Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan
Rejab yang mulia ini, saya berpesan
kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita
memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan
di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “CEMERLANG DENGAN AL-QURAN. ”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Allah SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan
mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada sebarang
keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada
Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada
tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Ianya juga sebagai sumber ilmu
bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta kitab kecemerlangan. Firman
Allah SWT di dalam surah al Israa’ ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi
petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang
beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang
besar. ”
Imam
al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan
bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan
paling tepat. Mereka
yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan, sudah pasti ia akan membuahkan
kesejahteraan dan kecemerlangan. Justeru, bagi mengekalkannya al-Quran dalam kehidupan kita ianya perlu
dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya
agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya
Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran telah mengubah
pola kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang
gemilang. Perubahan dan kecemerlangan yang diraih ini tidak
lain kerana disuluhi oleh al-Quran. Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin
mencipta kejayaan samada dari sudut kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa
depan hendaklah menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan. Al-Quran mampu
membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan
budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan
berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur memahami al-Quran dan beramal dengannya.
Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut
kerohanian semata-mata bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya
dikagumi oleh orang Islam, bahkan ia
juga dikagumi oleh orang bukan Islam.Sebahagian daripada mereka yang bukan
Islam memeluk Islam selepas memahamai dan meniliti maksud ayat-ayat al-Quran. Sebagai
contoh Dr Gary
Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang
teologi agama Kristian. Pada tahun 1978
beliau dihadiahkan sebuah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris, selepas
membaca terjemahan tersebut dan memahami beliau memeluk Islam. Demikian juga
dengan Dr. Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Semasa
membicarakan berkenaan al-Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau
berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran dan
ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam. ”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman maka
sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa
juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya
dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan
dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Namun persoalannya pada hari ini terdapat
segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi
kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut
ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka
lebih gemar mengalungkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan
berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya
berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai
hiasan. Bahkan ada juga yang menjadikan
al-Quran sebagai “kitab berkat”, Mereka membaca al-Quran bertujuan mendapat
berkat tidak lebih dari itu, maka dibacanyalah beberapa potong ayat al-Quran
untuk tujuan tertentu seperti murah rezeki, mencepatkan jodoh dan lain-lain
tujuan tertentu.
Justeru itu, mimbar menyeru marilah
sama-sama kita menjadikan budaya al-Quran sebagai gaya hidup. kita mesti yakin
bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi ubat dan
penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang
melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada
perkara perkara tertentu sahaja atau membacanya pada masa-masa tertentu seperti
ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian ataupun pada
hari tertentu. Firman Allah SWT di dalam surah al Furqan ayat 30:
Maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku
sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu yang tidak diacuhkan, diabaikan.”
Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama’ bahawa
ada tiga golongan manusia yang mengabaikan al-Quran. Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan meninggalkan dari
membacanya. Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut tadabbur maknanya
serta memahami maksud al-Quran dan ketiga: mereka yang mengabaikan
al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya. Mereka membaca
al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang dibaca tetapi
tidak beramal dengan apa yang difahaminya.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan kali ke 55 yang diadakan di Kompleks Persada,
Johor Baharu, Johor bermula dari 4 hingga 8 Jun 2012, mimbar menyeru para
jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam
kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang
mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat magrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya. Terangilah
hati kita dengan memahami isi al-Quran, dan teguhkanlah keimanan dengan beramal
dengan isi kandungannya. Yakinlah
bahawa al-Quran yang memberi petunjuk ke arah kecemerlangan hidup dunia dan
akhirat. Ingatlah sabda Nabi SAW yang
bermaksud: Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya
diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak
aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan
lam satu huruf dan mim satu huruf (Riwayat
Tirmizi). Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita
merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:
Maksudnya: “ Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu
dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang
tertutup. ”
Sumber: Khutbah Jakim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^