Jumaat, 3 Mei 2013

Mukjizat al-Quran penawar kanser

KITAB suci al-Quran mengandungi pelbagai rahsia tersirat selain memberikan pedoman daripada segi syariat untuk petunjuk kepada seluruh umat manusia. Hal ini termasuk daripada segi perundangan, politik, kewangan dan amalan kehidupan seharian.

Bahkan mukjizat al-Quran bukan sahaja dilihat daripada sudut syariat tetapi boleh menyembuhkan penyakit yang dihadapi oleh makhluk Allah yang bernama manusia.
Hal demikian dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam ayat 57 surah Yunus yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhan dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang beriman.

Sehubungan itu, bagi merungkai rahsia yang terdapat dalam al-Quran, Pusat Rawatan Islam al-Hidayah yang diusahakan bersama oleh pelakon Mohd. Ashraf Muslim dan tokoh perubatan Islam, Lokman Abdul Hamid, telah menganjurkan Seminar Perubatan al-Quran dan Rawatan Kanser di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Objektif seminar itu untuk berkongsi dengan masyarakat berkenaan dengan penyakit kanser dan menjelaskan bagaimana mukjizat al-Quran berupaya membantu pesakit dalam merawat serta mencegahnya.

Selain itu, program sehari itu juga bertujuan berkongsi maklumat mengenai ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan untuk menangani penyakit kanser dialami, selain memberi kesedaran kepada masyarakat agar mendekatkan diri kepada Allah.

Pada seminar berkenaan, buku tulisan Lokman selaku pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Islam al-Hidayah yang bertajuk Perubatan al-Quran dan Rawatan Kanser terbitan Must Read Sdn. Bhd. dijadikan intipati perbincangan.

Ketika ditemui, Lokman memberitahu cetusan idea untuk menulis buku tersebut bermula pada 2011 dengan matlamat mengumpul pengalaman dan kisah beliau bersama para pesakit penyakit kronik.

Ujar beliau, buku itu sebenarnya merupakan panduan kepada orang ramai untuk mencegah dan merawat penyakit kanser dengan berpandukan kepada ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa syifa daripada petikan hadis Rasulullah.

Lokman menjelaskan, setelah berada di pasaran pada awal tahun ini, sebanyak 5,000 cetakan pertama telah habis dijual. Hal ini telah memaksa pihak penerbit mencetak sebanyak 10,000 naskhah untuk kali kedua.

“Bermula dari itu, kami di Pusat Rawatan Islam al-Hidayah mengadakan seminar seperti ini untuk berkongsi dengan masyarakat di luar selain mendedahkan bagaimana mukjizat al-Quran mampu merawat penyakit kanser.

“Alhamdulillah dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Perubatan Islam (Gappima) seminar ini berjaya dilaksanakan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...