Isnin, 12 Mei 2014

Sifat ummah terbaik

ALHAMDULILLAH sekali lagi dapat bersua dalam ruangan artikel tafsir kali ini, penulis sengaja membincangkan isu yang global pada kali ini iaitu sifat Umat yang terbaik mengikut neraca al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali-Imran: 110)

Dinyatakan tafsiran para ulama berkenaan ayat ini:
Syeikh Sya’rawi berkata: “Kebaikan ini mempunyai sifat-sifat dan unsurnya seperti amar makruf, nahi mungkar dan beriman dengan Allah SWT. Jika kurang salah satu daripada unsur ini, nescaya tercabutlah kebaikan."

Syeikh al-Sabuni berkata: “Ini merupakan pernyataan tentang wajah kebaikan seolah-olah dikatakan sebab pada kebaikanmu berbanding dengan umat lain dengan adanya segala sifat terpuji ini."

Ibnu Kathir menaqalkan pandangan Saidina Umar yang berkata: “Siapa yang suka menjadi umat yang terpilih ini, maka hendaklah ia menunaikan syariat Allah padanya."

Al-Maghari berkata: “Daripada huraian di atas pasti diketahui bahawa tanggungjawab menyuruh melakukan perbuatan baik dan mencegah kemungkaran merupakan medium yang membawa mereka ke arah kemuliaan.

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan penekanan kepada amar makruf dan nahi mungkar, di samping beriman dengan Allah SWT.

Penulis menutup perbincangan ini dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu laksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau kamu dikalahkan oleh pemerintah yang zalim lagi jahat ketika itu orang soleh dalam kalangan kamu berdoa tetapi tidak dimustajabkannya." (riwayat Ahmad (23312) al-Tabrani (1739) dalam Mu’jam al-Awsat)

Hadis ini dengan tegas menggambarkan ancaman daripada Baginda SAW kepada umat Islam agar melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, sebaliknya apabila berlaku pengabaian, maka lahirnya pemerintah yang tidak bermoral dan berakhlak. Ketika itu, sekalipun golongan soleh berdoa, nescaya tidak dimakbulkannya.

Betapa pentingnya pelaksanaan tersebut, apabila diabaikan maka satu ancaman tegas daripada Allah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada hamba-Nya pada hari kiamat yang bermaksud: “Apakah yang menghalangmu daripada mengubah yang mungkar di dunia, apabila engkau melihatnya dengan merasa benci? Kemudian Allah mengajar hamba-Nya dengan hujah dan menjawab: “Hai Tuhanku! Aku mengharapkan-Mu tetapi aku takut kepada manusia. (riwayat al-Humaidi dalam musnadnya)


Sumber: Utusan Malaysia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...