SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan ayatnya
berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah.
Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah
terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh
orang yang mengingkari kedatangan hari kiamat.
Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang diperoleh
oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini
sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:
* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur termasuk Mujahid dan Qatadah.
* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.
* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.
Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari
masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?
(al-Insan: 1)
Perkataan insan di sini ada dua pendapat:
* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40 tahun di
mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah
pendapat jumhur ulama.
* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.
Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini satu batas
waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut disebutkan.
Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang dibentuk
daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak
diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian
ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut
disebutkan.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan tentang
manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah
menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.
Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini merupakan
pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa
seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia
tahu bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana
dia belum lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut?
Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya? Kemudian
tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya
tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan
cahaya lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut
setelah selama ini tidak pernah disebut-sebut.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia
daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan
perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan
melihat. (al-Insan: 2)
Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak Adam dan
perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita yang
akhirnya terbentuk menjadi manusia.
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia
daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air
perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab
apabila dia telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat
mendengar ayat-ayat dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya pendengaran dan
penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan ketaatan dan
juga kemaksiatan.
Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah sperma
lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu
beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu
keadaan berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.
Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat penciptaan,
pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai
‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul
daging) dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang).
Kemudian tulang-temulang itu dibungkus daging.
Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu dia
berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia
berada dalam kesusahan.
Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia diciptakan
oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur. Manusia
bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan
untuk diuji dan dicuba.
Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah ujian yang
akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah mahu
menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan
kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut
natijah ujian yang dilaluinya.
Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar dan
melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat
menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda
dan nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat
melalui ujian itu mengikut pilihannya.
Sumber: Utusan Malaysia
Human Appeal International Australia is a charity organization which is trying its best to provide aid to the needy, you can help them by:
BalasPadamhttps://humanappeal.org.au/ramadan-dp4