Khamis, 22 Mac 2012

Al-Fath penawar buat umat Islam

SEBAGAI memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiah, Tuhan menujukan firman-Nya kepada mereka: Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janji-Nya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. (al-Fath: 20)

Ayat di atas ada disebutkan mengenai harta rampasan yang lazimnya diperoleh daripada peperangan.

Tahukah anda perang apakah yang dimaksudkan oleh ayat ini dan mengapa perang ini begitu penting kepada umat Islam?

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa surah al-Fath diturunkan khas buat umat Islam yang begitu kecewa dengan syarat-syarat perjanjian Hudaibiah yang dikatakan lebih memihak kepada golongan kafir Quraisy.

Lalu Allah turunkan surah ini sebagai cara memujuk umat Islam yang kecewa. Ditambah janji Allah akan satu kemenangan dalam satu peperangan sebelum kejayaan yang lebih besar bakal akan terukir dalam sejarah, iaitu Fathul Makkah (Pembukaan Mekah).

Perang Khaibar, adalah perang yang dimaksudkan, iaitu perang antara pihak Islam melawan musuh iaitu kaum Yahudi yang menetap di Khaibar yang berlaku selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah itu.

Sebagaimana yang disebut sendiri oleh Nabi Muhammad, iaitu; "Allah sudah berjanji kepada aku. Allah akan membuka kepada aku akan Khaibar!"

Khaibar adalah nama kepada sebuah kota besar yang dipenuhi kebun-kebun terutamanya pohon-pohon tamar yang begitu luas dan dikelilingi oleh benteng-benteng tembok batu yang sangat kukuh.

Ia terletak lebih kurang 150 kilometer di sebelah timur Kota Madinah menghala ke arah negeri Syam (Syria).
Khaibar menjadi pusat atau ibu negara kepada kaum Yahudi yang terbesar di Tanah Arab. Sebelum ini kaum Yahudi, iaitu dari keturunan Bani Qainuqa yang mendiami Kota Madinah, yang kemudiannya telah diusir keluar, adalah kaum Yahudi yang membawa diri mereka dan akhirnya memilih Khaibar untuk menjadi penempatan baru mereka.
Ini diikuti Yahudi Bani Nadhir yang turut dihalau keluar dari Madinah apabila mereka membuat perancangan yang hampir-hampir membuatkan Rasulullah terbunuh dalam satu komplot jahat, dengan menjatuhkan seketul batu besar ketika baginda sedang berehat di sebuah rumah Yahudi yang dikunjungi baginda.

Ini diikuti pula Yahudi Bani Quraizah yang juga menempah nasib yang sama apabila mereka bertindak belot dan bersekongkol dengan pihak musuh dalam Perang Ahzab (Khandaq). Tetapi mereka tidak dapat ke mana-mana akibat hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seluruh kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah.

Maka selepas peristiwa hukuman Bani Quraizah tersebut seluruh kaum Yahudi mengumpul kembali kekuatan mereka dengan membentuk satu komuniti Yahudi di Khaibar dan tidak pernah memberikan sebarang ancaman lagi kepada Islam.

Tetapi sebaik sahaja mereka mendengar akan berita mengenai Perjanjian Hudaibiah yang menjanjikan satu 'hubungan baik' antara puak kafir Quraisy dengan pihak Islam, tentunya menjadi satu tamparan kepada seluruh kaum Yahudi yang menghuni di Khaibar itu.

Di tambah lagi usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh baginda semakin menampak kejayaan demi kejayaan. Semua ini menyebabkan kaum Yahudi semakin tidak senang duduk jadinya.

Apabila merasakan mereka semakin kuat, maka mereka kembali untuk bermusuh terhadap Islam dengan cara yang lebih agresif. Dalam kamus mereka, tidak akan sesekali berbaik dengan Islam kecuali benar-benar ingin menghancurkan Islam.

Walaupun kini terpaksa bertindak sendirian namun mereka sedar masih ada banyak lagi puak Arab, selain Arab Quraisy yang boleh diajak untuk menentang Islam.

Sehinggalah pada suatu hari, Ketua Yahudi di Khaibar, Sallam bin Misykam akhirnya mengumumkan satu pengisytiharan dengan berkata: "Wajiblah ke atas kita semua (Yahudi Khaibar) supaya segera mengatur dan menyusun kekuatan dengan menjadi persatuan dan perpaduan yang kukuh antara kita dan Yahudi-Yahudi yang ada di Wadi Qura dan Taima.

"Kemudian kita akan melakukan serangan secara besar-besaran terhadap Kota Madinah tanpa kita memerlukan bantuan daripada mana-mana bangsa Arab yang lain dalam peperangan kali ini!"

