Memaparkan catatan dengan label Khatam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khatam. Papar semua catatan

Selasa, 17 Julai 2012

Bertadarus sepanjang Ramadan

Berazam tingkat bacaan dan hayati kalamullah

Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, kita mendapati bahawa Rasulullah amat menitikberatkan ibadat pembacaan al-Quran dan mengutamakan ia apabila masuk Ramadan. Ibnu ‘Abbas ra berkata “Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Melalui hadis ini Imam Ibnu Rejab menyatakan disunatkan seseorang itu mempelajari al-Quran pada Ramadan di samping mengajak manusia lain bersama-sama membacanya dan disunatkan juga untuk memperdengarkan bacaan kepada mereka yang lebih elok bacaannya. 

“Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran pada waktu malam kerana pada waktu itu adalah masa yang tenang untuk jiwa manusia melakukan ibadat dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya ibadat pada waktu malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih baik bacaannya.” (Surah al-Muzzammil ayat enam).

Dalam hadis lain puteri Baginda iaitu Fatimah ra menceritakan bahawa Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril sekali dan pada tahun kewafatan baginda bertadarus bersama Jibril dua kali.”(HR Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Melalui contoh ditunjukkan Rasulullah ini, maka sahabat dan ulama silam berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama pada malam sepanjang Ramadan. Diceritakan bahawa bumi Madinah al-Munawwarah pada malam Ramadan dihiasi dengan alunan merdu bacaan al-Quran oleh sahabat. 
Mereka memperbanyakkan dan memperelokkan bacaan al-Quran disamping menghayati maknanya, lantas dipraktikkan penghayatan itu dalam kehidupan harian mereka sebagai hamba Allah SWT. 

Imam Nawawi menyatakan antara sahabat yang memperbanyakkan bacaan al-Quran adalah Uthman bin ‘Affan, Tamim al-Daariy dan Said bin Jubair yang mana mereka khatam al-Quran dalam solat mereka di hadapan Kaabah pada setiap rakaat solat mereka. 

Diceritakan juga Imam Syafi’e khatam al-Quran pada Ramadan sebanyak 60 kali. Dalam Kitab ‘Aun al-Ma’bud dinyatakan bahawa ada di kalangan salafussoleh khatam al-Quran setiap sebulan, dua puluh hari, sepuluh hari, seminggu, tiga hari dan sehari.

Bukankah terdapat larangan mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari?
Dalam hadis Nabi SAW bersabda : “Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud). 

Jika kita melihat daripada mafhum hadis ini maka kita akan dapati bahawa khatam al-Quran kurang daripada tiga hari seolah-olah dilarang Nabi Muhammad SAW. 

Dalam menjawab persoalan ini Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata: “Telah diriwayatkan golongan salafussoleh bahawa mereka mengkhatam al-Quran lebih cepat daripada tiga hari. 

Namun, larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan kepada pengharaman. Justeru, khatam al-Quran bergantung kepada situasi sahabat dan ulama terdahulu. Namun Imam Nawawi menyatakan bahawa kebanyakan salafussoleh akan khatam al-Quran setiap daripada tujuh hari iaitu selama seminggu. 

Perlulah untuk kita semua membaca al-Quran dengan penuh sopan dan tertib. Seelok-eloknya bacalah dengan adanya tadabbur, iaitu dengan menghayati setiap ayat-ayat al-Quran itu. 

Walaupun sahabat mampu mengkhatam al-Quran dalam masa satu hari, tetapi mereka membacanya dengan tadabbur iaitu faham dan menghayati makna ayat tersebut. Bagi sebahagian kita yang tidak memahami Bahasa Arab dan tidak faham isi kandungan al-Quran maka sewajarnya kita mengubah cara pembacaan kita. 

Jika sebelum ini kita hanya membaca al-Quran tanpa mengetahui maknanya, maka bermula pada Ramadan kali ini cubalah untuk memahami maknanya dengan melihat terjemahan al-Quran. 

