Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI
Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul
SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.
Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti.
Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr
- minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk
serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada
mereka di bilik-bilik.
Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin
tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu
yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu
dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang,
yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan
mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang
yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan
rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."
Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke
leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang
berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah
Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada
berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka
Jahanam."
Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan
memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk
dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan
minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur.
(iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah
minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.
(al-Insaan: 5-6)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah
SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang
diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti
meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang
berbau harum, sejuk lagi putih."
Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba
Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam
syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja
mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut
mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.
Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan
disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air
yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri,
murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."
Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.
Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang
yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan
haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata
air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."
Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang
dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan
kelazatannya.
Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan
minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini
tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia
dan kelazatannya berlipat kali ganda.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^