Khamis, 24 Januari 2019

Syafaat di Padang Mahsyar ganjaran umat beriman dengan al-Quran

Satu-satunya penyelamat manusia pada hari akhirat kelak ialah kitab suci al-Quran. Malangnya, kerana terlalu cintakan dunia, ramai yang lari atau agak keterlaluan memisahkan al-Quran daripada kehidupan masing-masing.
Nafsu duniawi yang terlalu kuat juga mendorong ramai umat Islam terlupa akan muncul kiamat, sedangkan gambaran keadaan manusia dijelaskan secara terperinci dalam surah Abasa, ayat 33 hingga 37.

Antaranya, ia menghuraikan bagaimana setiap manusia perlu bergelut untuk menyelamatkan diri hingga tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk membantu termasuk ahli keluarga seperti ibu bapa, isteri dan anak yang ketika di dunia sentiasa berada di sisi.
Mereka tidak sesekali berupaya membantu, malah sibuk dengan urusan diri masing-masing pada hari pembalasan kelak.

Dalam keadaan itu, sudah tentu kita akan mengharapkan ‘pendamping’ yang dapat menyelamatkan diri daripada huru-hara yang berlaku di Padang Mahsyar.
Antara yang dapat membantu ialah al-Quran yang kekal mendampingi orang mengimaninya dalam bentuk syafaat, iaitu menjadi perantara ketika dihisab segala amal dan perbuatan yang pernah dilaksanakannya.

Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua membaca al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada kiamat memberi syafaat kepada orang yang membaca dan beramal dengan hukum-hakamnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Wajib dalami al-Quran
Justeru, mendalami al-Quran hukumnya wajib, sekali gus perlu mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.
Pendakwah, Dr Mohd Ali Saripan al-Hafiz, berkata al-Quran juga kunci untuk menjadi seorang insan yang sempurna di sisi Allah SWT.
“Hari ini, ramai yang mengakui secara lisan beriman dengan al-Quran tetapi hatinya tidak memahami, mata tidak merenung dan telinga pula tidak mendengarnya.
“Apa yang terjadi kepada orang yang kurang mendengar atau mengalunkan ayat suci al-Quran ini antaranya mereka bersifat tidak responsif kepada setiap kalimah-Nya.
“Ramai yang ada telinga untuk mendengar tetapi tidak dianugerahkan sifat Allah SWT, iaitu as-Sama’ kerana ia khusus bagi mereka yang mengimani al-Quran sahaja,” katanya ketika menyampaikan kuliah khas di Surau NSTP, Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kuala Lumpur.

Sentiasa hayati al-Quran
Allah SWT berfirman: “Dan mereka berkata: Hati kami tertutup daripada apa yang engkau seru kami kepadanya dan pada telinga kami ada penyumbat serta di antara kami denganmu ada sekatan; oleh itu, bekerjalah engkau untuk agamamu, sesungguhnya kami juga tetap bekerja mempertahankan kepercayaan kami.” (Fussilat: 5)

“Batu di dalam telinga manusia disebut sebagai Waqr yang apabila kita membaca dan mendengar ayat al-Quran, barulah akan pecahlah batu penyumbat ini.
“Setiap Muslim perlu sentiasa menggunakan telinga untuk menghayati al-Quran, barulah batu ini dapat dipecahkan, sekali gus jauh daripada sifat pekak dan tuli terhadap keagungan kitab Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, manusia yang mata hati dan fikirannya selalu mengingati al-Quran, sekali gus akan sentiasa dirahmati Allah SWT dalam pelbagai cara.
“Antaranya, orang yang dekat dengan al-Quran akalnya akan terjaga dan tidak mudah menjadi majnun atau gila.

Terhindar sifat mazmumah
“Apabila al-Quran sentiasa tersemat di hati, terhindar daripada sifat mazmumah seperti mudah berprasangka buruk, risau tidak menentu, hasad, kufur dan riak.
“Rasulullah SAW bersabda: Manusia terbaik adalah yang mempelajari dan menyampaikan kandungan al-Quran,” katanya.
Firman Allah SWT: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Aali Imran: 110)

Beliau berkata, antara bukti kemuliaan al-Quran adalah ia terus terpelihara hatta selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga sampai kepada umat Islam hari ini.
“Al-Quran ialah kalam yang diturunkan dan tetap dijaga oleh Allah SWT tidak seperti kitab lain seperti Taurat dan Injil.

“Apabila wafat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS, kedua-dua kandungan kitab suci ini diubah. Antaranya, seperti disebut dalam surah at-Taubah mengenai orang Yahudi memasukkan satu kalimah dalam Taurat dengan menyatakan Nabi Khidir adalah anak lelaki Allah.
“Hakikatnya, Nabi Khidir yang ditemui Nabi Musa semata-mata untuk mencari ilmu, hatta dicari sehingga ke lautan, sekali gus menjadi ibrah kepada umat islam akan kewajipan untuk mencintai orang alim,” katanya.
Beliau menambah, kitab Injil turut diubah seperti terkandung dalam surah al-Maidah ayat 18 yang menyebut orang Nasrani mendakwa Nabi Isa anak lelaki Allah SWT.
Katanya, apabila wahyu Allah SWT dalam kitab sebelum turunnya al-Quran diubah, ia tidak lagi wajib ditaati oleh umat Islam.

Justeru beliau berkata, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya rujukan utama untuk memastikan beroleh kejayaan yang bersifat kekal khususnya di akhirat kelak.
Bahkan, mencintai dan memahami setiap isi kandungan al-Quran juga adalah tanda ketaatan kepada insan paling dimuliakan Allah SWT, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah (suri tauladan) perlu disertai dengan merujuk dan beramal dengan wahyu iaitu al-Quran yang diturunkan kepada Baginda.

INFO
Adab sebelum membaca al-Quran
*Berwuduk
*Duduk dengan tertib
*Niat kerana Allah SWT
*Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi dan bersih
*Mengharapkan pahala dan syafaat
*Mengadap kiblat
*Berpakaian bersih dan menutup aurat

Sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...