AYAT 255 surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat
tersebut terdapat kata "kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata
kursi membawa erti takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan,
pengetahuan dan simbol autoriti.
Itulah sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan
kekuasaan Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang
zaman telah menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke
semasa. Ayat Kursi begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering
terdapat di rumah kaum Muslim.
Ayat Kursi dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam
al-Quran kerana di dalamnya terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah
SWT daripada 50 kata yang terdapat di dalamnya. Apabila dihayati, 17
kata yang menunjukkan nama Allah itu akan memberi kekuatan batin
pembacanya.
Terdapat ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali
solat yang pernah diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50
kali itu diringankan menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam.
Di sisi lain, perjalanan menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50
tahun menurut perhitungan manusia.
Ayat Kursi lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam
ayat Kursi terdapat sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi
ayat-ayat lain. Intipati nama dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu
diungkapkan dalam satu ayat hanya pada ayat Kursi.
Dalam satu kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang
bertukar fikiran tentang ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada
mereka: "Bagaimana pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian
berkata: "Rasulullah SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian
manusia adalah Adam, penghulu bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa
sombong, kalam yang terbaik adalah al-Quran, penghulu al-Quran adalah
al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah ayat Kursi'."
Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi,
misalnya yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak
dibaca ayat ini (ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan
lari meninggalkannya selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan
wanita tidak akan memasukinya selama 40 hari."
Ali juga menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah
di atas mimbar dan berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada
saat tidurnya, Allah akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari
tetangganya dan rumah-rumah yang ada sekitarnya."
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap
penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga
kecuali kematian dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq
(benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah)."
Sumber: Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ^_^