dengan pembetulan atau ditolak.

Tanggungjawab menyemak al-Quran ini adalah kesinambungan yang dibuat generasi terdahulu hingga ke zaman Rasulullah SAW.

Di mana setiap kali penulis wahyu menulis ayat-ayat al-Quran yang baru diturunkan, Rasulullah SAW akan mengarahkan mereka membaca apa yang mereka tulis.

Sekiranya, terdapat kesalahan Rasulullah SAW akan membetulkannya.

Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...