INFO: Jadual baca al-Quran 

  • Masa khas membaca. Gunakan waktu terluang pada Ramadan ini terutama selepas solat fardu. Jika mampu mengkhatam 30 juzuk al-Quran, maka itu adalah lebih baik.
  • Masa untuk tadabbur al-Quran. Disarankan membaca terjemahan mahupun tafsir al-Quran. Bagi mereka sibuk dengan kerjaya cukuplah hanya membaca terjemahan al-Quran satu muka sehari secara konsisten.
  • Menggunakan masa mengulangi hafalan al-Quran. Gunakan waktu antara selepas bersahur hingga masuk Subuh untuk mengulangi hafalan surah lazim dan pendek.

  • Sumber: Berita Harian

    Ahad, 15 Julai 2012

    Rujukan khatam sebulan sempena Ramadhan

    Rujukan dan tips untuk khatam al-Quran sempena Ramadhan

    Sila klik utk besarkan. Tak buat fancy sgt..
    Printable & easy to eyes. hehehe



    Sila klik di sini utntuk panduan Khatam al-Quran

    Rabu, 23 November 2011

    Khatam al-Quran pada usia muda

    MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Begitulah perumpamaan yang perlu diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak bagi memulakan langkah kehidupan mereka di dunia ini.

    Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan cahaya mata yang soleh dan solehah yang dapat menjaga mereka apabila sudah tua dan mampu mendoakan apabila sudah tiada.

    Hakikatnya, ia terletak di tangan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan dan menentukan masa depan anak-anak sama ada baik atau buruk.

    Jika baik acuannya maka baiklah peribadi anak tersebut. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan di atas fitrah (suci), maka ibu bapanya yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim)

    Oleh itu, salah satu pendekatan berkesan dalam mendidik anak-anak adalah melalui pendedahan ilmu agama dan al-Quran sejak mereka kecil.

    Ia merupakan langkah terbaik dalam memastikan generasi muda tersebut dapat menjadikan al-Quran dan ilmu agama sebagai panduan hidup.

    Sekurang-kurangnya ilmu agama mampu menjadi asas pengetahuan untuk anak-anak membezakan perkara yang baik atau buruk. Seterusnya, melindungi mereka daripada terjebak dengan persekitaran gejala sosial yang semakin berleluasa masa ini.

    Seorang tokoh yang merupakan ulama terkemuka dunia Islam, Abu Abdullah Muhammad ibn Idris atau lebih dikenali sebagai Imam As-Syafie harus dijadikan contoh terbaik oleh setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

    Seawal usia tujuh tahun beliau telah menghafal al-Quran dan pada usia 10 tahun Imam As-Syafie menghafal kitab hadis Al-Muwatha karangan Imam Malik. Semasa berusia 15 tahun beliau telah mampu memberi fatwa.

    Pendekatan inilah yang ditekankan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mendidik dan mendedahkan murid sekolah tadika Islam di bawah kendaliannya di seluruh Wilayah Persekutuan.

    MAIWP baru-baru ini menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur.

    Seramai 900 murid daripada 71 Tadika Islam MAIWP yang terdiri daripada lima zon iaitu Zon Bandar Tun Razak, Zon Batu, Zon Bangsar, Zon Setapak dan Zon Titiwangsa menyertai majlis khatam al-Quran tersebut.

    Perkarangan dewan solat masjid bergema dengan alunan bacaan Juz Amma oleh murid berumur antara 5 dan 6 tahun itu sebagai simbolik khatam al-Quran.

    Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Brigedier Jeneral Mustafa Abdul Manaf.

    Jamil Khir berkata, penganjuran majlis seperti ini adalah inisiatif yang cemerlang dan usaha pintar penganjur dalam mendedahkan murid dengan ayat-ayat al-Quran pada usia muda sebagai pedoman pada masa depan.

    "Lumrah bagi setiap kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun menghabiskan masa dengan bermain dan berseronok bersama rakan-rakan. Malah pada usia itu, terdapat segelintir kanak-kanak yang belum dapat membezakan baik dan buruk (mumaiyiz), apatah lagi mengenal erti kehidupan.

