Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul
SAYID Qutub berkata: "Jika kekuatan pemandangan kiamat dan kesannya
di dalam hati di ambil daripada kekuatan hakikat yang tersembunyi di
dalam pemandangan itu sendiri, di samping di ambil daripada kekuatan
penyampaian al-Quran yang membuat pemandangan itu seolah-olah hidup.
Maka surah ini (selepas menayangkan pemandangan itu), menayangkan pula
satu pemandangan yang lain daripada jarak yang amat dekat seolah-olah
terjelma di hadapan mata, iaitu pemandangan yang sentiasa wujud dan
berlaku berulang-ulang kali."
Pemandangan ini dihadapi oleh manusia pada setiap detik yang dilalui
mereka di bumi ini, pemandangan ini menerjah mereka dengan kuat, jelas
dan berat.
Firman Allah SWT: Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan. (al-Qiyamah: 26)
Ibnu Kathir berkata: "Dengan kata lain jika nyawamu telah terlepas dari badanmu dan sampai ke halkummu."
Al-Maraghi berkata: "Digunakan untuk mencela dan melarang. Ingat dan
perhatikan kematian yang berada di depanmu. Jangan utamakan dunia
melebihi daripada kecintaan akhirat, ini kerana hubunganmu dengan dunia
ini akan terputus, kemudian kamu pula akan berpindah ke perkampungan
akhirat yang bersifat kekal abadi."
Firman Allah SWT: Dan dikatakan (kepadanya): Siapakah yang dapat menyembuhkan? (al-Qiyamah: 27)
Ibnu al-Jauzi menyebut dua pendapat:
* Ia merupakan ucapan malaikat sebahagian mereka terhadap yang lain
iaitu siapa yang mengangkat rohnya, sama ada Malaikat Rahmat atau
Malaikat Azab? Ini yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza' daripada Ibnu
Abbas dan ini juga pendapat Abu al-'Aliah dan Muqatil.
* Ucapan keluarganya iaitu siapakah yang dapat menjampi dan
menyembuhkannya? Ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan ia adalah
pendapat Ikrimah, ad-Dahak,Abu Qilabah, Qatadah, Ibnu Zaid, Abu
Ubaidah, Ibnu Qutaibah dan al-Zajjaj.
Al-Maraghi berkata: "Siapakah yang dapat mengubatnya agar dia sembuh
daripada bala yang menimpanya? Qatadah berkata: Carilah berapa ramai
perawat untuknya tetapi mereka sedikitpun tidak mampu memberi manfaat
dan penyembuhan kepadanya untuk menghalang ketentuan Allah."
Firman Allah SWT: Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia) (al-Qiyamah: 28)
Al-Maraghi berkata: "Orang yang hendak mati itu berkeyakinan bahawa
apa yang berlaku baginya adalah sebagai peringatan saat perpisahannya
dengan dunia, harta, keluarga dan anak-anak."
Keyakinan seperti ini dinamakan zan iaitu prasangka, sebab selama roh
masih melekat di badan, orang tetap menginginkan kehidupan kerana
cintanya yang amat mendalam terhadap dunia ini.
Firman Allah SWT: Dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan), (al-Qiyamah: 29)
Ibnu Jauzi menyebut lima pendapat:
* Urusan dunia dengan urusan akhirat seperti pendapat Ibnu Abbas dan juga Muqatil.
* Berhimpun padanya kehidupan dan kematian seperti pendapat al-Hasan.
* Bertaut dua betisnya ketika dikafankan seperti pendapat Said bin Musayyib.
* Bertaut dua betisnya ketika kematian seperti pendapat al-Sya'bi.
* Bencana dengan bencana seperti pendapat Qatadah.
Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau. (al-Qiyamah: 30)
Sayid Qutub berkata: "Gambaran maut itu begitu hidup seolah-olah
bergerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan gerak-geri dan pemandangan
yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu jelas dengan
suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang kejam
dan pahit yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian
berlakulah penghabisan yang tidak dapat dihindari."
Firman Allah SWT: Dan ia tidak mahu membenarkan (rasul dan
al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi ia mendustakan
(rasul) dan berpaling (dari kebenaran). Kemudian ia pergi kepada ahlinya
dengan berlagak (sombong). (al-Qiyamah: 31-33)
Ibnu Kathir berkata: "Ini adalah pemberitahuan tentang orang kafir,
di mana ketika di dunia, mereka mendustakan kebenaran dengan hati mereka
dan enggan untuk beramal dengan anggota tubuhnya sehingga tidak ada
kebaikan di dalam dirinya, sama ada lahir mahupun batin."
Semoga daripada surah ini kita benar-benar menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.
Perbincangan ini ditutup dengan menyebut sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada Abi Hurairah
r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Barang siapa antara
kamu membaca surah at-Tin hingga akhir hayatnya hendaklah dia
mengucapkan doa yang bermaksud "memang benar dan aku termasuk dari
kalangan orang yang menjadi saksi yang demikian itu."
Seterusnya siapa yang membaca akhir surah al-Qiyamah hendaklah dia mengucapkan dengan mafhumnya: Memang benar.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^