Isnin, 7 Mei 2012

Al-Fil kisah kekalahan tentera Abrahah

TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah. Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman.Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam surah al-Fil. Burung Ababil Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil. Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut.


Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing.

Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.

Pasukan tentera bergajah

Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah.

Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.

Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka.

Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota itu.

Kekuasaan Allah SWT

Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya.

Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

Surah Makkiyah

Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini ditempatkan pada urutan ke-105.

Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah.
Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah Makkiyah.

Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini yang bererti "gajah".

Maksud surah al-Fil

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?
Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.
Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.
Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).


ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.


Sumber: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...