Rabu, 18 September 2013

Al-Quran kod tangan

TIDAK mengetahui bahasa tangan adalah antara permasalahan utama yang sering diperkatakan oleh ibu bapa dalam memahami dan berinteraksi dengan anak masing-masing yang mengalami cacat pendengaran dan juga bisu.

Lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang terpaksa mempelajari bahasa kod tangan yang merupakan medium komunikasi utama mereka itu secara tiba-tiba sejurus dimaklumkan bahawa anak mereka mengalami kecacatan pendengaran atau bisu. 

Perkara itu dipercayai antara punca berlakunya keciciran dalam kalangan golongan istimewa ini untuk mendapatkan pendedahan pendidikan, apatah lagi pengajian al-Quran.
Bagi sesetengah yang menyedari kepentingan itu, mungkin akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pendidikan khas yang mengajar kelas al-Quran.

Namun, sejauh mana keberkesanan usaha itu yang dilihat hanya terhad di sekolah tanpa diberi penekanan oleh ibu bapa sendiri di rumah.

Justeru, menerusi bantuan perisian tipografi al-Quran, ibu bapa kini boleh mempelajari dan mengajar anak cacat pendengaran dan bisu untuk mempelajari al-Quran di rumah.

Perisian pintar yang dibangunkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) itu menyediakan tutorial mudah kepada ibu bapa untuk mengajar anak istimewa masing-masing menggunakan kaedah kod tangan seperti di sekolah.

Malah ketua projek perisian, Dr. Nazean Jomhari berkata, perisian yang boleh diakses menerusi Microsoft Words itu turut boleh digunakan oleh guru pendidikan khas subjek al-Quran untuk membuat latihan dan kertas soalan kepada pelajar.

"Pengajian al-Quran bagi golongan OKU lebih-lebih lagi bagi golongan pekak dan bisu dilihat masih kurang dititikberatkan di kebanyakan sekolah di negara ini. 

"Ini dipercayai kerana kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam pembelajaran al-Quran.
"Oleh itu, bagi mengelakkan daripada berlaku keciciran yang berterusan, perisian tipografi al-Quran diharap dapat membantu para guru untuk mengajar anak murid dengan menggunakan kaedah mudah ini di samping menyediakan kertas soalan al-Quran dengan mudah berbanding perlu dilakar sendiri lukisan kod tangan oleh guru satu persatu sebelum ini.
"Selain itu juga, ibu bapa juga boleh menggunakan perisian ini sebagai rujukan tambahan kepada anak mereka untuk mengulang kaji al-Quran di rumah, tidak hanya terhad di sekolah," katanya.

Tipografi al-Quran berfungsi menukarkan huruf hijaiyah yang ditekan di papan kekunci komputer terus kepada simbol kod tangan seperti yang telah diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.

Mengikut ujian yang dilakukan kepada beberapa pelajar pekak dan bisu ujarnya, perisian tersebut terbukti berkesan dengan hanya mengambil masa dalam satu minggu.
Mengulas lanjut, Nazean berkata, modul perisian tersebut diambil berdasarkan idea pengasas perintis kaedah Fakih, Nor Aziah Mohd. Daud yang telah menghasilkan kaedah mudah pembelajaran al-Quran dan alat bantuan pembelajaran kepada murid pekak dan bisu yang dikenali megnatic board.

Idea tersebut juga telah meletakkan Aziah sebagai Johan Karnival Inovasi Zon Timur anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun 2010.

Nazean berkata, perisian tersebut boleh didapati dengan menghubungi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) secara percuma.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...