SETELAH Allah menceritakan berkenaan dengan hal ehwal manusia dan
keadaan mereka, maka Allah datang pula dengan ayat yang memberi arahan
kepada Rasul-Nya SAW mengenai al-Quran yang diwahyukan kepadanya dan
bagaimana peraturan menerimanya.
Firman Allah SWT: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca)
al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas
tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai)
membacanya. (al-Qiyamah: 16-17)
Al-Maraghi berkata: Dia menerangkan jaminan yang pertama menerusi
firman-Nya: Wahai rasul yang mulia! Jangan engkau menggerakkan lisan dan
kedua bibirmu untuk membacanya kerana engkau ingin mengambilnya dengan
tergesa-gesa lantaran takut ia akan meninggalkanmu kerana Kami yang akan
menghimpunkan untukmu, Kami juga yang akan menetapkannya dalam hatimu.
Keadaan Nabi SAW apabila wahyu diturunkan kepadanya, Baginda sentiasa
menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya untuk mengikutnya sehingga
sulit baginya. Perkara itu diketahui melalui gerakan kedua-dua bibirnya.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu menguasai al-Quran.
Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat ini menjelaskan bagaimana gelisah,
resah dan tidak sabarnya Nabi SAW untuk mengingati wahyu-wahyu yang
disampaikan kepada baginda.
Baginda memberi sepenuh perhatiannya kepada wahyu itu dan terlalu
bimbang jika sekiranya terlupa mana-mana ayat atau kalimah daripada
wahyu tersebut.
Inilah yang mendorong Nabi SAW mengikuti bacaan Malaikat Jibril as,
ayat demi ayat dan kalimah demi kalimah, agar Baginda benar-benar pasti
tiada satupun yang hilang dan benar-benar pasti bahawa baginda SAW telah
mengingati semuanya.
Firman Allah SWT: Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. (al-Qiyamah: 18)
Al-Maraghi berkata: Apabila malaikat membacakan wahyu Allah SWT
kepadamu, amalkanlah syariat dan hukum-hakam yang terkandung di
dalamnya. Kemungkinan yang dimaksudkan, apabila malaikat membacakan
al-Quran itu kepadamu, maka dengarkanlah, kemudian bacalah sebagaimana
malaikat membacakan kepadamu.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu Jika malaikat telah selesai membacakan
wahyu daripada Allah SWT, dengarkanlah dan kemudian bacakan kepadanya
sebagaimana malaikat telah membacakannya kepadamu.
Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya. (al-Qiyamah: 19)
Al-Maraghi berkata: Selepas Kami menjadikan engkau boleh menghafal
dan membacakannya, Kami akan memperjelaskan dan memberi ilham maknanya
kepada kamu sesuai dengan yang dikehendaki. Kemudian Dia mengulangi
perbincangan yang mencela orang musyrik, dan keingkaran mereka terhadap
hari kebangkitan.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu setelah dia menghafaz dan membacanya, maka
Kami (Allah) yang akan menjelaskan, menerangkan dan mengilhamkan
maknanya untukmu sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan syariatkan.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia bercerita,
Rasulullah SAW berusaha menghilangkan rasa gementar baginda disebabkan
turunnya wahyu, dengan menggerakkan kedua bibirnya. Dia mengkhabarkan
bahawa Ibnu Abbas berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku
seperti mana Rasulullah SAW menggerakkan kedua bibir baginda." Sedangkan
Said juga pernah berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku
seperti mana aku melihat Ibnu Abbas menggerakkan kedua bibirnya."
Berkenaan dengan ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:
1. Kami menyatakannya dengan lisanmu sehingga kamu mampu membaca sebagaimana Jibril membaca kepadamu, inilah pendapat Ibnu Abbas.
2. Kami membalas dengannya pada hari kiamat mengikut janji baik dan buruk, inilah pendapat al-Hasan.
3. Kami menjelaskan segala hukum-hakam halal dan haram, inilah pendapat Qatadah.
4. Kami menurunkannya menggunakan bahasa arab untuk menerangkan kepada manusia, inilah pendapat al-Zajjaj.
Firman Allah SWT: Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu
(hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan (kehidupan)
akhirat. (al-Qiyamah: 20-21)
Ata' berkata: Abu Jahal tidak beriman dengan al-Quran dan segala
keterangannya. Sebaliknya Ibnu Jarir pula berpendapat: Hal urusan
akhirat tidak seperti sangkaanmu di mana tidak dibangkitkan.
Qatadah berkata: Sebahagian besar manusia suka memilih yang dekat kecuali orang yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya yang menyebabkan mereka mendustakan
hari kiamat dan penolakan mereka terhadap wahyu yang hak dan al-Quran
yang diturunkan Oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW kerana sesungguhnya
yang menjadi keinginan mereka adalah kehidupan dunia sedang mereka
lengah dan lalai terhadap kehidupan akhirat.
Sayid Qutub berkata: Yang mula-mula menarik perhatian dari segi
keselarasan penerangan ayat ialah kehidupan dunia di sini dinamakan
dengan 'Ajilah (kehidupan yang cepat). Selain daripada kata-kata
ini menyarankan betapa pendek dan cepatnya berakhir kehidupan dunia ini,
di sana juga terdapat keselarasan di antara bayangan kata-kata
kehidupan yang cepat itu.
Firman Allah SWT: Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. (al-Qiyamah: 22)
Ulama menafsirkan perkataan berseri-seri dengan pelbagai tafsiran, antaranya:
Berseri-seri dengan kenikmatan seperti pendapat al-Farra'.
Dengan kebaikan seperti pendapat Ibnu Abbas.
Dengan mendapat kenikmatan seperti pendapat Ibnu Zaid.
Dengan kegembiraan seperti pendapat Mujahid.
Dengan putih dan bercahaya mukanya seperti pendapat Muqatil.
lDengan dibersihkan mukanya seperti pendapat al-Suddi.
Al-Maraghi berkata: Wajah orang mukmin yang ikhlas bersinar dan cerah ketika berlaku kiamat.
lIbnu Kathir berkata: Berasal dari kata an-Nadhaarah yang bermaksud rupawan, menawan, cemerlang lagi penuh kebahagiaan.
Sayid Qutub berkata: Jika beginilah kenikmatan melihat keindahan
ciptaan Allah di dunia maka bagaimana pula kenikmatan melihat keindahan
zat Allah sendiri di akhirat.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^