Khamis, 7 April 2011

Pihak salah guna ayat al-Quran dikena tindakan

PIHAK yang menyalahgunakan ayat al-Quran untuk kepentingan tertentu dan mempertikai atau mempersoalkan segala bentuk ibadat umat Islam, boleh dikenakan tindakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya dalam isu terbabit berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia serta peruntukan undang-undang sedia ada

Katanya, kerajaan sentiasa peka serta mengambil langkah serius melindungi dan mempertahankan kedudukan dan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, jawatankuasa fatwa sudah membincangkan isu larangan mentafsir isi kandungan al-Quran sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak, termasuk bukan Islam, dalam muzakarah khas pada 3 Disember lalu.

“Jawatankuasa itu bersetuju perbuatan bukan Islam membaca dan menghuraikan teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud sebenar, di samping tiada unsur keikhlasan dan kejujuran, suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran serta boleh mendatangkan keraguan dan juga fitnah dalam masyarakat.

“Ia perlu dihentikan dengan segera,” katanya menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Ibrahim bertanya sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang supaya tiada bukan Islam menjadikan ayat al-Quran sebagai gimik politik dan menghalang pihak mempertikai atau mempersoalkan segala bentuk ibadat umat Islam seperti laungan azan serta sambutan Maulidur Rasul.

Dari perspektif undang-undang yang berkuat kuasa pula, Jamil Khir berkata, mana-mana orang yang menimbul atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat, melukakan perasaan agama seseorang, benci-membenci, sakit hati dan sebagainya, boleh diambil tindakan berdasarkan Seksyen 298 dan 298A(1) Kanun Keseksaan (Disemak) 1997 di mahkamah sivil.

Sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...