Rabu, 27 April 2011

Iqra: Panduan lengkap memahami perkataan al-Quran



Judul: Cara Mudah Memahami Perkataan-perkataan Al-Quran
Penulis: Syed Nasir Omar Assagoff
Penerbit: Hijjaz Records Publishin
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM28.90 (Semenanjung Malaysia) RM30.90 (Sabah/Sarawak

HANYA dengan membaca al-Quran kita akan mendapat pahala, tetapi jika dibaca, difahami, dihayati seterusnya dilaksanakan apa yang diseru oleh ayat dalam al-Quran itu, pastinya ganjaran diterima berlipat kali ganda.

Sayangnya, tidak ramai memahami ayat al-Quran yang dibaca apa lagi menghayatinya kerana tidak faham bahasa Arab. Oleh itu, mendapat pahala membaca pun sudah memadai dan diharap minat membaca tidak terhenti begitu saja.

Buku Cara Mudah Memahami Perkataan-perkataan Al-Quran memperkenalkan cara mengenali serta memahami perkataan kata nama, kata sendi, kata huruf dan kata kerja dalam al-Quran berserta maksud dengan mudah.

Kebolehan memahami penjelasan perkataan yang banyak digunakan dalam al-Quran dapat membantu pembaca mengenal pasti di mana hendak memulakan bacaan selepas berhenti. Pembelajaran dimulakan dengan mengetahui kedudukan kalimah al-Quran.
Al-Quran mempunyai 114 surah dan keseluruhan kalimah al-Quran terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kata nama, kata kerja dan kata sendi. Buku ini menerangkan mengenai setiap kata nama secara ringkas serta mudah untuk difahami pembaca dilengkapi dengan contoh.

Penulis turut memudahkan pembaca mengenali serta memahami perkataan termasuk dalam kumpulan kata nama, kata sendi, kata huruf atau kata kerja selain menjelaskan fungsi kedudukan baris huruf.

Tidak dinafikan sukar pada awalnya untuk memahami ilmu ini sekiranya tidak mahir bahasa Arab. Namun, pendekatan digunakan menarik untuk dicuba.

Bagaimanapun, penulis menasihatkan pembaca yang mungkin berdepan dengan masalah atau kekeliruan untuk mendapatkan pandangan guru bertauliah yang boleh memberi penjelasan lebih mudah.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...