Jumaat, 3 Mei 2013

Asal harakat pada mushaf al-Quran

PADA masa dahulu, bahasa Arab tidak mengenal adanya harakat. Masyarakat Arab menggunakan dialek kebiasaan ketika mengucapkannya. Bayangkan betapa payahnya membaca al-Quran tanpa tanda harakat satu pun dalam bahasa Arab.

Oleh kerana itu, Abu Aswad ad-Duali menjadi watak yang berperanan sangat penting bagi umat Muslim. Beliaulah yang menemukan kaedah tata bahasa Arab (nahu), salah satunya ialah kaedah pemberian harakat.

Abu Aswad ad-Duali mempunyai nama asalnya Dhalam bin Amru bin Sufyan bin Jandal bin Yu'mar bin Duali. Beliau biasa dipanggil dengan nama panggilan Abu Aswad. Sementara ad-Duali merupakan nisbah daripada kabilahnya yang bernama Du'al daripada Bani Kinanah.

Abu Aswad ad-Duali merupakan seorang tabi'in, murid dan sekali gus sahabat khalifah ke-empat, Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau lahir pada 603 Masihi dan wafat pada 688 Masihi.

Sebelum menjadi pakar ilmu nahu, ad-Duali banyak berperanan di dunia politik. Beliau sempat menjadi hakim di Basrah pada era khalifah Umar bin al-Khattab hingga kemudian beliau diangkat menjadi gabenor kota tersebut di masa kepimpinan Saidina Ali.

Ketika perang Jamal, ad-Duali merupakan juru runding perdamaian antara dua kubu perang. Beliau juga pernah diutus sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdullah Ibnu Abbas untuk memerangi kaum Khawarij.
Ilmu nahu kemudian dipelajari ad-Duali langsung dari khalifah Saidina Ali. Pada masa itu, menantu Rasulullah SAW tersebut memang terkenal sebagai pakar nahu. Atas perintah Saidina Ali bin Abi Talib, ad-Duali pun merumuskan ilmu nahu serta membuat peletak dasar kaedah tersebut.

Saidina Ali juga kemudian memerintahkan pemberian tanda baca atau harakat pada tulisan Arab. Usulan Saidina Ali tersebut kerana khalifah melihat banyaknya Muslim yang salah membaca al-Quran. Oleh itu, ad-Duali pun menyanggupi dan memberikan harakat pada mushaf al-Quran.

Tidak setakat Saidina Ali, ad-Duali pun merasa khuatir dengan banyaknya kesalahan baca al-Quran di kalangan masyarakat Arab. Kekhuatiran tersebut muncul sejak ad-Duali menemukan kesalahan baca yang benar-benar terjadi pada masyarakat Arab.

Dalam Ensiklopedia Peradaban dikisahkan, ad-Duali pada suatu hari melewati seorang yang sedang membaca al-Quran. Beliau mendengar surah at-Taubah, ayat 3, dibacakan dengan kesalahan harakat di hujung kalimah. Walaupun hanya satu kesalahan harakat, namun ertinya sangat jauh berbeza.

Ad-Duali mendengar orang itu membaca Anna Allaha Bari'um Minal Musyrikin Wa Rasuulihu yang seharusnya dibaca Rasuluhu jika diertikan sangat jauh berbeza. Pembacaan pertama yang salah tersebut bererti Sesungguhnya Allah berlepas diri dari orang-orang musyrik dan Rasul-Nya.

Sudah tentu erti tersebut salah dan menyesatkan, kerana Allah SWT tidak pernah berlepas daripada utusan-Nya. Makna kalimah yang semestinya iaitu Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang musyrik. Hanya satu harakat, tapi mengubah erti dan makna yang begitu banyak berbeza.
Sejak peristiwa itulah, ad-Duali mulai bersungguh-sungguh mempelajari ilmu nahu dan keinginannya memperbaiki bahasa Arab. Beliau khuatir jika tidak dibuat kaedah, bahasa Arab akan mudah lenyap begitu sahaja.

Mengingat di era khalifah ar-Rasyidin pun, sudah terdapat kesalahan baca al-Quran. Mulailah ad-Duali membuat kaedah tata bahasa Arab.

Ketika itu, belum digunakan fathah, dhammah ataupun kasrah. Ad-Duali menggunakan sistem titik berwarna merah sebagai syakal kalimah. Titik-titik tersebut iaitu, sebuah titik di atas huruf dinamakan (a) iaitu fathah, satu titik di bawah huruf dibaca (i) atau kasrah, satu titik di sebelah kiri huruf dibaca (u) iaitu dhammah

Adapun tanwin (dua fathah, dua kasrah dan dua dhammah) tinggal menambah titik tersebut menjadi dua buah. Titik-titik itu dicetak merah agar membezakan dengan tulisan Arab yang menggunakan dakwat hitam.
Dalam perkembangannya, usaha ad-Duali itu disempurnakan oleh beberapa muridnya seperti Nasr Ibnu 'Ashim (wafat 707 Masihi) dan Yahya Ibnu Ya'mur (wafat 708 Masihi). Mereka melakukan penyempurnaan harakat tersebut pada masa pemerintahan Abdul Malik Ibnu Marwan di dinasti Umaiyyah.

Selain itu, ad-Duali juga mempunyai beberapa murid lainnya yang juga pakar dalam bahasa Arab. Beberapa muridnya iaitu Abu Amru bin 'Alaai, al-Khalil al-Farahidi al-Basri yang merupakan pelopor ilmu 'arudh dan penulis Kamus Arab pertama.

Bukan hanya harakat, ad-Duali melahirkan banyak kaedah tata bahasa Arab yang hingga kini masih menjadi ikutan atau rujukan. Sejak dikenal sebagai peletak dasar ilmu i'rab, maka banyak orang datang untuk belajar ilmu qira'ah ataupun dasar ilmu i'rab. Beliau mencurahkan hidupnya untuk mentelaah ilmu nahu, hingga wafatnya pada 688 Masihi di Basrah. 

Kaedah nahu ad-Duali dikenal di kalangan mazhab Basrah. Pada perkembangan bahasa Arab, muncul dua mazhab iaitu Basrah dan Kufi. Kedua-dua mazhab tersebut yang sangat berperanan menyebarkan ilmu nahu ke penjuru dunia seperti yang kita lihat sekarang ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...