Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Rabu, 17 Jun 2015

Salam Ramadhan


Selamat mengimarahkan bulan ramadhan yang mulia ini. 

Jumaat, 26 Julai 2013

Mengurangkan kesibukan dunia

BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat. 

Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan. 

Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:
1. Bersahur - termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.
 
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud)
Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Banyakkan bersedekah - Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari)

3. Membaca al-Quran - Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.

Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari) 

Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.

4. Memberi makan untuk berbuka - Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.
 
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

5. Solat di malam Ramadan - Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya. 

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)

Sumber: Utusan Malaysia

Menyucikan jiwa dalam bulan mulia

ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah 2:183) 

Daripada ayat ini kita sudah boleh mengetahui bahawa hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina takwa. Daripada sudut praktikal pula takwa ialah melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya. 

Daripada sudut spiritual takwa ialah perasaan takut dan waspada dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini. 

Bulan Ramadan adalah tempat dan masa terbaik untuk menyucikan jiwa.
Rasulullah SAW telah pun memberikan pelbagai tips untuk menyucikan jiwa di bulan mulia ini.

1. Menghayati amalan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala.
 
Beberapa hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa siapa puasa dan solat malam di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu. 

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar sentiasa menekankan sudut keimanan dalam melakukan sesuatu amalan. Jiwa Muslim juga wajar sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah SWT sahaja.

2. Bersabar dalam menghadapi segala cabaran.
Sabda Rasulullah SAW: Puasa adalah perisai… Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut: Saya berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)
Perhatikanlah bagaimana puasa mendidik jiwa Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar:10)

Jiwa yang suci pasti akan dapat bersabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

3. Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya." (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904) 

Hadis ini mendidik jiwa agar bergembira dengan ketaatan dan bukannya bergembira semasa membuat maksiat.

4. Sentiasa berdoa dan meminta daripada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW: "Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara." (riwayat al-Uqaili dan Ibnu Asakir; disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 1797) 

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar merendah diri kepada Allah SWT dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa. 

Inilah intisari ibadah yang sebenar. Ia juga menunjukkan jiwa Muslim berjaya disucikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Sumber: Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...