Rabu, 29 Disember 2010

Al-Quran, sunnah tunjang pembangunan akhlak

DARIPADA 'Amru bin al-'Ash, Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: "Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya?" (Hadis riwayat Muslim)

Pembaharuan dimaksudkan bukan saja terbatas dalam bidang agama tetapi mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai umat Muslimin membangun dan memajukan ummah.

Dalam zaman kini, umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur wajib mengembalikan diri kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan. Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri.

Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan usaha dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan al-sunnah yang didatangkan untuk meninggikan pencapaian akhlak.

Malangnya masih wujud sebilangan besar masyarakat mengambil unsur negatif daripada kehidupan zaman jahiliah yang bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas menjalani kehidupan diinginkan.

Inilah antara penyakit sedang menjalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam. Oleh itu, pembaharuan sikap dan pemikiran perlu bagi membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan membina kehidupan lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah SWT.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...