Rabu, 18 September 2013

OKU budayakan al Quran

BAGI mereka yang dilahirkan sempurna, mungkin tiada masalah untuk mempelajari al-Quran. Tambahan pula dengan pelbagai kaedah pembelajaran al-Quran yang diperkenalkanakan membantu memudahkan lagi pembelajaran al-Quran.

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang dilahirkan sebagai golongan kurang upaya (OKU)? Yang cacat pendengaran, penglihatandan mempunyai masalah pertuturan? Pernahkah kita terfikir bagaimana caranya mereka mempelajari al-Quran? Jika mereka belajar bagaimana pula caranya guru menilai bacaan mereka jika tiada suara?

Itu kesukaran dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh golongan OKU dalam mempelajari al-Quran. Malah bagi OKU pekak dan bisu tentunya lebih sukar bagi mereka untuk mempelajari ilmu al-Quran. 

Bagaimanapun, tiada yang mustahil di dunia ini jika disertakan dengan usaha dan semangat.
Itulah rahsia kejayaan johan qari, pertandingan Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu peringkat Kebangsaan, Nur Syahdan Muhammad, 14, untuk menguasai al-Quran.
Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Besut itu tidak menafikan bukan mudah mempelajari al-Quran dalam keadaan tidak dapat mendengar dan bercakap. Ditambah dengan masa pembelajaran yang terhad.

Sehinggakan, anak kelapan daripada lapan adik-beradik itu mengakui tidak tahu membaca al-Quran sebaliknya hanya mengenali huruf hijaiyah pada usia 12 tahun.

"Saya telah belajar al-Quran sejak dari awal persekolahan lagi. Namun sehingga berumur 12 tahun saya hanya mengenal huruf tetapi tidak tahu membaca ayat al-Quran.

"Ini kerana saya keliru untuk membaca apabila huruf hijaiyah (huruf jawi) digabungkan dan harus dibaca dengan baris dan tanda baca. Apatah lagi saya hanya belajar al-Quran di sekolah kerana tiada rujukan di rumah," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Musabaqah Tilawah al-Quran Murid Pekak dan Bisu, di Pusat Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Naib johan qari dimenangi Ahmad Hanfi Abdullah daripada SKPK Taiping dan ketiga, Muhammad Firdaus Suardi (SKPK Selangor).

Sementara itu, johan qariah milik pelajar Tingkatan Satu dari SKPK Selangor, Amirah Syuhada Aruddin; naib johan Aminah Abdul Rajak (SKPK Sibu) dan ketiga Nur Syaza Syazwana Mohd Shahrin (SKPK Taiping).

Juara qari dan qariah membawa pulang wang tunai RM300, naib juara sebanyak RM200 manakala ketiga RM100. Semua peserta masing-masing membawa pulang trofi, senaskah, hadiah sampingan buku dan majalah sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta hadiah iringan. 

Menurut Syahdan, dengan bantuan gurunya, Zamzarina Mohamed, kini dia berjaya menguasai al-Quran dengan menggunakan kaedah pembelajaran al-Quran Fakih.

Seperti setiap huruf abjad yang mempunyai kod tangan tersendiri, begitu juga huruf hijaiyah. Malah lebih sukar apabila disertakan dengan baris dan tanda bacaan.

Sementara itu, Amirah Syuhada Aruddin, 13, tidak menyangka dinobat juara qariah kerana merasakan itu bukan suatu yang mudah.

"Saya berasa sangat teruja dan bangga kerana menjuarai pertandingan ini. Saya sendiri tidak yakin mampu melakukannya dengan baik.

"Pertandingan ini juga agak susah bagi saya kerana memerlukan kepekaan. Tetapi saya cuba melakukan sebaik mungkin dengan melakukan latihan dan pembelajaran pada setiap petang," katanya yang bercita-cita ingin menjadi jurugambar.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik dari Sibu, Serawak itu berkata, dia mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari al-Quran dibantu dengan kaedah Fakih.

Tilawah al-Quran untuk murid pekak dan bisu itu berlangsung dalam keadaan yang cukup unik kerana tiada suara bacaan dilontarkan.

Jika musabaqah al-Quran sinonim dengan penilaian juri terhadap kelunakan suara qari dan qariah di atas astaka, untuk yang membabitkan golongan OKU ini hanya sunyi sepanjang pertandingan berlangsung.

Bahasa isyarat
Yang kelihatan atas pentas ialah seorang peserta dengan cergas menghayunkan tangan menunjukkan bahasa isyarat dan memandang al-Quran di hadapan orang ramai.

Diikuti pula dengan peserta seterusnya yang seorang demi seorang silih berganti naik ke pentas dengan melakukan pergerakan sama.

Musabaqah anjuran Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR), UM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Kanak-kanak Istimewa (Yayasan Faqeh) yang buat julung kali diadakan itu mengumpulkan 300 peserta dan pegawai pengiring daripada 19 sekolah pendidikan khas dari seluruh negara.

Itu merupakan pertandingan musabaqah al-Quran bagi golongan pekak dan bisu yang pertama seumpama itu dianjurkan di dunia.

Pengarah CQR UM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, membuka peluang kepada golongan OKU untuk sama mengagungkan al-Quran seperti masyarakat normal, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pertandingan tersebut dengan memfokuskan kepada orang pekak dan bisu.

Beliau yang turut meluahkan rasa terkilan dengan tahap pendedahan pengajian al-Quran kepada golongan OKU yang dilihat seperti tersisih berkata, sudah tiba masanya golongan istimewa itu disuntik dengan roh al-Quran.

"Menyedari hakikat bahawa kehidupan beragama itu merupakan fitrah bagi setiap insan, pembangunan spiritual terutama kepada golongan OKU yang selama ini dipandang sepi harus dinilai kembali oleh pelbagai pihak.

"Ini bagi merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam jiwa golongan kurang bernasib baik ini di samping mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap mereka terutamanya dalam tuntutan mendapatkan didikan agama," katanya.


Program selama dua hari itu turut mempertandingkan acara hafazan, khat dan nasyid kod tangan antara peserta pekak dan bisu.


Zulkifli berkata, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, pendidikan al-Quran dalam kalangan OKU terbukti mampu membantu membentuk peribadi golongan tersebut ke arah yang lebih positif.

"Berdasarkan pemerhatian di Yayasan Fakih, anak-anak yang diperdengarkan dan diajar dengan al-Quran menjadi lebih baik akhlaknya berbanding sebelum ini setelah dimasukkan roh al-Quran ke dalam jiwa mereka.

"Seperti yang disebut oleh Allah SWT, al-Quran merupakan syifa' atau penyembuh segala jenis penyakit yang juga memberi ketenangan dalam jiwa manusia," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, tahap kepercayaan masyarakat terhadap keperluan mempelajari al-Quran dalam kalangan OKU masih rendah termasuk ibu bapa dan perlu dipertingkatkan agar usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan OKU berhasil.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...