Namun pengumuman yang dibuat oleh Sallam itu tidak dapat diterima oleh sebahagian besar pemimpin-pemimpin Yahudi yang lain kerana bagi mereka adalah tidak mudah untuk menyerang Islam kecuali mereka mempunyai kekuatan yang jauh melebihi pihak Islam.

Namun Rasulullah sedar akan soal pertahanan dan keselamatan Islam yang sentiasa mendapat ancaman daripada pelbagai pihak termasuk Yahudi.

Sumber: Utusan Malaysia

Surah al-Kauthar

SALAH satu surah yang diturunkan oleh Allah SWT untuk 'menghibur dan menenangkan jiwa' Nabi Muhammad SAW daripada hinaan ejekan kaum musyrik adalah surah al-Kauthar.

Kaum musyrik mengejek bahawa ajaran Nabi Muhammad SAW akan terputus kerana menganggap baginda tidak mempunyai keturunan.

Oleh itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kauthar untuk membantah pemikiran salah kaum musyrik.
Surah al-Kauthar termasuk surah al-Makkiyyah (surah yang ayatnya diturunkan di Mekah). Dilihat daripada urutannya di dalam al-Quran, maka surah al-Kauthar adalah surah ke-108, sesudah surah al-Maa'un.

Ditinjau daripada urutan wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, maka surah al-Kauthar merupakan wahyu ke-14 setelah surah al-'Aadiyat.

Penamaan surah al-Kauthar berasal daripada bunyi akhir ayat pertama surah itu, al-kauthar.Ada beberapa pendapat yang mengemukakan tentang makna kata itu.

Makna yang pertama yang sangat popular adalah sungai di syurga. Makna itu menggambarkan kenikmatan yang akan diperoleh kelak oleh orang-orang yang beriman.

Makna kedua adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Adapun makna yang ketiga adalah nikmat atau kurnia yang banyak. Banyak ulama yang berpegang pada makna yang terakhir itu kerana pengertian yang ketiga dianggap sudah mencakupi kedua-dua pengertian sebelumnya.

Surah al-Kauthar mengandungi ajaran tentang kewajipan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan Allah SWT. Mensyukuri nikmat Allah SWT biasa dilakukan dengan cara beribadat seperti solat daripada berkorban.
Di samping itu, surah ini juga berisi peringatan kepada orang-orang yang suka membenci. Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam surah ini terkandung isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW akan memiliki pengikut yang banyak sampai hari kiamat.

Pada masa Nabi Muhammad SAW, para pengubah syair sangat banyak. Mereka sering kali mencuba untuk menyaingi wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Salah seorang di antara mereka adalah Musailamah.
Dia pernah mengubah syair yang mirip dengan surah al-Kauthar. Isi syair gubahannya ialah:Sesungguhnya kami menganugerahkan kepadamu permata-permata. Maka solatlah kepada tuhanmu dan nyatakanlah.

Namun, apa yang telah dilakukan itu telah mendapat cemuhan. Masyarakat Islam pada masa itu menganggap syair gubahan itu sangat buruk. Keinginan untuk menyaingi al-Quran gagal.

Bahkan tidak dapat menandingi surah yang terpendek sekalipun, seperti al-Kauthar. Ini merupakan salah satu bukti bahawa kebenaran al-Quran tidak mungkin disaingi oleh sesiapa pun, meskipun satu surah sekalipun (rujuk surah al-Baqarah: 23)

Surah ini juga merupakan surah terpendek dalam al-Quran, iaitu terdiri di atas tiga ayat. Para ulama berpendapat bahawa surah itu merupakan tentangan terhadap orang-orang yang ragu terhadap kebenaran al-Quran dan mencabar mereka untuk menyusun surah seperti itu.

Dalam ayat pertama surah al-Kauthar, kata kauthar yang ditafsirkan oleh para sufi sebagai sumber mata air samawi yang suci.

Dalam air ini terdapat kurnia dan hikmah yang tidak terbatas, rahmat dan segala kebaikan, kebenaran, kearifan, kekuatan rohani, dan wawasan yang mendalam yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad SWT dan semua hamba Allah SWT, baik lelaki mahupun perempuan yang ikhlas.

Menurut para sufi, sumber mata air merupakan perumpamaan hikmah menghilangkan rasa dahaga rohani manusia yang haus akan hal itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Jumaat, 16 Mac 2012

Menantuku Anakku

Semanis Kurma: 15 Mac 2012
Tajuk perbincangan: Menantuku Anakku


Ayat Doa 1:


Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Al-Mukminun, Ayat 97

Selasa, 6 Mac 2012

Bakar al-Quran konspirasi keji

SEJAK kebelakangan ini kaum Muslimin diuji keimanan dan kesabarannya. Betapa tidak, diberitakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan minggu lalu.