    "Namun, majlis khatam al-Quran anjuran MAIWP ini adalah satu usaha transformasi dakwah pihak penganjur yang cemerlang dalam mendorong murid untuk berjaya khatam al-Quran pada usia seawal 5 tahun," katanya.

    Waktu pembelajaran di Tadika Islam MAIWP bermula daripada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan murid-murid memulakan kelas dengan membaca al-Quran setiap hari.

    Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir berkata, kerajaan meluluskan RM442,000 kepada MAIWP untuk menyediakan i-Iqra' kepada setiap kelas tadika Islam MAIWP bermula Disember ini.

    I-Iqra' adalah proses pembelajaran al-Quran menggunakan teknologi yang terdiri daripada tiga komponen iaitu pen digital, mesin interaktif, dan buku i-Iqra' yang diaktifkan menggunakan cip elektronik.

    Sementara itu, Dr. Muhammad Yamin berkata, program itu adalah inisiatif bagi memastikan generasi akan datang memartabatkan al-Quran sebagai panduan hidup.

    "Melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak segelintir anak muda dan remaja masa kini, MAIWP yakin pendekatan yang dilaksanakan ini mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai nilai dan sahsiah peribadi berlandaskan ajaran Islam," katanya.

    Bagaimanapun, kata Dr. Muhammad Yamin, usaha membudayakan pengajian al-Quran tidak boleh terhenti sekadar di sekolah atau program sedemikian.

    Katanya, ibu bapa memainkan penting dalam mendidik dan sentiasa mengajar anak-anak mengenai ilmu al-Quran di rumah.

    "Salah satu cara terbaik adalah mendedahkan ajaran ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak supaya dapat menjadi panduan bagi melindungi mereka daripada dipengaruhi oleh persekitaran yang boleh menjejaskan fitrah mereka," katanya.

    Sejak tahun 2009 hingga 2011, sebanyak 53 Tadika Islam MAIWP telah ditambah baik dengan kos sebanyak RM2 juta.

    Usaha itu akan diteruskan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM790,000 sebagai penambahbaikan prasarana tadika Islam MAIWP.

    Sumber: Utusan Malaysia

    Jumaat, 18 November 2011

    910 murid khatam al-Quran

    Sebahagian daripada kanak-kanak tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Alwaled, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Shahril Aizat Ahmad

    KUALA LUMPUR 17 Nov. - Seramai 910 murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melakar sejarah tersendiri apabila menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di sini hari ini.

    Menariknya, semua murid berkenaan berusia sekitar enam tahun dan terdiri daripada murid tadika di lima zon iaitu zon Bandar Tun Razak, Bangsar, Batu, Setapak dan Titiwangsa

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis itu kali pertama diadakan sejak penubuhan tadika MAIWP sekitar 1980-an.

    "Dengan pendekatan yang dilakukan MAWIP kita dapat menyediakan murid yang boleh membaca al-Quran dan khatam pada usia muda.

    "Pendekatan ini akan memberi satu nilai tambah kepada murid kerana apabila mereka melangkah ke sekolah, mereka lebih tenang dan dapat memberikan fokus kepada mata pelajaran lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkenaan di sini, hari ini.

    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali.

    Jamil Khir berkata,, MAIWP sentiasa bersedia dengan kurikulum dan dana bagi menampung peningkatan keperluan murid pada masa depan termasuk mewujudkan lebih banyak tadika di seluruh Wilayah Persekutuan.

    "MAIWP membelanjakan sebanyak RM10 juta setahun bagi menguruskan tadika memandangkan kita serius dan komited untuk melahirkan generasi bermodal insan yang tinggi," katanya.

    Selain itu, Jamil Khir juga tidak menolak kemungkinan menjadikan majlis berkenaan sebagai acara tahunan MAIWP.

