Sabtu, 18 Jun 2011

Hidupkan budaya al-Quran - Daud

KUCHING 17 Jun - Umat Islam perlu menghidup dan menyuburkan budaya al-Quran bagi menangani pelbagai masalah yang membelenggu ummah sehingga ketinggalan dan semakin lemah.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman berkata, walaupun pelbagai kajian dan pandangan diberikan mengenai masalah itu, secara realitinya ia berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri.

Katanya, ia disebabkan oleh sikap ambil mudah dan malas untuk menghayati al-Quran apatah lagi di kalangan generasi muda yang semakin canggung dengan kitab suci itu.

"Oleh demikian marilah kita sama-sama mengeratkan kerjasama yang sedia terjalin untuk mendekatkan diri, anak-anak dan masyarakat kita dengan al-Quran melalui pelbagai program serta aktiviti yang boleh kita rancang bersama dengan menghidupkan semula budaya al-Quran," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah.

Sementara itu, Daud yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah itu mengingatkan semua pihak bahawa cabaran umat Islam pada masa ini amat getir dengan segala ancaman yang merangkumi pelbagai aspek.

Katanya, daripada aspek keselamatan, umat Islam diuji dengan keangkuhan musuh untuk melemahkan kekuatan ummah di seluruh dunia, manakala prestasi ekonomi pula semakin jauh ketinggalan walaupun kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan Allah SWT.

"Daripada aspek sosial pula, kita diancam hakisan nilai-nilai murni dan mulia dalam masyarakat serta generasi baru umat Islam dan menyebabkan pelbagai budaya luar yang dipengaruhi kesesatan telah meresapi generasi muda pada masa ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...