Sabtu, 24 November 2012

Kena berguru tafsir al-Quran

Ilmu agama tak boleh hanya berpandukan buku atau maklumat di internet

Akhir-akhir ini ada yang berani mentafsir ayat Allah sekadar berpandukan buku serta sebaran maklumat melalui internet, tanpa merujuk dan bertalaqqi dengan ulama, sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung. 


Mereka ini secara memandai-mandai telah melayakkan diri mentafsir kalam Allah atas alasan kebebasan memberi pandangan dan berhujah. Mereka ini sebenarnya tidak memahami apakah maksud tafsir Quran itu sendiri.
Sabda Rasulullah: "Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala"
Dalam konteks agama, bukan semua orang mempunyai kelayakan untuk mentafsir Quran, apatah lagi cuba mempermudahkannya untuk tujuan tertentu.

Dalam soal ini, Prof Dr Yusof Qaradhawi menyatakan: “Sesungguhnya ramai kalangan muda zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutama dalam ilmu hadis, lantas berasakan mereka sudah pakar dalam ilmu pada hal mereka belum pun mengecapi permulaannya.”

Ulama tabiin, Muhammad bin Sirin, mengingatkan sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa engkau mengambil agamamu.

Justeru, adalah malang apabila mereka berasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan lain.
Tanpa bimbingan daripada pakar agama, jika berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya bahkan boleh menyesatkan orang lain pula. Inilah bahaya besar yang menunggu umat Islam jika kesedaran tidak didedahkan di peringkat awal lagi.

Seseorang yang berilmu pengetahuan mengenai al-Quran dan boleh menterjemahkannya tetapi apabila menyampaikan tafsiran al-Quran kepada orang lain dengan tafsiran sebaliknya, maka perbuatan itu dianggap penyelewengan.

Apatah lagi jika seseorang yang tidak berilmu dalam mentafsir cuba mentafsir al-Quran mengikut kecenderungannya, sedangkan tidak ada kelayakan untuk berbuat demikian, dia boleh merosakkan kesucian al-Quran.

Berguru dan mendalami ilmu tafsir adalah prasyarat penting dalam meletakkan kelayakan seseorang kepada bidangnya. Tidak salah merujuk dan bertanya kepada yang tahu tetapi yang salahnya bercakap seperti orang berilmu tetapi sebenarnya tidak.

Rasulullah SAW bersabda: “Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya daripada satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertamanya, orang yang bertanya. Keduanya, guru yang menjawab. Ketiganya, orang yang mendengar jawapan itu. Keempat, orang yang cinta kepada mereka.” (Riwayat Abu Nuaim)

Penyelewengan berhubung tafsiran al-Quran adalah suatu perkara yang salah dan tidak boleh dibiarkan. Jika ia dilakukan oleh orang Islam, maka orang itu berdosa dan jika ia dilakukan oleh bukan Islam, perbuatan itu perlu dicegah dan orang itu perlu dilarang berbuat demikian.

Antara syarat menjadi pentafsir al-Quran ialah bersih daripada hawa nafsu demi kepentingan agama, mempunyai keahlian dalam bidang hadis, riwayat dan dirayah kerana hadis nabi adalah penjelasan dalam menafsirkan ayat.

Selain itu pentafsir al-Quran juga hendaklah berpengetahuan mendalam dalam ilmu nahu kerana pemahaman sesuatu ayat kebanyakannya memerlukan kepada kebolehan mengi’rab sesuatu perkataan.

Seorang pentafsir juga mestilah berpengetahuan luas dalam bidang ulum al-Quran kerana dapat membantu memahami ayat al-Quran dengan betul dan mendalam. Contohnya, Asbab al-Nuzul akan menolong mufassir memahami maksud ayat berdasarkan latar belakang penurunan ayat. Begitu juga mengetahui ayat diturunkan di Makkah atau Madinah dapat menyelesaikan kekaburan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara saja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Syura', ayat 51). 


Sumber: Berita Harian

Jumaat, 2 November 2012

Pengakuan keimanan

ALHAMDULILLAH, dirafakkan kesyukuran kepada Allah dan kita masih lagi membicarakan surah Yasin. Dalam ayat-ayat yang berikut, Allah SWT menceritakan perihal seorang pemberi nasihat yang mati syahid (Habib) dan akhirnya masuk syurga. Kemudian diterangkan pula keadaan orang yang ditinggalkan-Nya kerana tidak mengikut nasihat-Nya. Menurut sunnatullah, orang seperti mereka ini pasti diazab di dunia atau di akhirat.

Firman Allah SWT: Dan (apabila ditanya: sudahkah Engkau menerima agama mereka? maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Yasin: 22)

Mengapa aku harus menyeleweng dari jalan ini. Fitrah manusia tertarik kepada Pencipta yang menjadikannya. Dia tidak akan menyeleweng darinya melainkan dengan dorongan lain yang bertentangan fitrahnya. Dari awal lagi dia bertawajuh kepada Allah SWT. Ia tidak memerlukan unsur luar dari tabiat semula jadi jiwanya. Lelaki yang beriman ini merasakan semua hakikat ini dari lubuk hatinya. 

Oleh yang demikian dia mengeluarkan kata-katanya yang amat jelas tanpa berpura-pura. Dia juga sedar dengan fitrahnya yang benar dan bersih pada akhirnya akan kembali kepada Maha Pencipta sebagaimana segala sesuatu itu pulang kepada asalnya.

Firman Allah SWT: Patutkah aku menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah? (sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku. (Yasin: 23)

Al-Maghari berkata: "Apakah wajar aku menyembah tuhan selain Allah yang tidak mampu melakukan sesuatu pun. Kalau Allah hendak menimpakan musibah. Sudah tentu tiada siapa yang dapat menolongku selain Dia."

Syed Qutub berkata: "Siapakah lagi yang lebih sesat dari orang yang meninggalkan logik fitrah yang menyeru makhluk supaya menyembah Penciptanya lalu dia menyeleweng kepada menyembah selain Allah SWT."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. (Yasin: 24)

Al-Qurtubi berkata: "Iaitu kerugian yang amat nyata."

Syed Qutub berkata: "Lelaki itu menyatakan keputusannya di hadapan kaum yang telah mendustakan para rasul dan mengancam keselamatan mereka kerana suara fitrah dalam hatinya lebih kuat daripada segala pendustaan dan ancaman."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...