    "Insya-Allah kita akan meneruskan majlis ini pada tahun-tahun hadapan dan dimasukkan ke dalam kalendar MAIWP bagi memberi motivasi kepada ibu bapa memilih tadika untuk pendidikan awal anak-anak mereka," katanya.

    Sumber: Utusan Malaysia

    Rabu, 13 April 2011

    Panduan Khatam Al-Quran

    Assalamualaikum,

    Tahniah kerana dah on the way nak khatam al-Quran!

    Di bawah ini merupakan panduan ringkas sekiranya anda nak mengadakan majlis khatam al-Quran (tak kisah la peringkat kampung ke atau pun kecil-kecilan bersama ahli keluarga atau bersama2 housemate2/rakan sepengajian)

    1. Khatam pada hari Jumaat (penghulu segala hari)
    2. Berpuasa pada hari sebelumnya (Khamis)
    3. Seelok-eloknya ajak anggota keluarga, kawan2 semasa nak khatam dan berdoa bersama-sama dalam majlis itu (Waktu mustajab untuk berdoa ialah pada masa khatam al-Quran)
    4. Selepas surah ad-Dhuha bertakbirlah pada setiap kali habis surah hingga ke surah an-Nas.


    alamak shoot tersenget skit.. sorry ye..

    5. Sambung membaca al-Fatihah, 5 ayat awal al-Baqarah dan ayat ke-115 surah al-An'am.

    Tahniah kerana berjaya khatam al-Quran!

    Kalau ada yang nak mencari2 buku rujukan tentang khatam boleh la dapatkan buku Panduan Berkhatam al-Quran terbitan Al-Hidayah. Regenye RM4.50 je.


    Camni la rupa covernye

    Persoalan-persoalan tentang khatam al-Quran

    Perlu ke khatam al-Quran?
    Amat perlu bagi kita sebagai mukmin untuk membaca sampai habis (khatam) dan beramal dengan isi kandungannya. Al-Quran ada syafaat yang boleh menyelamatkan pembacanya ketika melalui waktu timbangtara amalan.

    Berapa kali patut khatam?
    Sebanyak-banyak yang boleh. Lagi banyak lagi bagus. Bukan setakat 2-3 kali je seumur hidup.
    Khatam banyakkkkkk2 okey. Para sahabat dulu beribu2 kali khatam. Mari kita kira, amik contoh yang khatam seminggu sekali.. sebulan 4x, setahun dapat 48x. kata lah dok amalkan khatam 48x setahun tu dpt buat selama 40 tahun.. makanya 1920x khatam.

    Cara nak motivasikan diri untuk khatam?
    Err.. tak termotivate lagi ke bila tau org dulu khatam beribu kali? hehehe.. ok la. Ni Ustaz Fathi suggest; setiap kali lepas khatam, belilah al-Quran baru. Letak start date, end date. Peh tu susun kat rak, haa.. buat motivasi.. Bila dah banyak sgt, buleh la wakaf kat masjid atau sedekah kepada pencinta-pencinta al-Quran yang lain :)

    Apa yang best masa khatam?
    1. Sabda Rasulullah SAW: "Jika seseorang telah mengkhatamkan al-Quran, maka 60,000 malaikat mendoakannya ketika khatam itu"
    2. Waktu doa mustajab
    3. Ada pulut kuning.. tu pun kalau mak nak masakkan.. *hehehe gurau*

    Mungkin sekarang ni kita diduga dengan banyak urusan keduniaan (ujian bagi umat Nabi Muhammad SAW ialah harta benda; berbeza utk setiap orang. Mungkin ada terlebih, mungkin terkurang.. wallahualam) tetapi kita semua kena cubalah usahakan membaca al-Quran dan mengamalkannya sebanyak dan sebaik mungkin. Kalau takdan nak baca, dengarlah bacaan al-Quran.

    "Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat" Al-A'raf, Ayat 204

    Semoga al-Quran menjadi cahaya hidup kita di dunia dan menjadi pembela di akhirat.

    Sumber rujukan: Buku Panduan Berkhatam al-Quran dan nota kelas

    Wallahualam
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...