RAMADAN sentiasa dinantikan seluruh umat Islam kerana ganjaran dan
syafaatnya yang begitu tinggi. Malah bulan Ramadan juga memberi peluang
kepada umat Islam untuk mendekatkan diri dengan penciptanya dan alangkah
indahnya jika ayat suci al-Quran sentiasa bermain di bibir hamba-Nya.
Justeru, sempena menghayati bulan Ramadan yang istimewa ini, julung
kalinya TV3 muncul dengan program realiti terbaru iaitu Qari Junior yang
berkonsepkan keagamaan untuk kanak-kanak.
Qari Junior akan mula bersiaran 23 Julai ini, setiap Isnin hingga
Jumaat jam 9 pagi di TV3. Ia menampilkan ustaz Zhafran Zainuldin sebagai
pengacara. Program ini akan mencungkil bakat kanak-kanak berumur antara
7 hingga 12 tahun dalam menghafaz ayat suci al-Quran.
Menariknya program 20 episod ini, ia bukan saja menyaksikan pertandingan di antara peserta semata-mata, malah program ini mengajak penonton untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.
Menariknya program 20 episod ini, ia bukan saja menyaksikan pertandingan di antara peserta semata-mata, malah program ini mengajak penonton untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.
Sesi uji bakat yang diadakan di Sri Pentas TV3 pada 28 dan 29 April lalu menerima penyertaan hampir 100 peserta daripada kalangan kanak-kanak dari seluruh negara. Namun, hanya 12 peserta yang layak dan berbakat dipilih bertanding dalam program Qari Junior.
Pada setiap penghujung episod program ini, terdapat sesi penyingkiran di kalangan peserta sehingga empat peserta saja yang akan layak mara ke pusingan akhir.
Bagi pusingan akhir Qari Junior, menyaksikan persaingan di antara peserta Abdul Hadi Haris, 8, Syakirah Shahfuddin, 10, Fatimah Ahmad Zahid, 11, dan Nur Najwa Madihah Abdul Jalil, 9.
Cabaran akan diberikan kepada peserta iaitu mereka dikehendaki menghafaz surah yang diberikan seperti surah al-Insan, Yaasin dan as-Sajdah serta surah tambahan seperti surah as-Saff, al-Waqiah, al-Mulk dan ar-Rahman. Markah peserta akan diambil kira dari sudut hafazan, tajwid, fasohah, suara dan lagu.
Kemerduan alunan ayat suci al-Quran yang dipersembahkan setiap peserta diadili juri yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan, Ustaz Zamri Zainuldin dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.
Penerbit program Qari Junior, Shukri Ibrahim berkata, jika sebelum ini penonton sering disajikan dengan program realiti berbentuk hiburan, kini sempena menyambut kehadiran Ramadan, penonton dapat menyaksikan kebolehan kanak-kanak menghafaz ayat suci al-Quran.
“Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam menghafaz ayat suci al-Quran serta mendekatkan diri dengan kitab Allah S.W.T itu bukan hanya pada bulan puasa semata-mata malah setiap masa.”
“Kami yakin bakat yang ditonjolkan peserta dan konsep program yang dibawa menerusi Qari Junior mampu memberi suntikan positif kepada anak muda masa kini mengenai bidang keagamaan,” katanya.
Juara Qari Junior membawa pulang hadiah utama wang tunai RM10,000 berserta plak sumbangan TV3 dan pakej mengerjakan umrah tajaan Al-Fajr Travel manakala sagu hati akan menerima RM2,000 setiap seorang, plak TV3 dan pakej mengerjakan umrah.
Sumber: myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^