Kemudian NATO mengeluarkan kenyataan mereka tidak sengaja melakukannya dan memohon maaf.
Serentak dengan itu aksi para penunjuk perasaan dan demonstrasi diadakan di seluruh dunia khususnya di Afghanistan, Pakistan dan lain-lainnya.

Diberitakan dua tentera NATO telah ditembak mati di Afghanistan.

Sebelum itu, pendeta Terry Jones telah membakar al-Quran di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas tercetusnya keganasan dan runtuhnya gedung World Trade Center (WTC) di New York pada 11 September 2001.

"Islam adalah syaitan, agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama keganasan," katanya ketika diwawancara CNN, baru-baru ini.

Dalam laman webnya, mereka mengemukakan 10 alasan mengapa al-Quran harus dibakar. Di antaranya, al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan.
Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi dan Barat. Kebetulan pula hari pembakaran al-Quran itu bertepatan Hari Raya Aidilfitri 1431 hijrah.

Langkah Terry Jones menunjukkan betapa Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) merebak luas di kalangan orang AS. Serangan 11 September itu dikatakan dilakukan oleh pengganas Muslim.

Sejak itulah Amerika melancarkan 'perang melawan pengganas' atau war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasarannya. Pada hal Theiry Meyssan, wartawan dari Perancis menemukan bahawa apa yang dikatakan oleh Amerika dan didukung oleh medianya (yang 90% milik Yahudi) adalah pembohongan besar.
Ia mengungkap temuannya dalam buku berjudul 9/11 The Big Lie America.

Jadi 'aneh bin ajaib' jika Terry Jones membuat logikal, WTC runtuh dan pelakunya adalah Muslim yang mendapat inspirasi oleh al-Quran. Sebab itu al-Quran harus dibakar sebagai simbol perlawanan dan permusuhan serta kebencian di mulut dan di hati merekalah yang menjadikan Islam tetap dianggap sebagai agama pengganas.

Kenyataan ini makin menegaskan kebenaran firman Allah SWT yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu mengikuti agama mereka. (al-Baqarah: 120).
Allah SWT juga menegaskan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud: Mereka (kaum kafirin) tidak pernah berhenti (menimbulkan kemudaratan atas kamu). Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi (bahayanya). (ali-Imran: 118).
Seharusnya penguasa negara-negara Muslim, melalui diplomasi luar negaranya boleh menekan dan berbudi bicara mengenai kes-kes seperti ini agar tidak berulang.

Harus bersikap tegas dan serius serta tidak ingin kejadian ini akan melahirkan akibat lebih buruk lagi dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Umat Islam tentu dapat memberi respons dengan cara mereka sendiri bagi mengelak kejadian ini agar tidak bertambah parah.

Sabar ada had
Kesabaran umat Islam pun ada had dan batasannya jika diuji. Kerana itu setiap agama di dunia ini mahu hidup dengan harmoni, dengan lain kata pengharaman membakar kitab-kitab agama masing-masing adalah dilarang sekeras-kerasnya.

Para penguasa Muslim harus mencontohi para khalifah dahulu, di mana Perancis pernah merancang pertunjukan drama yang diambil dari hasil karya Voltaire.

Isinya bertema 'Muhammad atau kefanatikan'. Di samping mencaci Rasulullah SAW, drama tersebut menghina Zaid dan Zainab.

Waktu itu Sultan Abdul Hamid menjadi khalifah Usmaniyah, beliau mengetahui berita tersebut melalui dutanya di Perancis. Beliau segera mengancam pemerintah Perancis agar menghentikan pementasan drama tersebut. Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ada 'tindakan politik' yang akan dihadapi Perancis jika mahu meneruskan dan mengizinkan pementasan itu. Perancis akhirnya membatalkannya.

Jelas hakikat drama itu sama dengan hakikat berbagai penghinaan kaum kafir Barat terhadap Islam dan umatnya ketika ini.

Bermula dengan karikatur Nabi SAW di Denmark, pelarangan jilbab dan merosakkan masjid di Eropah, hingga entah apa lagi yang akan diperbuat mereka untuk menghina al-Quran, Nabi Muhammad SAW, sekali gus juga sebagai mencabar Allah SWT.

Oleh itu, demi kemuliaan Islam dan kaum muslimin, demi al-Quran dan Rasulullah SAW serta demi keredaan Allah SWT, kita haruslah menangani masalah serius ini mengajak ummah menegakkan kebenaran abadi dan membela agama Allah di bumi ini.

Ini supaya Islam tidak dipijak-pijak dan dihina-hinakan oleh kaum kafirin. Ya Allah, Ya Rabb, tolongilah kami dari kaum kafirin. Kerana itu, saksikanlah. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...